(VIDEO) Polis dedahkan punca Long Tiger ditahan

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :

JOHOR BAHRU: Siasatan ke atas seorang lelaki yang dikenali sebagai Long Tiger dibuat atas kesalahan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek yang kini direman lima hari, ditahan di rumahnya di Muar, Selasa lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.
"Suspek didapati mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan polis sedang membuat siasatan lanjut.
"Suspek bukan warganegara Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini
Semalam, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahanannya tular di media sosial.
Long Tiger menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook sebelum ini.
Malah dia juga sentiasa mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan pendapatnya serta mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.
Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang.
"Tiada siapa pun kebal. Sesiapa yang membuat kesalahan tidak kira siapa pun termasuk pemegang kad UNHCR akan berdepan tindakan undang-undang," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, seorang anggota polis IPD Muar berpangkat koperal turut ditahan atas kesalahan merakam gambar dan video penahanan Long Tiger.
"Merakam gambar serta video suspek di dalam tahanan adalah satu kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan kita akan buka kertas siasatan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.
"Tiada pilih kasih walaupun kesalahan dilakukan anggota kami, " katanya. -Berita Harian








Dikuasakan oleh Blogger.