Kisah Benar : antara hidup dan mati empat hari dikejar tentera Jepun

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :

Awang Besar Awang Damit dan tujuh lagi rakannya sudah nekad untuk melarikan diri dari kem tentera Jepun di Miri, Sarawak tempat mereka bekerja. Sudah sebulan mereka bekerja di kem tersebut, dan pagi itu salah seorang pegawai tentera Jepun datang membawa satu berita buruk - mereka akan dibawa ke Tokyo dengan kapal.

"Kita mesti lari malam ini juga. Kalau kita dibawa ke Jepun maknanya kita tak akan balik-balik lagi," kata Awang, sambil menyambung, "Kau tujuh orang lari ke Brunei, kemudian ke Sabah."

Pakaian ditanggalkan sehelai demi sehelai, kecuali seluar pendek yang telah lusuh. Dalam gelap malam, mereka keluar dari markas tersebut. Akhirnya mereka berjaya dan berpisah dan berpisah membawa nasib masing-masing. Awang terus berjalan meredah hutan belukar hinggalah matahari terbit keesokan harinya.

Tengah hari itu Awang sampai di Kuala Sungai Baram yang luasnya kira-kira dua kilometer. Awang termenung. Dia tidak gentar dengan keluasannya, tapi yang lebih menakutkan Awang ialah di kuala sungai itu kerap kelihatan ikan yu. Bukan sekali orang melihat sirip ikan berkenaan berlegar-legar di permukaan air dan menyambar mangsanya.

"Patut ke aku seberangi sungai ini?"

Awang duduk di atas, berkira-kira dan bersoal jawab seorang diri. Lama dia termenung sebelum berdiri semula dan mencapai pisau di pinggang yang telah patah matanya. Hulu pisau itu dipegang erat. Apa yang hendak dilakukannya?

"Saya ambil sebatang kayu yang panjangnya kira-kira dua depa dan pacakkan pisau dalam-dalam. Sambil baca Bismillah, saya masuk ke dalam air. Saya nekad untuk berenang ke seberang. Tidak guna berpatang balik sebab Jepun sedang mencari saya. Klau terserempak bermakna tamatlah nyawa saya.

"Saya peluk kayu tersebut, tangan kanan pegang hulu pisau erat-erat dan berenang perlahan-lahan. Di kepala saya mula terbayang ikan yu meluru laju ke arah saya, macam mana giginya yang tajam menyiat dan mengoyak-ngoyakkan tubuh saya dan akhirnya mayat saya berkecai. Air sungai yang sejuk menyebabkan saya makin gementar. Berada di dalam air, di tempat yang banyak ikan yu samalah seperti menyerahkan nyawa kepada Izrail. Saya tahu, sekali saya diserang bermakna saya tidak akan mampu menyelamatkan diri. Saya berdoa supaya segera dihanyutkan ke seberang.

"Malangnya, air beralun ke laut dan saya makin dibawa ke tengah. Hati saya berkata "Mungkin aku akan mati di laut." Lantas saya pejamkan mata dan berdoa. Bayangan ikan jerung dan yu terus berlegar dalam kepala saya.

"Semasa terapung, saya terbayang segala kesusahan yang ditanggung selama ini selepas tentera Jepun menawan  Sabah. Makan ubi, ditangkap, kemudian dibawa ke Sarawak, belajar bahasa Jepun, larikan diri dari kapal Jepun yang hendak membawa saya ke Manila, kemudian jalan kaki balik ke Papar, ditangkap semula dan macam-macam lagi.

"Terbayang juga di kepala saya pengalaman ngeri sewaktu kami naikikapal tentera Jepun , 30 orang kesemuanya bertolak balik dari Manila ke Miri, Sarawak. Dalam perjalanan itu kapal kami diserang kapal selam British. Sebuah demi sebuah kapal tenggelam yang menyelinap di dasar laut. Suara jeritan kedengaran dan mayat terapung di sana sini. Semuanya saya tengok, tapi tiada apa yang boleh saya lakukan. Malah saya cuma tunggu giliran saja untuk turut sama tenggelam di laut.

Awang Besar menceritakan kegetiran menyambung nyawa di zaman kekejaman tentera Jepun yang terpaksa beliau tempuhi

"Tapi alhamdulillah akhirnya kami selamat, sampai ke Sarawak semula. Namun daripada 30 buah kapal yang meninggalkan Manila, yang sampai ke Miri cuma dua buah sahaja. Tapi pengalaman itu sudah lama berlalu, kini sekali lagi saya berhadapan dengan maut, juga di dalam laut. Juga kerana Jepun laknat itu!

"Selepas lebih sejam terapung, tiba-tiba kaki saya terpijak pasir, Di mana ni? Saya buka mata...Oh! rupanya saya dah berada di seberang!

"Sambil mengucap syukur, saya naik ke pantai dan berjalan lagi. Badan terlalu letih kerana belum makan dan minum. Tapi terlepas dari maut di laut, satu lagi ancaman saya lalui. Ketika hari hampir senja, saya terserempak dengan lelaki Sikh.

"Semasa saya berjalan terhuyung-hayang, tiba-tiba  dia memaki saya, "Celaka! kau rupanya  yang curi lembu aku!" Sikh itu heret saya ke rumah seorang tali barut Jepun. Sampai di satu belukar tidak jauh daru rumah tali barut Jepun itu, saya buat helah hendak pergi kencing. Sikh itu benarkan dan dia terus berjalan ke rumah tali barut Jepun.

