Kisah Ahmad Nisfu : Yang betulnya dia pelakon, yang lain semuanya bohong - waris

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :

Bagi peminat filem-filem Melayu klasik, pasti mengenali tuan director Ahmad Nisfu dalam filem Seniman Bujang Lapok. Diolog Aziz Satar " ludang hidungmu tetap menjadi pujaanku" menjadi tagline cukup dikenali sehingga ke hari ini.

Pembawaan karakternya yang humor cukup menyenangkan P Ramlee untuk memgambil beliau turut serta membawa pelbagai watak dalam beberapa filem di bawah arahannya sehingga nama seniman Ahmad Nisfu cukup masyhur dalam persada perfileman Melayu walau menjangkau beberapa dekad setelah penutupan Studio Jalan Ampas di Singapura.

Ahmad Nisfu yang membawa watak tuan Director, turut berlakon bersama adalah P Ramlee, Aziz Satar dan Kemat Hasan

Beberapa tahun sebelum ini, tular di media-media sosial yang entah mana dicedok yang mengatakan seniman Ahmad Nisfu hidup sebatang kara dan hanya menghabiskan riwayat hidupnya di dalam kubu peninggalan tentera Jepun.

Melalui temu bual seorang wartawan Berita Harian Singapura yang dirujuk di dalam laman wadah seni waris Allahyarham Ahmad Nisfu menjelaskan segala-galanya.


Buat julung-julung kalinya, anak kandung Allahyarham, Encik Osman Mohamed, 76 tahun, berbicara dengan akhbar Berita Minggu untuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Satu saja yang betul dalam rencana itu – Allahyarham adalah seorang pelakon filem. Yang lain semua bohong,” kata Encik Osman yang ditemui di rumahnya di Jellicoe Road baru-baru ini.
Menurut Encik Osman, yang tidak mahu gambarnya disiarkan dalam akhbar, Allahyarham yang nama sebenarnya Mohamed bin Nisfu telah meninggal dunia di rumahnya pada 10 pagi, Julai 1973.

Rumahnya terletak di kawasan Kampong Kuchai Lorong 3 di Singapura.
“Arwah meninggal secara senang. Saya sempat jumpanya pada 7 pagi sebelum pergi kerja.

“Pada 10 pagi, saya mendapat panggilan yang beritahu saya bahawa Allahyarham sudah menghembuskan nafas terakhirnya,” kata Encik Osman, anak sulung dalam dua beradik.

Keluarga besar Ahmad Nisfu bersama Isteri keduanya, anak dan cucu tiri. Baris belakang dari kiri nombor empat, adalah encik Osman, anak kandungnya

Adiknya, Cik Fatimah Mohamed, sudah meninggal dunia.
Katanya lagi, anggota keluarga serta ramai seniman dan seniwati seperti Allahyarhamha Saadiah telah melawat jenazahnya yang disolatkan di surau Kampong Kuchai.

Allahyarham kemudian dikebumikan selepas zuhur di perkuburan Bidadari dan baru-baru ini telah dipindahkan ke perkuburan Choa Chu Kang.
“Allahyarham sakit sebulan sebelum beliau meninggal. Ada darah keluar semasa beliau membuang air kecil dan beliau pergi ke hospital. Tetapi, beliau balik rumah setelah berasa pulih. Sebelum beliau meninggal, beliau nampak macam biasa, tak sakit,” kata Encik Osman.
Seorang anak tiri Allahyarham, Encik Saydeh Ali, 76 tahun, yang ditemui di rumahnya di Choa Chu Kang Street 52 turut mengesahkan maklumat mengenai pemergian Allahyarham.

“Allahyarham dikelilingi ahli keluarga semasa meninggal dunia,” kata Encik Saydeh.

Malah, Allahyarham tidak pernah kesunyian sepanjang hayatnya.
Allahyarham, anak sulung dalam empat beradik, telah dilahirkan di Medan, Indonesia, tetapi membesar di Kampung Makam di Pulau Pinang, Malaysia. Isteri pertamanya yang berasal dari Kedah,Allahyarhamha Saadiah Musa, meninggal dunia pada 1939 selepas melahirkan anak kedua.

“Selepas kematian isteri pertama, Allahyarham datang ke Singapura sebelum Merdeka pada tahun ’50-an,” kata Encik Osman. Di sini, Allahyarham telah menikahi isteri keduanya, Allahyarhamha Cik binti Osman. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata tetapi Allahyarham mempunyai lima anak tiri serta cucu-cucu tiri. Seisi keluarga Allahyarham termasuk Encik Osman tinggal di kawasan Kampong Kuchai. Hari ini, Allahyarham turut mempunyai 10 cucu kandung.
SENIMAN AHMAD NISFU
Minat Allahyarham dalam bidang lakonan telah berputik sejak kecil lagi.Beliau yang berpendidikan madrasah telah menyertai satu kumpulan bangsawan di Pulau Pinang dan kemudian menyertai kumpulan bangsawan Seri Noran di Kuala Lumpur pada tahun ’50-an.Pementasan bangsawan itu telah membawanya ke Singapura di mana beliau kemudian menjadikan kota ini sebagai tempat tinggal tetapnya sehingga ke akhir hayat.
“Beliau tidak pernah balik ke Pulau Pinang selepas berkahwin lagi di sini,” kata Encik Osman.

Beliau juga sangat rapat dengan Allahyarham P. Ramlee, kelahiran Jelutong, Pulau Pinang, dan mereka sudah saling berkenalan sejak alam persekolahan.
Justeru, Allahyarham yang hanya tahu menulis dan membaca dalam tulisan Jawi banyak menyumbang idea dan melakonkan filem-filem hasil Allahyarham P. Ramlee. Misalnya, filem Ibu Mertuaku, yang diterbitkan pada 1961, sebenarnya cerita yang digarap hasil cetusan idea Allahyarham dan diberikan kepada Allahyarham P. Ramlee. Idea itu kemudian diolah mengikut cita rasa Allahyarham P. Ramlee bagi mencerminkan kesan teladan dan pengajaran.
Berdasarkan perkongsian Encik Osman dan Encik Saydeh mengenai Allahyarham lagi, mereka menggambarkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas tetapi bernada lembut semasa bertutur dan tidak banyak cakap di dalam rumah. Beliau selalu keluar pagi dan akan balik rumah selepas isyak.
Apabila ada penggambaran filem, sebuah kereta akan datang menjemputnya di rumah.
“Allahyarham juga selalu bersembang di kedai kopi di Geylang Lorong 101. Di situlah ‘port’ bintang filem.

“Tetapi, apabila masuk waktu solat, Allahyarham akan bersolat di Masjid Aminah, Masjid Kassim atau Masjid Onan Road,” kata Encik Saydeh.

“Allahyarham adalah seorang yang warak. Allahyarham banyak memberikan nasihat tentang agama dan menjadi bilal tetap di Masjid Onan Road,” kata Encik Osman.

Ahmad Nisfu, 1908 - 1973








Dikuasakan oleh Blogger.