Covid 19 ; "Dua hari kelaparan, akhirnya ibu ini meninggal dunia"

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :
JAKARTA - Seorang ibu di provinsi Banten, Indonesia yang mengadu dua hari tidak makan, meninggal dunia sehari selepas ditemubual sebuah stesen televisyen tempatan.

Kisah kesusahan keluarga Yuli Nuramelia, 43, bersama suami dan empat orang anak itu, yang terkesan teruk akibat dampak (kesan) ekonomi susulan pandemik koronavirus (Covid-19) disiarkan di YouTube KompasTV pada 19 April, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 20 April pukul 3.00 petang.
Kisah pilu Yuli dan keluarganya itu turut viral dalam media sosial di Indonesia, yang dilaporkan hanya meminum air kosong selama dua hari untuk kelangsungan hidup kerana tidak lagi mampu membeli makanan dan beras.
Bagaimanapun, Lurah (ketua kampung) Lontar Baru, Dedi Suradjat dipetik media tempatan menolak dakwaan itu.
"Kalau penyebab kematiannya, saya belum tahu, tapi doktor bilang (memberitahu) bukan Covid-19. (Sebab lapar) saya kira bukan itu. Pihak puskesmas (pusat Kesihatan Masyarakat) bilang bukan (meninggal) kerana kelaparan," katanya.
Dalam laporan berita Kompas pada 19 April, 2020, bertajuk 'Memprihatinkan, Satu Keluarga Kelaparan Tak Makan 2 Hari karena Dampak Corona', turut mengisahkan suami kepada Allahyarhamah iaitu Mohamad Holik, 49, yang bekerja sebagai pemungut barang-barang terpakai, sudah tidak lagi dapat menjual barangannya berikutan tempat pembelian barangan itu ditutup.
Seorang sukarelawan yang menyampaikan bantuan kepada keluarga itu, Rochman Setiawan yang dipetik media tempatan berkata, jika ada pihak yang mengatakan keluarga itu tidak kelaparan adalah satu pembohongan.
"Kalau ada yang bilang keluarga Ibu Yuli enggak kelaparan, itu bohong. Waktu saya kasi bantuan (pada jam 10 pagi, 20 April) itu roti, langsung dimakan sama anaknya," katanya.
Menurut Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, setakat 15 April lepas, lebih 2.8 juta hilang pekerjaan dan berjuta lagi yang berpendapatan harian terjejas teruk pendapatan mereka selepas pelaksanaan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar secara berperingkat-peringkat bermula 16 Mac lepas.
Dikhuatiri 3.67 juta orang akan terjerumus ke dalam kemiskinan di Indonesia manakala mereka yang hilang pekerjaan dikhuatiri terus meningkat sehingga lebih 5 juta orang. - Bernama
Covid 19 : Bukan sekadar wabak, ianya krisis ekonomi dan kemanusiaan"








Dikuasakan oleh Blogger.