Mengenang tujuh tahun Majid Salleh sebagai tahanan politik



Semasa Malaya berada di bawah Undang-undang Darurat yang dilancarkan oleh Kerajaan Penjajah British pada tahun 1948, ramai pejuang-pejuang kemerdekaan dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditangkap dan menjadi mangsa tahanan penjajah. Antara puluhan ribu yang telah ditangkap dan dipenjara ialah seorang pemuda bernama Majid Salleh. 

Majid Salleh merupakan pemimpin seksyen buruh PKMM Johor dan merupakan ketua kesatuan buruh Johore South Federation of Trade Unions. Majid Salleh telah ditangkap oleh penjajah pada bulan September 1948 dan dipenjara selama 7 tahun kerana memperjuangkan kemerdekaan.

Sajak di bawah yang ditulis oleh Majid Salleh menceritakan pengalamannya semasa dipenjara di khemah-khemah tahanan penjajah semasa Darurat.


KHEMAH TAHANAN
oleh Majid Salleh

Apabila khemah tahanan siap 
semua PKMM dihantar ke dalam
masuk neraka dunia
masuk universiti revolusioner
universiti tanpa lecturernya.

Graduan tanpa degree dari Canselornya
lima enam tujuh lapan tahun merengkok
pindah-randah tidak tentu keruan
laksana orang tawanan perang (POW)
atau sebagai hamba tebusan.

Tempat yang tidak pernah dimimpikan
tempat tinggal di luar dugaan
juga tempat mengambil ijazah
ijazah fakulti perjuangan
pejuang tulen atau palsu
lulus atau gagal
ujian kalau benar-benar mahu Merdeka
Merdeka total.

Ada juga yang sambang
patah di tengah
merana, pengsan, menyesal
taubat tidak buat lagi
tak Merdeka pun tidaklah
ini bukan kerja, ini kerja gila.

Ya! Anak yang baru lahir di kampung tertanya-tanya
Mana bapa, mana bapa, mak!
isteri menangis teresak-esak tidak menjawab
jiran sebelah menyebelah mencemuh.

Ibu yang tadinya gemuk cuma tinggal rangka
Biarkan! Dia tu anak jantan
anak yang berbayar upah bidannya
kata bapa yang progresif pula.

Isteri yang begitu segak bertukar kusut masai
tidak ada tempat bergantung
alam menjadi begitu sempit
boneka Inggeris pergi datang tidak berhenti
konon hendak menolong tetapi menyiasat
dan berbagai tujuan lagi.

Isteri yang tidak tahan meminta cerai
lantaran desakan hidup
atau suasana alam sekeliling
ada juga kerana didesak
tidak kurang pula kerana digoda
atau sebab diugut digempar.

Si PKMM merana dalam tahanan
surat isteri dijadikan azimat
gambar anak, gambar isteri disimpan di bawah bantal
terdengar-dengar suara anak-anak ketawa
apabila diberi gula-gula pulang dari kedai
juga suara menangis apabila makan tidak ada lauk.

Tidur malam terigau-igau
semalam terdengar-dengar suar isteri berkata
masak tengah hari ini tidak ada beras, bang!
Si PKMM terbangun, terbayang di mata
Oh, beras tak ada, dia bangun hendak ke kedai
Ternampak kawan-kawan bergelempangan tidur kiri kanan
Astaghfirullah!!!
rupanya aku dalam tahanan.

Lemah segala anggota
dia tersepuk duduk
Oh, mungkin benar mereka tidak ada beras
ke manakah hendak dicari
wang tentu tiada
hendak berhutang siapa percaya
Ya Allah! Selamatkanlah anak isteriku.

Ada juga yang mati meragan
kerana berfikir tak tentu keputusan
apa dibuat apa tidak kena
akhirnya gempar sebuah kem
kerana tahanan mati merana
Innalillahiwainnailaihirajiun.

Yang menyesal tadi begitu pula
mundar-mandir seorang diri
itu salah ini tidak betul
perut lapar makan tak mahu
kerja orang semuanya salah
duduk salah berdiri pun salah
mata pejam telinga terdengar.

Datang revolusioner
revolusioner menyergah yang patah di tengah
Cih! Kau pejuang palsu
revolusioner tulen tetap luhur
biar port dekok didirikan lagi
namun itulah erti perjuangan.

Selagi hayat dikandung badan
perjuangan tak pernah berakhir
berjuang! Berjuang! Berjuang!
untuk dunia dan akhirat
untuk agama, bangsa dan nusa
untuk manusia di alam semesta.

