al-Kisah Jemaah Tabligh : suatu hari aku di Masjid Sri Petaling

Iklankan produk dan perniagaan anda bersama kami, maklumat lanjut


Kongsikan :
Magrib itu, aku mencuri masa ditengah-tengah lautan kebingitan hutan batu, merehatkan diri sebuah masjid yang cukup terkenal dengan gelaran "Masjid Tabligh" di Sri Petaling, Kuala Lumpur.


Sambil melihat jam di tangan menunggu suara merdu muazin melaungkan azan, mataku merayau-rayau memerhatikan berbondong-bondong jemaah hadir merebut setiap sudut didalam masjid, sangat indah suasananya persis di masjidil Nabawi berebut mendapatkan posisi di saf pertama.

Pakaian jemaah hampir sama, serban dan baju kurta, busana yang sangat terkenal di wilayah Asia Selatan. Bukan sahaja jemaah tempatan, kelihatan juga jemaah asing seperti dari Bangladesh, India dan Pakistan.. yang seperti aku berada di negara mereka. Suasana yang mungkin satu-satunya masjid seperti ini di Malaysia. Masjid penuh dengan jemaah, sepertinya solat Magrib itu sudah seperti solat Jumaat.

Usai solat Magrib berjemaah, aku melihat hampir semua jemaah bangun mendirikan solat sunat dan aku pun bersama mereka dan selepas itu aku mencari dinding untuk menyadar merehatkan badan.

Seorang Jemaah, lingkungan setengah abad usianya mengambil kerusi dan meletakkan di sebelah tempat imam tadi. Lelaki itu duduk di atas kerusi berhadapan dengan jemaah sambil bercakap menggunakan mikrofon.

"Mari duduk rapat-rapat. Kita datang dari jauh tinggalkan anak bini. Duduk rapat dan jangan biarkan terdapat ruang kosong di antara kita. Jangan biarkan ia diisi oleh makhluk lain selain kita. Masya-Allah!" kata lelaki yang sedang bercakap itu akan memberikan bayan sebentar lagi.

Apa itu bayan?

Mengikut kamus dewan, bayan berasal daripada perkataan Arab bermaksud nyata, terang atau ilmu pengetahuan yang menerangkang erti dan maksud perkataan-perkataan dalam al-Quran. Jadi pemberi bayan bermaksud menghurai, menerangkan dan menjelaskan supaya sesuatu ilmu itu dapat difahami dengan jelas dan nyata.

Selepas jemaah itu menyeru semua jemaah merapatkan diri bersama, aku pun tidak ketinggalan duduk rapat-rapat seperti jemaah lainnya.

Semua jemaah duduk berhimpit-himpit berhadapan dengan pemberi bayan itu. Disebabkan terlalu ramai jemaah yang ada pada ketika itu, nak tak nak terpaksalah lutut ini didirikan memberikan ruang kepada jemaah yang lain, beza sungguh dengan suasana tazkirah di masjid-masjid lain...

"Kita datang ke sini kerana apa tuan-tuan? kita datang ke sini semata-mata kerana Allah s.w.t. Kita nak berdakwah di jalan-Nya. Apa sahaja yang kita lakukan hendaklah kerana Allah s.w.t. Semoga Allah menerima kedatangan tuan-tuan," lelaki itu memulakan bayannya.

"Apa yang kita lakukan di muka bumi inilah kehendak Allah s.w.t Allah telah mencipta segala keadaan sama ada panas sejuk, angin, api dan segalanya," kata pemberi bayan itu.

Aku melihat para jemaah tidak berganjak. Ada yang mengangguk-anggukkan kepada dan mengurut janggut mendengar penuh khusyuk dan teruja mendengar isi bayan yang disampaikan lelaki itu.

"Tuan-tuan yang mulia, Allah swt terima amalan kita berdasarkan sifat ikhlas. Oleh itu, kita minta keikhlasan daripada Allah swt. Hanya Allah yang tahu siapa yang buat kerja dengan ikhlas atau tidak.

"Di mahsyar nanti siapa-siapa yang diberitahu oleh Allah swt, mereka buat kerja dengan ikhlas mereka beroleh keuntungan tetapi siapa yang buat kerja tidak ikhlas, hanya untuk menunjuk-nunjuk orang itu akan mendapat kerugian dan kebinasaan yang besar," tekan pemberi bayan lagi. Isi bayannya terus berkisar mengenai peri pentingnya percaya kepada Allah.

