Nordin Ahmad takkan lupa jasa P Ramlee

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :


"Aduka, lupakah kau kepada Tuhan? Hilangkah kepercayaan kau kepada agama Islam? Kau cemarkan namamu. Kau cemarkan Semerah Padi. Kalau hanya Dara, aku sanggup berikan, kerana aku sayangkan kau lebih dari Dara. Jangan kata membunuh kau, menjatuhkan hukuman pun tak sampai hatiku. Menghukum kau bererti aku menghukum diriku sendiri"

"BIAR BUSUK DAGINGKU MAMAH, ASALKAN KAU TERHINDAR CEMAR"

Itulah dialog keramat yang dilafaskan oleh Nordin Ahmad sebagai Taruna melalui filem Semerah Padi arahan P.Ramlee pada tahun 1956.

Semerah Padi telah berjaya menjulang nama Nordin Ahmad ke kemuncak kemasyhuran sehingga beliau telah ditawarkan behijrah ke studio Cathay-Keris dengan gaji yang lebih lumayan.

"Kalau bukan sebab Ramlee yang ambil aku berlakon dalam filem Semerah Padi, aku tidak akan sampai ke tahap ini sekarang".

Itulah kata-kata yang sering diungkapkan oleh seniman Nordin Ahmad kepada rakan-rakannya di Cathay-Keris. Nordin Ahmad sangat berterima kasih kepada P.Ramlee kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepadanya bagi membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon yang berkarisma besar.

Atas nasihat P.Ramlee jugalah yang membuatkan Nordin Ahmad membatalkan hasratnya untuk pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang kerana terlalu kecewa dengan kerjaya lakonanya ketika di Jalan Ampas.

"Sabar dulu sahabatku, masamu akan tiba juga nanti. Aku yakin kau akan menjadi seorang bintang besar suatu hari nanti".

Kata-kata dari P.Ramlee inilah yang menjadi perangsang kepada Nordin Ahmad untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memajukan mutu lakonannya.

"Jika satu hari nanti ada yang memperkatakan tentang kejayaan saya di dalam bidang lakonan, P.Ramlee berhak berkongsi kejayaan itu bersama saya. Ini kerana P.Ramleelah yang telah membuatkan kerjaya saya dari gelap menjadi terang".

Teks : HAR

Sumber :
Bulanan Gelanggang Film, bilangan 8, Julai 1958.
Mastika Filem, bilangan 6
Temubual bersama Aimi Jarr
Arkib Negara Malaysia







Dikuasakan oleh Blogger.