Di dalam tahanan bermacam ragam
ada yang duduk tersepuk membaca al-Quran tidak berhenti
ada yang gila badminton pagi petang
yang asyik bermain gitar tak kurang juga
ada yang belajar tafsir al-Quran
ada yang belajar bahasa Inggeris, Melayu dan Cina
masing-masing dengan seleranya
untuk mengisi ilmu di dada.

Guru-gurunya begitu pula
Pak Sako orang pertama
yang paling sifu Inggerisnya
Karim Bakar dari Melaka
Wan Daud dari Terengganu
Syed Ahmad dari Pahang
Hassan Zol dari Kedah
Othman Bulon dari Perak
Ali Ibrahim dari Selangor
Zain Ariff dari Kedah dan Osman Yahya dari Kelantan
Inilah setengah daripada orang-orang yang pakar Inggeris
tetapi Pak Sakolah yang menjadi walking dictionarynya
orang yang alim sastera Inggeris, beliau memang alim.

Para penuntut memanglah ramai
di antaranya, Saman Sharif, Osman Abadi, Hamid Mahmud
Majid Salleh, Mustafa Yunus, Ahmad Putih, Paimin
Ahmad Hj. Taib, Ahmad Joyokario dan entah berapa
ramai lagi
mereka ini ialah classmateku di blok G
Tanjung Bruas, Melaka.

Masa periksa: Saman Sharif, first boy
Osman Abadi, second boy
Majid Salleh, third boy.

Apabila dibebaskan masing-masing dengan tujuan hidupnya
Cikgu Hamid Mahmud. menjadi Yang Berhormat di Kota Bharu
Mustafa Yunus, menjadi Yang Berhormat, Ulu Langat
Rosdin Yaacob menjadi Yang Berhormat. Ulu Yam
ini yang aku ingat sahaja, selainnya
Abu Samah Sharif menjadi developer, sudah kaya
Osman Abadi, ketua dalam Utusan Melayu, sudah kaya
Ahmad Putih, menjadi kerani polis, Temerloh
Ahmad Joyokario, pegawai bank di Jakarta
dan ramai lagi aku tidak tahu entah di mana
aku percaya mereka sudah kaya-kaya belaka
kawanku yang menjadi Yang Berhormat ini
semua menang atas tiket Perikatan atau Barisan.

Apabila sudah kaya cakap sudah lain
berjalan sudah lain, hentak sudah lain
cara duduk sudah lain
dan pakaian pun sudah lain
kepala pun sudah lain.

Pakar Arabnya ramai juga
Ustaz Abu Bakar al-Bakir, guru utama
Baharuddin Tahir, guru yang petah
Ustaz Talib Jenderam tak kurang juga
Ustaz Yunus Yatimi juga begitu
dan ramai lagi ustaz subsidi yang aku lupa.

Alam tahanan itulah dia
yang tahu mengajar, yang tak tahu belajar
semua ilmu diajar percuma
ada yang masuk tak tahu apa-apa
apabila bebas menjadi serba tahu.

Pakar lawak (clown) ramai juga
tapi ada seorang sahaja yang paling terkemuka
namanya Doktor Hey Sey (H.S.) Hj. Said
beliau abang Ustaz Yahya Nasim (Kajang)
orangnya segak, pandai bergaya
beliau boleh mengajuk lagak pemimpin seluruh dunia
apabila beliau berkelakar semua orang ketawa
jadilah buat penglipur lara
untuk memenuhi waktu yang terluang saja.

Yang paling lucu ialah pakar gaduh
rata-rata orang tahanan keras kepala
kalau orang berotak beku
tentulah tidak sampai ke khemah tahanan.

Sedikit benar orang yang penakut
orang yang berjiwa kecil
selainnya kalau bergaduh mahu saja.

Punca pergaduhan ialah menentang perjuangan
antara yang ditahan ada juga yang tak tahu apa-apa
dia bukan orang politik, dia bukan orang perjuangan
tetapi dia masuk sebab orang sakit hati.

Kerana dia jahil dia suka memuji-muji penjajah
dia menghina perjuangan
akhirnya orang marah
orang tuduh dia penyuluh
akhir timbul pertengkaran.

Apabila mulut lawan mulut bermula
datang tukang kipas
Hud! Hud! Hud! (pukul) hud sama dia
Yang kena hud ada yang sampai berak hijau
dikeronyok oleh entah siapa.

Tetapi yang paling terbilang ada seorang
semua orang tahanan kenal dia
dia orang baik, kalau kita baik
dia orang peramah dan kaki bercerita.

Namanya ialah Adam Mohamad Said
orang Batak Rabit, Teluk Intan, Perak
orangnya berani tetapi banyak akal.

