"Abang saya turut menjadi korban" kisah sedih bekas buruh landasan kereta api maut Burma-Siam 1942


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



2017, KUALA LUMPUR: Wacana Sejarah: Forgotten Victim of Siam-Burma Death Railway di Universiti Malaya (UM) di sini, Sabtu lalu, sangat luar biasa untuk Arumugam Kandasamy, 90, iaitu bekas penterjemah tentera Jepun yang pernah berkhidmat di projek jambatan kereta api maut Sungai Kwai, Burma (kini Myanmar) pada 1942 yang sejarah hitamnya tidak terpadam hingga hari ini.

Arumugam Kandasamy (kiri) menceritakan azab
ketika terlibat dengan projek landasan
kereta api maut

Selepas 75 tahun berlalu, Arumugam dijemput menjadi panel wacana anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM) dan Death Railway Interest Group (DRIG).

Dalam usia tuanya, mengenang peristiwa lampau memang sangat sukar, ditambah dengan kemarahan dan dendam yang belum padam. Malah, sepanjang acara itu juga Arumugam beberapa kali menyebut, beliau bernasib baik kerana masih hidup dan dapat pulang ke kampung halamannya di Rantau, Negeri Sembilan kerana ditugaskan sebagai penterjemah.

Jika turut dikerah membina jambatan maut yang menghubungkan Siam (Thailand) dan Burma (Myanmar) itu, Arumugam sendiri ragu-ragu apakah beliau mampu bertahan untuk terus hidup.

"Saya dibawa ke Nikki, sempadan Siam dan Burma ketika berusia 15 tahun. Bersama saya adalah abang kandung dan 48 penduduk Estet Ling Seng, Rantau.

"Ketika Jepun datang ke estet, mereka mengajak kami ke sana untuk memulakan hidup baharu. Kami hanya berfikir untuk berniaga atau bekerja mencari duit," katanya dalam sesi yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh cucu bekas buruh paksa, Ganapathy.

Kemarahan belum reda

Dibawa ke sana pada 1942, Arumugam melihat sendiri abang kandungnya meninggal dunia akibat penyakit dan mayatnya tidak diuruskan sebaik mungkin.

"Hingga sekarang walaupun sudah 75 tahun, marah saya masih belum reda dan tidak pernah ingin kembali ke sana," katanya.

Sejarah pembinaan landasan kereta api merentasi Sungai Kwai yang menghubungkan Siam dan Burma memang penuh tragik. Selain 13,000 tawanan perang dalam kalangan anggota tentera bersekutu yang dikurung di Penjara Changi, Singapura, ia turut membabitkan lebih 100,000 buruh paksa dalam kalangan orang awam penduduk Tanah Melayu, Indonesia, Thailand dan Burma.

Tentera Jepun mengawasi buruh-buruh landasan kereta api

Mengimbau kembali perjalanan beliau ke Nikki, Arumugam berkata, mereka bertolak dari estet ke Singapura menaiki lori sebelum menuju Saigon dengan kapal hingga ke Phnom Penh dan akhirnya ke Kanchanaburi, Siam. Dari Kanchanaburi, Arumugam dan kumpulan pekerja lain berjalan kaki ke Nikki yang mengambil masa 12 hari.

Mayat disusun seperti benteng

"Sepanjang perjalanan saya melihat mayat bergelimpangan. Waktu itu hati saya sudah kecut, apakah saya boleh kembali ke Rantau dengan selamat?

"Tiba di kem Jepun di Nikki, lebih banyak mayat ditemui, tetapi disusun seperti benteng," katanya.

Arumugam dalam usia 90 tahun kelihatan masih sihat dan gagah melangkah. Malah ingatannya terhadap kepedihan 75 tahun lalu masih sangat segar. Patah katanya pantas dan laju bercerita mengenai kehidupan di kem sepanjang hampir dua tahun yang disifatkannya sangat menyayat hati.

"Kami hanya makan sehari sekali tetapi dikerah bekerja setiap hari dengan tempoh masa yang panjang.

"Ramai orang mati sebab makanan yang tidak bersih, cirit-birit yang berpanjangan dan masalah kesihatan seperti luka yang lama-kelamaan menjadi bernanah, membesar serta membuatkan pergelangan kaki menjadi genting," katanya.

Mangsa dibuang hidup-hidup

Paling sukar dilupakannya adalah kawasan yang dinamakan Sangili yang terletak jauh sedikit dari kem. Di situ, terdapat lubang besar digali untuk menghumban mayat.

"Ada-kala saya melihat orang yang belum mati tetapi sakit teruk dicampakkan ke lubang itu," katanya dengan nada perlahan.

Arumugam menyebut kerana tugasnya sebagai penterjemah, beliau boleh dikira bernasib baik berbanding kawan-kawan yang lain. Bagaimanapun tentera Jepun selalu bersamanya kerana ingin tahu apa yang dibualkan oleh buruh paksa berbangsa India.

Hampir dua tahun di Nikki, projek membina landasan kereta api sejauh 420 kilometer itu siap sepenuhnya pada Disember 1943. Ketika itulah, kata Arumugam, beliau dihantar kembali ke Singapura untuk balik ke Tanah Melayu.

Hanya tujuh selamat

Daripada 50 buruh paksa yang datang bersamanya ke Nikki, hanya tujuh orang berjaya pulang dengan selamat.


Berkongsi bagaimana beliau boleh mempelajari bahasa Jepun, Arumugam menjelaskan proses pembelajarannya berlangsung secara tidak formal.

"Saya belajar dengan kamus yang mudah didapati di estet ketika itu. Dari situ, saya boleh membina ayat mudah dan faham bahasa mereka," katanya yang disokong oleh pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang turut diundang sebagai panel jemputan.

Tegas Kay Kim, bukan luar biasa Arumugam dapat mempelajari bahasa Jepun menerusi kamus kerana sebelum Jepun menawan Tanah Melayu, mereka sudah memiliki beberapa estet di Negeri Sembilan.

Tiada kajian mangsa jambatan maut

Sementara itu, Presiden DRIG, Chandrasekaran Ponnusamy, berkata sehingga kini belum ada kajian akademik mengenai mangsa jambatan maut dibuat oleh sarjana tempatan.

"Kebanyakan kajian datang dari Barat atau Jepun, manakala sarjana tempatan masih belum ramai yang tampil berbuat demikian sedangkan masa kian suntuk mereka untuk terus bercerita," katanya.

Tanpa dokumentasi dan kajian mendalam daripada sumber primer, kisah tragik ratusan ribu buruh paksa landasan kereta api maut itu akan luput daripada ingatan kolektif bangsa ibarat perjalanan panjang yang tidak mempunyai 'stesen terakhir' tetapi hilang ditelan kabus zaman.

Info

Landasan kereta api maut

Awal 1942, Jepun menawan Burma.

Untuk menghantar bekalan makanan dan tentera, Jepun menggunakan laluan Selat Melaka dan Laut Andaman yang selalu diserang oleh tentera bersekutu.

Pada Jun 1942, Jepun membina landasan kereta api dari Thanbyuzayat, Burma menghubung Ban Pong di Thailand sejauh 420 kilometer.

Projek siap sepenuhnya pada Disember 1943.

Sumber : Berita Harian

KR: Landasan kereta api maut antara siri jenayah perang yang dilakukan oleh Tentera Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua.

VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah



Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.