Kisah Benar : "Ibu dan adik saya dibunuh pengganas Komunis di depan mata"


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



MELAKA - Sebut sahaja tentang komunis, jelas terbayang di fikiran seorang warga emas kisah kekejaman, kezaliman, penderitaan dan kesedihan.

Apa tidaknya, bagi Tik Sulong, 89, dia sendiri menyaksikan bagaimana ibunya, Temun Manang, adik lelaki berusia dua tahun dan dua orang anak saudaranya yang masih kecil dibunuh dengan kejam di hadapan mata manakala abang ipar mati hangus selepas komunis membakar rumah.
Tik yang juga adik kepada pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Jamil Sulong berkata, peristiwa itu menjadi igauan ngeri sepanjang kehidupannya.

"Ketika tanah air diancam komunis, mereka bertindak merampas senjata di rumah-rumah pasung (balai polis) manakala anggota polis dibunuh.

Tik Sulong menceritakan bertapa kejamnya pengganas Komunis

"Selain rumah pasung dibakar, rumah ketua-ketua kampung atau naib ketua kampung pula menjadi sasaran mereka," katanya.

Tik ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Udang, Melaka.
Menurutnya, kejadian menyayat hati itu berlaku pada hari Sabtu, 10 Jun 1945 jam 6 pagi di Kampung Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

"Ayah saya, Sulong Mohammad merupakan ketua kampung dan antara individu bertanggungjawab membuka kawasan Parit Sulong, sekitar tahun 1940-an.

"Masa tragedi berlaku ayah tiada di rumah sebab ke kebun, dia nak pantau kerja-kerja menuai padi yang dilakukan pekerja-pekerja upahan," katanya.

Tik berkata, pada pagi hari kejadian dia dan adik beradiknya membantu ibu mereka menyediakan pisang goreng untuk sarapan.

"Ibu sempat tanak nasi untuk kakak yang baru bersalin enam belas hari. Rumah kami dua tingkat, tiga pintu. Kami tidur di bawah.

"Secara tiba-tiba kakak di dalam pantang terdengar ketuk-ketuk dibunyikan bertalu-talu diikuti dengan bunyi tembakan senapang berbalas-balas dan juga suara jeritan orang memberikan amaran supaya lari kerana komunis sedang menyerang," katanya.

Menurut Tik yang ketika itu baharu berusia 15 tahun, dia berlari menarik tangan ibu serta adik yang masih kecil berumur dua tahun dan seorang lagi tiga tahun setengah keluar menerusi pintu belakang rumah.

Sementara kakaknya yang dalam pantang mendukung anak kecilnya dengan sebelah tangan sama-sama memimpin adik yang berumur tiga tahun setengah.

"Saya jerit panggil kakak bersama empat anaknya serta suami kakak yang tidur di tingkat dua memberitahu supaya cepat lari, komunis datang serang dan saya lihat kakak yang dalam pantang berlari.

"Malang nasib kami, apabila sebaik terjun menyelamatkan diri ke dalam kolam ikan berhampiran rumah, komunis pun sampai lalu menikam ibu dengan lembing.

"Ibu yang ketika itu mendukung adik lelaki menjerit kesakitan. Saya pula benamkan muka ke dalam air separas dada dan menyorok di sebalik tumbuhan daun keladi yang memenuhi kolam ikan.

"Masih saya ingat apabila ibu sempat merayu kepada komunis, dengan menyebut 'tauke' jangan dibunuh anak saya, tapi tanpa belas kasihan komunis menikam bertalu-talu hingga ibu dan adik tidak bernyawa," katanya yang menceritakan selepas itu air kolam tiba-tiba bertukar merah disebabkan darah ibu dan adik.

Tik berkata, dalam masa sama, kakaknya sempat melarikan diri namun anak yang didukungnya berusia tiga tahun terlepas kerana kain dukungan terlucut dan ditikam bertalu-talu oleh komunis.

Sementara suami bersama anak perempuannya yang berumur lapan bulan turut mati ditikam di tingkat atas rumah kerana tidak sempat lari sebelum bertindak membakar rumah berkenaan

"Tidak dapat saya lupakan bagaimana anak saudara menggelupur kesakitan selepas sejengkal isi perut terkeluar angkara tikaman komunis.

"Selepas komunis berlalu pergi, tentera Jepun bersama orang-orang kampung datang mencari dan memanggil nama ahli keluarga masing-masing dan ayah saya bagaikan orang gila hendak terjun dalam api yang sedang marak menyala kerana menyangkakan kami semua berada di dalam rumah ketika api sedang marak.

"Lima orang ahli keluarga kami terbunuh dalam tragedi itu, manakala lima orang lagi dari kalangan penduduk kampung yang lain. Jenazah abang ipar yang mati terbakar hanya tinggal sehasta. Suasana pengebumian kelima-lima jenazah ahli keluarga kami amat memilukan," katanya.

Tapak rumah lama di Parit Sulong di mana lokasi kejadian tersebut.
Menurut Tik selepas tragedi itu, dia sekeluarga yang terselamat tinggal menumpang selama empat malam di rumah orang yang bersimpati dengan nasib mereka di Batu Pahat sebelum berpindah dan menetap di Sungai Udang, Melaka tempat asal ayahnya.

"Saya mendirikan rumah tangga dengan suami, Abdul Jalil Hashim, anak seorang guru yang juga Sidang di Sungai Udang dan kemudiannya dikurniakan lapan orang anak.

"Suami saya memandu teksi di Singapura. Pada tahun 1954 saya berpindah ke Singapura mengikut suami dan tinggal menumpang dengan abang saya yang menetap di Jalan Ampas. Seminggu selepas perintah berkurung di Singapura kerana tragedi Natrah diambil bapanya untuk dibawa pulang ke Belanda, kami kemudiannya berpindah semula ke Melaka," katanya.

Tik aktif berpolitik dan ketika penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, beliau turut menyertainya selain banyak terlibat di dalam persatuan-persatuan termasuk pernah dilantik menjadi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Sungai Udang.

Malah beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Cawangan Sungai Udang selama 32 tahun.

Tik Sulong tiga dari kiri bergambar bersama
 adik beradiknya 

Sumber : Sinar Harian

KM: Pengganas Komunis bukanlah pejuang kemerdekaan, perlembagaan PKM jelas menyatakan cita-cita PKM yang mahu menubuhkan Republik Komunis Malaya, jika itu berhasil, nasib orang Melayu bakal senasib dengan Melayu Champa yang dibunuh beramai-ramai oleh rejim Komunis Khmer di Kemboja.

VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah



Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.