Kalau suruh dia buat punca bergaduh
dia pun boleh buat juga
apabila bertumbuk hanya untuk sekali dua saja
dua tiga kali tumbuk berhenti
dia mengena pun atau dia terkena
nanti kita sambung lagi, lepas makan
atau disambung lepas mandi, atau lepas sembahyang.

Nanti apabila cukup waktu dia pergi cari
tumbuk pula kalah menang lain kira
tiap-tiap kali bertumbuk dia akan berkata
"Nanti kita sambung lagi"
apabila berjumpa tumbuk, kemudian berhenti.

Akhirnya semua orang tak berani, orang benci
mana ada orang bergaduh sambung-menyambung,
jumpa tumbuk, apabila jumpa tumbuk, perangai manusia.

Orang tahanan bergelar bung
bung Sako, bung Boestamam, bung Karim
bung Ali, bung Majid, bung Hassan
dan entah berapa bung lagi.

Title bung dipinjam dari bahasa Indonesia
bung Karno, bung Hatta, bung Tomo dan ....
Bung bererti rakan seperjuangan.

Orang tahanan yang tidak ada kiriman
hanyut membawa hati
bergantung belas kasihan kawan-kawan.

Ada yang mengacau air panas kosong waktu pagi
tak ada gula, tak ada kopi, tak ada teh, tak ada susu
Ada yang memasang paip kosong tanpa tembakau
tidak akan meminjam kepada kawan-kawan
kerana tak ada penggantinya
yang berada tolong saja
tiada huruf pinjam tiada huruf hutang.

Tahanan yang dekat kampung
keluarga datang seminggu sekali
bawa makan, bawa pakaian, bawa wang.

Ada tahanan yang tak pernah dikunjungi keluarga
lantaran jauh, miskin atau tidak berdaya.

Ada yang mengintai-intai di celah-celah pagar
kalau-kalau ada keluarga melawat
puas sudah menunggu tak kunjung tiba
masuk semula ke khemah dengan perasaan hampa
beribu-ribu macam perasaan datang
malu kepada kawan-kawan macam tak ada keluarga
kadang-kadang terlupa mereka di kampung mungkin susah
wang untuk membeli beras pun tak ada
anak di kampung entah makan entah tidak.

Apabila teringat, sejuk hati semula
mungkin di kampung hari hujan, isteri tidak menoreh
Apa ikhtiar lain? Selain dari menangis
perempuan kalau susah menangislah dia
menangis kerana anak meminta nasi.

Sampai lamunan ke situ muka naik merah
marah kepada penjajah
Aku mahu Merdeka!
Kami mahu Merdeka!
Kami mahu hak kami semula!

Mengapa pula kami diseksa?
Mengapa pula anak isteri kami diseksa?

Bukan aku nak jadi menteri
bukan aku nak jadi gabenor
tetapi aku mahu Merdeka
aku mahu negeriku Merdeka
aku mahu bangsaku Merdeka, itu sahaja
tapi kalau tak ada yang sanggup
aku juga boleh menjadi menteri
boleh menjadi gabenor atau apa saja.

Di dalam tahanan kami mogok
mogok lapar (hunger strike)
di kem tahanan Ipoh
mogok membantah bekalan makanan
bekalan makanan bermutu terlalu rendah
Cikgu Shariff Salleh ditangkap, dia ketua makanan.

Kami mogok tiga hari tiga malam
aku dan dua orang kawanku lagi
rebus kangkung yang ditanam sebelum kem didirikan
kangkung-kangkung yang hampir mati
tanpa garam tanpa umbu
makan kangkung saja tanpa nasi tanpa roti.

Kami menyorok-nyorok makan
untuk menjaga maruah
lain orang lain pula halnya
kami tidak tahu, kami tidak bercerita
mereka tidak bertanya - understood.

Di Pulau Sekijang (St. John Island) Singapura
aku ditangkap dari kem tahanan
dihantar ke jel Autram
empat malam di jel Autram aku dihantar ke Changi
aku dimasukkan ke dalam cell
cell ialah jel
tiga bulan di cell tanpa melihat matahari
tanpa melihat bulan
tanpa bercakap tinggal seorang.

Di kem Majidee, Johor Bahru
pagi-pagi subuh polis dan warden masuk menyerbu
kira-kira 400-500 orang
para tahanan semua terkejut.

Mereka memeriksa seorang demi seorang
semua beg semua barang dibongkar
diselongkar satu demi satu.

Di kem Melaka (Tanjung Keling)
Rashid Maidin menumbuk pegawai Inggeris
sebab pegawai bersikap kasar
Rashid tumbuk, pegawai itu tumbang
Rashid kata, "I have been six months
in England, I never seen such people
like you. You are cowboy!"

