Asia Tenggara berpotensi menjadi pusat baharu pandemik Covid-19

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :
Rakyat Indonesia tidak mempedulikan penjarakan sosial ketika singgah di sebuah pasar pagi di Bekasi, Jawa Barat semalam.

Jumlah kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di Asia Tenggara menyaksikan peningkatan mendadak sejak beberapa minggu lalu.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), rantau yang meliputi 11 negara itu mencatatkan 30,108 kes positif Covid-19 sehingga jam 7 petang semalam.

Singapura menduduki tangga teratas dengan 8,014 kes diikuti Indonesia sebanyak 6,760 kes, Filipina (6,459 kes), Malaysia (5,425 kes) dan Thailand (2,792 kes).

Lima negara lain iaitu Vietnam, Brunei, Cambodia, Myanmar dan Laos merekodkan kes di bawah angka 500.

Daripada keseluruhan kes, empat negara teratas menjadi penyumbang 88 peratus kes di rantau berkenaan.

Walaupun jumlah tersebut masih rendah berbanding negara Eropah atau Amerika Syarikat yang kini mencatat lebih 7000,00 kes, namun peningkatan mendadak kes Covid-19 di Asia Tenggara mencetuskan kebimbangan.

Asia Tenggara kini dilihat berpotensi menjadi pusat baharu pandemik Covid-19 berikutan kadar pengujian yang rendah seperti di negara Indonesia dan Filipina akan menyebabkan puluhan ribu penduduk terdedah kepada risiko jangkitan.

Kadar pengujian di setiap negara pula dilakukan mengikut kapasiti masing-masing memandangkan Indonesia dan Filipina mempunyai bilangan penduduk ramai.

Indonesia hanya mengesan kes jangkitan pertama pada Mac sementara negara jirannya, Malaysia dan Singapura berjaya mengesan lebih awal iaitu pada Januari termasuk melibatkan individu yang pulang daripada melawat Indonesia.

Sebelum ini, pakar kesihatan memberi amaran bahawa Indonesia berdepan dengan lonjakan kes kerana negara itu disifatkan agak lewat mengawal skala jangkitan.

Biarpun perkara itu meningkatkan kemungkinan penyebaran virus terutama di daerah terpencil yang tidak dilengkapi kemudahan kesihatan, Presiden Indonesia, Joko Widodo tidak mewartakan sebarang larangan.

Angka kes Covid-19 di Singapura melonjak sejak dua minggu lalu dengan jangkitan baharu dikesan dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama dengan keadaan sesak.

Pakar penyakit berjangkit di Mount Elizabeth Novena Hospital, Singapura, Leong Hoe Nam berkata, situasi itu ‘agak memalukan’ kerana peningkatan kes melibatkan pekerja asing berlaku ketika pemerintah berjaya mengawal jumlah kes import dan penularan dalam masyarakat.

Namun begitu, di Malaysia, kes baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan susulan tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu selain mempertingkatkan keupayaan ujian saringan. Sinar Harian

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut








Dikuasakan oleh Blogger.