"Bila tali barut Jepun muncul, saya segera bersembunyi di dalam belukar, "Mana orang itu?" jerkah tali barut Jepun bila lihat saya sudah tidak ada lagi. "Eh...tadi ada," kata Sikh tadi.

"Tapi ketika sedang bersembunyi, tiba-tiba lalat hutan menghurung seluruh badan saya yang separuh bogel. Lalat itu berbisa. Berpinar mata saya menahan sakit. Tapi hendak ditepuk tidak boleh takut didengar. Saya cuma ketapkan gigi, Saya lurut badan dengan tangan hingga tiada seekor pun lalat yang tinggal.

"Sementara itu, lelaki Sikh  dan tali barut Jepun terus mencari saya. Tapi dalam cuaca yang semakin gelap, mereka gagal. "Kau jangan main-main!" tengking tali barut, terus membebel dan memarahi Sikh berkenaan yang saya tengok terkulat-kulat.

"Bila mereka sudah tidak ada lagi, saya teruskan perjalanan menuju ke pantai. Sambil mulut saya menyumpah-nyumpah Jepun. Kalau bukan sebab mereka, saya takkan susah begini. Badan sudah terlalu letih, tak makan dan minum. Malam itu saya tidur di pantai dengan menimbuskan badan di dalam pasir. Kepala saya tutup dengan sabut kelapa.

"Siang harinya saya masuk ke hutan semula berjalan lagi, hinggalah malam menjelang semula. Terlepas dari dua bahaya itu, kini saya terserempak pula dengan sebuah rumah tempat tentera Jepun. Letaknya di atas bukit berhampiran pantai dengan seorang pengawal menyuluh ke bawah menggunakan sebuah lampu besar.

"Alhamdulillah, ketika pening mencari helah, saya ternampak sepasang uniform Jepun yang sudah buruk tidak jauh dari rumah itu. Saya ambil uniform itu, selempangkan di bahu seperti jala dan berjalan ke pantai semula. "Manyak Ikan Ka?" jerit tentera Jepun dari rumah berkenaan "Nai!" (tak ada) jawab saya.

" bila lampu tidak menyuluh lagi, saya segera melarikan diri, sampailah ke pertemuan kuala Sungai Belait dan Sungai Tutang. Selepas entah berapa kilometer berjalan kaki, saya terpaksa  pula berenang menyeberangi kuala sungai itu. Sebuah demi sebuah kampung saya temui, hutan demi hutan saya redah, tidur di dalam timbunan pasir. Pada hari keempat saya sampai ke Batu 10 Brunei. Tidak ada Jepun di Brunei. Malam itu sekali lagi saya tidur di dalam pasir.

"Paginya, bila terjaga, saya berjalan ke Bandar Sri Begawan. Di sana saya terserempak dengan seorang lelaki tua yang tinggal di Kampung Siti Pahlawan. "Boleh saya ikut pak cik ke sana?" saya ada saudara, nama dia Mandur Buntar," kata saya. "Boleh. Itu majikan saya," jawab lelaki tua itu.

" kampung Siti Pahlawan adalah kampung air. Saya banyak saudara di sana sebab keturunan kami berasal dari Brunei. bila sampai di kampung itu, lelaki berkenaan turunkan saya dan dia balik kerumahnya.

" bila ditinggalkan seorang diri, saya tidak tahu apa yang hendak dibuat kerana saya tidak tahu dimana letaknya rumah Mandur Buntar. Lantas dengan hanya berseluar pendek, muka yang comot, rambut kusut masai, saya duduk di hujung jambatan seorang diri. Berfikir apa yang perlu dibuat.

"Tiba-tiba seorang lelaki menyapa, "Buat apa tu kang?" dia fikir saya orang Indonesia. "Tak ada apa-apa , tunggu kawan," jawab saya.Seorang demi seorang yang lalu memanggil saya "kang". Hari itu saya menjadi orang Indonesia.

"Duduklah saya di situ dari pagi sampai ke petang, tapi tiada seorang pun mempelawa makan atau bawa balik ke rumah, hinggalah pada pukul 5.00 petang bila lalu seorang lelaki. Dia bawa saya balik ke rumahnya. Dalam berbual-bual itu saya dapati rupa-rupanya kami bersaudara.

"Ketika itu juga dia bawa saya ke surau, cukur janggut, mandikan saya, guntingkan rambut dan berikan pakaian baru. Kemudian saya dibawa balik ke rumahnya dan kami berpelukan, menangis terharu. Selepas empat hari empat malam berjalan kaki, tidak makan dan tidak minum, malam itu saya dijamu dengan bubur nasi. Saya makan dengan gelojoh. Enak sungguh rasanya.

"Keesokan harinya saya terlantar tidak boleh bangun. Rupa-rupanya makan terlalu banyak selepas makan terlalu banyak selepas beberapa hari tidak makan dan minum boleh memudaratkan badan. Seminggu lamanya saya terlantar. Apabila pulih, saya terus tinggal di kampung tersebut hinggalah perang tamat."

Kisah benar ini diceritakan sendiri oleh Awang Besar pada tahun 1999 yang pada ketika itu beliau telah menjangkau umur 80 tahun dan menetap di Kampung Brunei, Kimanis, Sabah. Begitu getir semangat juang orang-orang lama pada zaman penjajahan. Jangan mudah percaya kepada orang luar yang memberi harapan, kalau dah namanya penjajah tetap berperangai penjajah.









Dikuasakan oleh Blogger.