"Orang beriman, di dunia lagi Allah swt, beri kejayaan! Allah s.w.t, beri kehidupan yang tenag, bahagia, kemudian di akhirat Allah s.w.t beri banyak nikmat. Mereka yang tidak beriman Allah s.w.t beri kesusahan dan musibah," kata pemberi bayan itu.

Semua jemaah khusyuk mendengar. Tiada sesiapa yang bercakap-cakap hal dunia seperti kita lihat segelintir orang semasa khatib sedang membaca khutbah di masjid-masjid biasa.

Semua jemaah khusuyuk mendengar.mendengar. Tiada sesiapa yang bercakap-cakap hal dunia seperti kita lihat segelintir orang semasa khatib sedang membaca khutbah di masjid-masjid biasa.

Aku lihat, jemaah dari luar negara, duduk di suatu sudut dibantu jurubahasa masing-masing mengenai isi kandungan bayan yang disampaikan tadi.

Tidak jauh dari aku, terdapat sebuah kumpulan yangterdiri daripada jemaah-jemaah bisu. Mereka juga mempunyai jurubahasa isyarat bagi memahami apa yang dikatakan dalam bayan.

Suasana sebegini tidak wujud di masjid-masjid lain di negara kita. Aku melihat jemaah tabligh mewujudkan rasa kasih dan sayang sesama mereka tanpa pilih kasih, pentingkan darjat, pangkat atau ideologi politik.

"Tuan-tuan yang mulia, Allah s.w.t telah menghantar para nabi membuat usaha dakwah. Melalui para nabi inilah, Allah s.w.t menyeru manusia kepada agama Allah. Nabi-nabi diutus datang ke dunia memperkenalkan Allah kepada manusia, menyeru, mengajak manusia kepada Allah s.w.t.

"Mereka yakni nabi dan rasul memberitahu bahawa manusia tidak boleh berbuat apa-apa kecuali Allah s.w.t yang membuat segala-galanya untuk manusia," tegas si pemberi bayan lagi.

Aku melihat pemberi bayan itu banyak berbicara tentang kekuasaan Allah s.w.t. Jemaah yang mendengar bayan itu sangat asyik.

Panjang juga bayan yang diberikan oleh pembayan itu berdasarkan kitab yang menjadi rujukannya sehingga aku terpesona mendengarnya.

"Agama Islam adalah cara hidup yang diberi oleh Allah s.w.t untuk semua manusia bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

"Kejayaan yang hakiki akan diberi kepada mereka yang mengamalkan kehidupan dengan cara hidup Rasulullah saw. Allah s.w.t memberitahu dalam al-Quran, bahawa mereka yang mengikuti perintah Allah dan menjalani kehidupan mengikut cara yang dibawa nabi, mereka itulah yang diberikan kejayaan di dunia ini.

"Kita dapat mengamalkan keseluruhan agama ini apabila dihubungkaitkan dengan usaha agama. Kenapa agama keluar dari rumah-rumah orang Islam?


Ini kerana usaha agama ditinggalkan, oleh itu agama terkeluar dari diri orang Islam.


"Perkara yang asas ialah kita mahu menghidupkan usaha agama di setiap diri orang Islam. Inilah kerja setiap ornag Islam. Orang Islam itu sendiri. Inilah kerja setiap diri orang Islam. Orang Islam itu sendiri perlu amal agama, dia perlu bawa keluarganya kepada agama, bawa agama dalam perniagaannya, dalam kedainya, bawa agama dalam kehidupan sehariannya. Dia buat usaha menyediakan orang lain untuk buat usaha agama. Inilah tanggungjawab dan kerja setiap umat Islam," beritahu juru bayan itu.

Rata-rata kebanyakan jemaah menghabiskan masa dengan berzikir dan membaca al-Quran. Ada juga kumpulan-kumpulan jemaah yang sedang duduk di suatu sudut masjid. Mungkin mereka berbincang mengenai usaha dakwah.

Aku dapat tahu, keesokannya jemaah akan lear berdakwah dari rumah ke rumah orang Islam di lokasi tertentu. Mereka akan mengajak orang Islam di rumah supaya datang dan mengimarahkan masjid-masjid.




LIKE & FOLLOW FB : Kriss Merah Media








Dikuasakan oleh Blogger.