21 Januari 1983 perginya Ahmad Boeatamam Nasionalis Melayu Kiri


Kepada anda yang ingin mendapatkan senarai produk keluaran Muslim sila >Klik Disini<



Pada 21 Januari 1983, Ahmad Boestamam telah menghembuskan nafas terakhir beliau di Hospital Besar, Kuala Lumpur.

Pemergian penulis dan tokoh nasionalis kiri ini telah dikenang dalam sebuah tulisan oleh rakan seperjuangan beliau, Kassim Ahmad yang telah disiarkan dalam majalah Nadi Insan keluaran bulan Mac 1983.

................................................

AHMAD BOESTAMAM DALAM KENANGAN
oleh Kassim Ahmad, 1983

Ahmad Boestamam, seorang pengasas dan pembina gerakan nasionalis Melayu, seorang penentang penjajah-penjajah Jepun dan Inggeris, seorang pejuang kemerdekaan bangsa dan tanahair, seorang demokrat dan seorang nasionalis Malaysia sudah meninggal!

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar, Kuala Lumpur pada hari Rabu 21hb Januari 1983 pada pukul 10:05 pagi, setelah menghidap penyakit barah paru-paru selama empat bulan, meninggalkan seorang balu dan dua anak. Pemergian beliau, pada umur 62 tahun, menandakan tamatnya satu era di dalam gerakan nasionalis kiri di Malaysia.

Lahir sebagai Abdullah Sani bin Raja Kechil pada 30hb November 1920 di Kampung Behrang Hulu, Tanjung Malim, Perak, kehidupan Ahmad Boestamam meliputi lebih tiga puluh tahun perjuangan bangsa.

Di dalam badan mudanya telah mengalir darah pahlawan yang tidak pernah beku hingga ke detik akhir hayatnya.

Seperti rakan-rakan seperjuangannya Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaakob, Taha Kalu, Harun Aminurrashid, Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan Ishak Haji Muhammad, beliau mewarisi dan menyambung perjuangan pahlawan-pahlawan bangsa yang telah gugur di zaman silam - Dol Said, Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Datuk Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Sagor, Haji Sulong.

Malangnya, pahlawan-pahlawan angkatan beliau, seperti pahlawan-pahlawan bangsa kita sebelumnya, berkat kepintaran penjajah, tidak mencapai kemenangan.

Namun demikian, kerana darah yang telah mereka curahkan dan pengorbanan merekalah maka semangat perjuangan bangsa untuk kebebasan dan keadilan terus hidup dan membuatkan hasil-hasilnya.

Ahmad Boestamam mulai berkecimpung di dalam arena politik nasional di dalam pertubuhan politik pertama, Kesatuan Melayu Muda dalam 1940, di dalam Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan badan pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf dalam 1946, di dalam Partai Rakyat Malaya dalam 1955.

Dasar penjajah "pecah-pecah dan perintah" berjaya membunuh gabungan politik nasionalis Malaya kiri PUTERA-AMCJA, mewujudkan gabungan politik kanan UMNO_MCA_MIC serta menyerahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepadanya pada 31hb Ogos 1957.

Sekiranya, gabungan PUTERA-AMCJA berjaya mencapai kemerdekaan, selepas Perang Dunia Kedua, dengan Perlembagaan Rakyatnya yang demokratik, sejarah tanahair kita akan berbeda dan kemungkinan besar Ahmad Boestamam ialah Perdana Menteri kita yang pertama.

Tetapi sejarah tanahair selepas Perang Dunia Kedua telah mengambil arah ke kanan dan telah menyingkir pejuang-pejuang kiri. Ahmad Boestamam telah membayar harga perjuangannya dengan dua belas tahun penjara.

Tetapi sejarah ditempa oleh manusia, termasuk pahlawan-pahlawan dan pejuang-pejuang bangsa yang telah gagal. Kegagalan dulu pasti akan diganti dengan kemenangan akan datang.

Ahmad Boestamam dan pahlawan-pahlawan dan pejuang-pejuang bangsa kita, dulu dan sekarang, lambat laun pasti akan diberi tempat yang tinggi dan sah di dalam sejarah kebangsaan kita.

Ahmad Boestamam bukan saja seorang tokoh politik tetapi juga seorang wartawan, penulis dan penyair. Politik dan penulisan sama-sama bertakhta di dalam jiwa patriotiknya. Yang dituntut di dalam politik, itulah yang ditulis di dalam karangan-karangannya.

Di dalam mengucapkan "selamat jalan" kepada beliau, kita memberi salut kepada seorang pejuang bangsa. Warisan perjuangannya yang gemilang akan tercatit di dalam sejarah dan akan disambung oleh angkatan-angkatan selepasnya. Selamat jalan, dengan keredhaan Allah!

Kassim Ahmad
23hb Januari 1983

Sumber: Majalah Nadi Insan keluaran Mac 1983


Jika anda ada perniagaan dan produk Muslim yang hendak admin viralkan sila WhatsApp kami >Klik Disini<
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sila viralkan artikel di atas dengan klik button share WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lainnya dibawah ini

No comments

Powered by Blogger.