Apabila kami pindah dari Melaka ke Ipoh
baca berita surat khabar Rashid cabut
dia ugutan
Apabila mesyuarat Amnesty di Baling, Kedah
Rashid mesyuarat dengan Tunku Abdul Rahman
Itu kerja Rashid Maidin
mana dia dapat akal itu kita tidak tahu
Rashid betul berani.

Dalam tahanan ramai juga yang menung saja
puncanya ialah memikirkan hal anak isteri
bagaimana isteri menanggung anak?
bagaimana anak-anak pergi sekolah?
adakah anak-anak berbelanja ke sekolah?
bagaimana kalau sakit dinihari tengah malam?
yang nampak di kepala hanya yang buruk-buruk sahaja.

Orang berada tidak gusar
cuma memikirkan bila akan bebas
membilang hari membilang bulan
habis wang hantar surat, ke kampung.
Apabila Hari Raya sekali lagi bersedih
terpandang-pandang anak nak makan daging
hendak makan gulai ayam
hendak makan lemang, ketupat, kuih raya
hendak pakai baju baru.

Ah, meminta-minta ke rumah orangkan pula?
mungkin isteri tidak terdaya
hendak mengadakan itu semua
tak sedar air mata menitik
Aduh, ini semua angkara penjajah.

Masa tahanan tidak tahu bila akan bebas
mungkin esok, mungkin lusa, mungkin bulan depan
mungkin setahun lagi, mungkin lima tahun lagi
dan mungkin sepuluh tahun dan mungkin mati
di dalam tahanan, tiada siapa yang tahu
enam tujuh terus lapan dan sembilan tahun
dalam tahanan bukannya mainan
hampir sepuluh peratus umur di situ sahaja
berpisah anak, berpisah isteri
kalaulah tidak benar sabar dan teguh pendirian
mungkin ramai yang mereng.

Tetapi berjuang untuk kemerdekaan
rela menempuh itu semua
daripada menahan hati terpendam
melihat bangsa dijajah
negara dijajah.

Kalau tidak kita yang berjuang
siapakah yang akan berjuang lagi
tiada siapa yang diharap dan tiada siapa yang ditunggu
siapa sedar dia berjuang dulu
yang duduk di atas pagar biarkan
biarkan duduk di atas pagar selama-lamanya
kepada yang menentang
biarkan mereka menentang terus-menerus.

Mereka menentang untuk kepentingan penjajah
seorang Tuan Putih memerintah beribu orang anak jajahan
Tuan Putih maki hamun membesarkan mata
Tuan Putih menengking sambil menunjuk dengan kaki
anak jajahan tunduk laksana tikus memandang kucing
tidak berani mengangkat muka menentang mata Inggeris.

Hina lebih hina
kaki Tuan Putih diletak atas bahu supir
tatkala supir memandu kereta tuan
supir tidak berani merokok
supir memakai baju kemas bertutup dada
kalau langgar perintah, tuan marah buang kerja.

Itulah keistimewaan Inggeris
boleh menakluki negara kita beratus tahun
anak jajahan makin lama makin penakut
Jiwa pahlawan hanya tinggal di lipatan sejarah
Sejarah entah ya, entah tidak.

Tetapi apabila udara Merdeka sudah bertiup
ramai yang menepuk dada mengaku hero perjuangan
perjuangan menuntut kemerdekaan.

Tetapi orang-orang ini atau hero-hero ini
aku tak pernah jumpa dalam tahanan
tidak juga kulihat namanya di surat-surat khabar
pada tahun-tahun perjuangan 1945-48
apa lagi namanya disebut-sebut umum
sebagai juara perjuangan
tidak, tidak pernah berlaku
itu cerita rekaan sahaja
jawabnya itulah oportunis bangsa
oportunis begini akan kekal sampai bila-bila
patah tumbuh hilang berganti
di semua masyarakat dan semua negeri.

Setelah bebas masing-masing gelisah
orang-orang dahulunya benci sekarang berasa takut
takut menegur, takut bermesra
kalau-kalau nampak kaki-kaki penjajah
nanti dicekup pula
jadi pengganti yang baru bebas.

Maka hiduplah PKMM bak kera sumbang
senyumnya, senyum sumbang
duduknya duduk sumbang
bercakapnya, bercakap sumbang
orang keliling, kawan-kawan lama
memandang dengan ekor mata.

Seminggu sekali lapor ke balai polis
atau dua minggu lapor juga jangan lupa
kalau pergi jauh lapor juga
kalau tak lapor alamat nahas akan tiba.
Begitulah nasib PKMM hingga beberapa lama
sesetengahnya hingga ke akhir hayat
barulah tamat sandiwara hidup.

Sumber: 
Buku Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh (Penerbit UKM, 2004)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

1 comment :

Powered by Blogger.