Sejarah mogok Asahan 1967


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,





Dalam sejarah perjuangan rakyat pasca Merdeka, peristiwa Mogok Asahan 1967 merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan kaum pekerja untuk menuntut keadilan dan hak asasi mereka untuk berkesatuan. 

Peristiwa ini berlaku di Estet Asahan yang terletak di sebelah timur negeri Melaka. Estet getah 7,500 ekar ini merupakan ladang terbesar milik Kumpulan Guthrie, sebuah syarikat milik kapitalis British yang sudah mula beroperasi di Malaya sejak zaman penjajahan British. 

Mulai penghujung tahun 1950an, kesemua 1,000 orang pekerja di ladang ini asalnya bersatu di bawah kesatuan NUPW (National Union of Plantation Workers)(Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang). Tetapi para pekerja Estet Asahan tidak menaruh kepercayaan tinggi terhadap NUPW yang sejak awal lagi sering mengenepikan kepentingan ahli-ahlinya dan lebih memihak kepada majikan. 

Pada penghujung tahun 1966, selepas sikap NUPW yang enggan memberi bantuan terhadap kes pemecatan beransur-ansur 56 orang pekerja, para pekerja  Estet Asahan telah menubuhkan kesatuan baru yang bergabung di bawah kesatuan UMEWU (United Malayan Estate Workers’ Union)(Kesatuan Pekerja-pekerja Estet Malaya Bersatu) yang lebih militan dan diharapkan dapat membela hak dan kepentingan mereka. 

Dalam masa beberapa bulan, seramai 579 orang dari jumlah 930 orang pekerja Estet Asahan telah bersetuju untuk keluar dari kesatuan NUPW dan menyertai kesatuan UMEWU. Tetapi majikan pemilik estet enggan untuk mengiktiraf hak perwakilan kesatuan UMEWU, malah bertindak memecat 17 orang lagi pekerja Estet Asahan yang menyertai kesatuan UMEWU. Syarikat Guthrie terus-menerus menolak untuk berunding dengan kesatuan pilihan pekerja ini.

Mulai bulan November 1967, para pekerja Estet Asahan yang dipecat bersama kesatuan UMEWU telah membangkitkan isu pemecatan mereka kepada Menteri Buruh, Timbalan Menteri Buruh, Ketua Menteri Melaka, Ahli Parlimen dan ahli DUN tempatan, tetapi tanpa sebarang hasil. Permintaan pekerja-pekerja Estet Asahan yang berpiket di depan pejabat Kementerian Buruh yang menuntut supaya kementerian merujuk kes mereka kepada Mahkamah Perusahaan turut ditolak. Mereka turut mengadakan tunjuk perasaan di depan ibu pejabat Kumpulan Guthrie di Kuala Lumpur.

Selepas berkali-kali permintaan mereka tidak dipedulikan oleh pihak berkuasa, dan pintu perundingan ditutup oleh pihak majikan, kesatuan UMEWU telah bertindak melancarkan Mogok Asahan mulai 25 Februari 1967. Dalam satu pengundian, lebih dari 90% pekerja estet ahli kesatuan dan 70% pekerja bukan ahli kesatuan telah bersetuju dengan tindakan mogok ini. Keputusan ini menunjukkan perpaduan dan solidariti yang kuat yang masih wujud dikalangan pekerja Estet Asahan. 

Pada hari pertama mogok, seramai 600 orang pekerja estet telah berkumpul di padang tempat berpiket yang terletak di depan pintu masuk Estet Asahan. Para pemogok telah mengemukakan 2 tuntutan seperti berikut:

73 orang pekerja yang dipecat hendaklah diambil balik oleh majikan.
Kesatuan UMEWU hendaklah diakui sebagai badan tunggal untuk mewakili pekerja Estet Asahan.

Malangnya tindakan mogok pekerja-pekerja Estet Asahan ini tidak mendapat simpati dari pemerintah. Sebulan selepas mogok ini berjalan, pemerintah telah menghantar polis dan Unit Simpanan Khas (FRU) ke Estet Asahan untuk menindas dan cuba menghapuskan Mogok Asahan. Semasa perhimpunan solidariti besar seramai 1,000 orang di depan pintu masuk Estet Asahan pada 26 Mac 1967, pemogok dan penyokong mereka telah diserang dengan gas pemedih mata, pentas pemogok dirobohkan, barang-barang keperluan dan makanan pemogok dirampas. Lebih 100 orang telah ditahan oleh polis. 

Pemerintah kemudiannya bertindak menguatkuasakan Undang-undang Darurat di seluruh kawasan Bukit Asahan. Pihak polis telah melancarkan serbuan dan penggeledahan dari rumah ke rumah, dan menangkap pemimpin-pemimpin pekerja Mogok Asahan. 

Dua minggu kemudian pada 8 April 1967, pendaftaran kesatuan UMEWU (yang telah didaftarkan pada tahun 1963) telah digantung oleh pemerintah. 

Walaupun berhadapan dengan penindasan dan tekanan dari pihak berkuasa, para pekerja Estet Asahan bersama kesatuan UMEWU telah meneruskan perjuangan mereka dengan satu tindakan yang lebih drastik. Untuk mengetahui apa tindakan yang telah mereka lakukan, ikuti sambungan dari episod bersejarah ini esok!



VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah




Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.