Covid 19 : Kali ini krisis ekonomi sangat serius

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :

1. BANK Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi Malaysia akan merosot sebanyak 2 peratus pada tahun 2020 akibat Coronavirus. Rangsangan ekonomi sebanyak RM250 billion dan pakej PRIHATIN RM10 billion yang dilancarkan oleh perdana menteri baru-baru ini merupakan sebahagian gambaran betapa teruknya impak pandemik ini kepada ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana serta seluruh rakyat terutama 40 peratus golongan termiskin negara (B40).
2. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di negara kita menyebabkan banyak aktiviti perniagaan dan industri terganggu termasuklah dalam bidang pemakanan, pengeluaran, pengangkutan, pelancongan dan banyak lagi. Salah satu contoh mudah ialah syarikat penerbangan tambang murah negara, Air Asia bakal muflis jika keadaan ini berterusan selama 5 bulan akibat kos operasi yang menjangkau RM500 juta sebulan.
3. Keadaan yang sama turut berlaku di seluruh dunia. Sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS), Indeks Dow Jones menjunam sebanyak 3,000 mata, penurunan terburuk dalam sejarah. Lebih 1 juta penduduk AS telah kehilangan kerja dan bilangan ini semakin meningkat setiap hari. Situasi ini menyebabkan kerajaan Donald Trump terpaksa mengumumkan stimulus ekonomi berjumlah USD 2 trillion.
4. Manakala di United Kingdom (UK), menteri kewangan menjangkakan ekonomi UK akan merosot sebanyak 30 peratus pada suku pertama tahun 2020. Sebanyak AS$14 billion bantuan kewangan juga telah diluluskan.
5. Di China, industri pembuatan yang terjejas teruk memberikan kesan domino (domino effect) ke seluruh dunia akibat kebergantungan tinggi dunia terhadap industri pembuatan yang murah di China.
6. Serangan pandemik ini diterukkan lagi dengan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia sehingga mencecah USD 27 setong akibat peperangan dingin perdagangan antara AS, negara-negara Arab dan Russia. Kejatuhan harga akibat bekalan berlebihan dan permintaan rendah disebabkan kawalan pergerakan di seluruh dunia memburukkan lagi keadaan ini. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, negara-negara pengeluar minyak dunia seperti Malaysia menerima akibat yang amat ketara.
7. Dalam aspek menyelamat, International Monetary Fund (IMF) telah mengumumkan pengecualian pembayaran pinjaman selama 6 bulan kepada 25 buah negara miskin yang terkesan teruk akibat virus Coronavirus. Dalam masa yang sama, badan kewangan dunia ini turut menyediakan sejumlah USD 50 billion bantuan kewangan, malah bersedia untuk menggunakan ‘lending capacity’ berjumlah USD 1 trillion untuk disalurkan ke mana-mana negara yang memerlukan.
8. Keadaan ini dijangka akan berterusan. Pakar ekonomi menjangkakan kemelesatan ekonomi dunia kali ini akan lebih teruk dari tahun 2008 dan mungkin akan mengulangi sejarah ‘The Great Depression’ yang berlaku 90 tahun lalu pada tahun 1930.
Sama-sama kita doakan keadaan ekonomi akan sembuh seperti sediakala dengan cepat sambil memikirkan hikmah dan mesej yang ingin Allah SWT sampaikan dengan ujian berat ini, insya-Allah.
Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA







Dikuasakan oleh Blogger.