Covid 19 : Ekonomi global mungkin akan mengalami kemelesetan paling teruk

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :

Dipacu oleh pandemik COVID-19, ekonomi global mungkin akan mengalami kemelesetan paling teruk sejak Zaman Kemelesetan pada tahun 1930-an, dan jauh lebih buruk daripada krisis kewangan global 2009, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Ini adalah krisis yang tidak pernah berlaku dan wujud ketidaktentuan mengenai kesannya terhadap kehidupan kehidupan rakyat,” kata ketua ekonominya, Gita Gopinath dalam Prospek Ekonomi Dunia terkini.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini diunjurkan pada -3.0 peratus pada tahun 2020, kemelesetan jauh lebih buruk daripada pengurangan 0.1 peratus semasa krisis kewangan global 2009.
Unjuran pertumbuhan diturunkan lebih daripada enam mata peratusan berbanding pertumbuhan 3.3 peratus yang dikemas kini oleh IMF pada Januari – semakan yang luar biasa dalam tempoh yang singkat.
“Keadaan yang digelar “The Great Lockdown” ini dijangka menyebabkan kemerosotan pertumbuhan global secara mendadak. Pemulihan separa diunjurkan untuk 2021, dengan tahap KDNK akan kekal di bawah trend pra-virus, dengan ketidaktentuan terhadap tahap pemulihan kelak,” katanya.
Hasil pertumbuhan buruk mungkin akan berlaku.
Ini akan terjadi jika langkah pencegahan pandemik itu berlaku lebih lama, negara sedang berkembang dan membangun akan terjejas teruk, keadaan kewangan yang sukar akan berlanjutan, atau ia mungkin menyebabkan penutupan penutupan perniagaan dan kadar pengangguran, katanya. 
Gita berkata krisis ini perlu ditangani dalam dua fasa: fasa pencegahan dan penstabilan diikuti oleh fasa pemulihan. Dalam kedua-dua fasa, kesihatan awam dan dasar ekonomi mempunyai peranan yang penting.
“Kuarantin, perintah berkurung, dan penjarakan sosial adalah kritikal untuk memperlahankan penyebaran COVID-19, memberi masa kepada sistem penjagaan kesihatan untuk mengatasi permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan mereka dan masa untuk penyelidik membangunkan vaksin.
“Langkah-langkah ini dapat membantu menghindari kejatuhan aktiviti yang lebih teruk dan berlarutan dan menetapkan tahap pemulihan ekonomi,” katanya.
Ketua ekonomi itu berkata meningkatkan perbelanjaan dalam penjagaan kesihatan adalah penting untuk memastikan sistem penjagaan kesihatan mempunyai kapasiti dan sumber yang mencukupi.
Pemberian khas untuk profesional perubatan – yang berada di barisan hadapan memerangi pandemik – harus dipertimbangkan, termasuk, sebagai contoh, elaun pendidikan bagi keluarga mereka.
Walaupun ekonomi menutup operasinya, para penggubal dasar perlu memastikan bahawa rakyat dapat memenuhi keperluan mereka dan perniagaan dapat dipulihkan selepas wabak pandemik itu berakhir, kata Gita.
“Ini memerlukan langkah-langkah fiskal, monetari, dan kewangan yang bersasar untuk mengekalkan hubungan ekonomi antara pekerja dan firma serta peminjam dan pemberi pinjaman, menjaga infrastruktur ekonomi dan kewangan masyarakat secara utuh.”
Sebagai contoh, di pasaran negara yang berkembang dan negara membangun dengan sektor informal yang besar, teknologi digital baharu dapat digunakan untuk memberikan sokongan yang disasarkan, tambahnya.
Mengulas unjuran pertumbuhan, laporan yang dikeluarkan oleh organisasi yang berpusat di Washington itu berkata pertumbuhan dalam kumpulan ekonomi maju – di mana beberapa negara dilanda wabak itu secara meluas dan menerapkan langkah-langkah pengekangan – diunjurkan pada -6,1 peratus pada tahun 2020.
Kebanyakan negara di dalam kumpulan dijangka mengalami kemerosotan tahun ini, termasuk Amerika Syarikat (-5.9 peratus), Jepun (-5.2 peratus), United Kingdom (-6.5 peratus), Jerman (-7.0 peratus), Perancis (-7,2 peratus), Itali (-9,1 peratus), dan Sepanyol (-8,0 peratus).
Di bahagian Eropah, wabak itu teruk seperti di wilayah Hubei, China. Walaupun penting untuk mencegah virus itu, perintah berkurung dan kawalan pergerakan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.
Antara pasaran baharu dan negara membangun, semua negara menghadapi krisis kesihatan, kejutan permintaan luaran yang teruk, kesukaran dramatik dalam keadaan kewangan global, dan kejatuhan harga komoditi, yang akan memberi kesan teruk terhadap aktiviti ekonomi dalam pengeksport komoditi, kata laporan itu.


Secara keseluruhannya, kumpulan pasaran sedang berkembang dan negara membangun dijangka jatuh sebanyak 1.0 peratus pada tahun 2020; tidak termasuk China, kadar pertumbuhan untuk kumpulan itu dijangka berada pada – 2.2 peratus.
ASEAN-5 – ekonomi terbesar di ASEAN – dijangka menyaksikan kejatuhan KDNK sebanyak 0.6 peratus. – Bernama

Pelbagai pakej bantuan ransangan ejonomi telah digerakkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi malapetaka ekonomi, tapi sampai bila? -KM

Like dan Follow kami di Facebook Kriss Merah Media








Dikuasakan oleh Blogger.