Mengenang gerakan mahasiswa membela golongan miskin (bhg 4-akhir)



Aktivis mahasiswa telah berada dalam Padang Baling bersama ribuan warga miskin desa. Mereka sedang berdemo menuntut harga getah dinaikkan. Menuntut kemiskinan dibenteras dan kehidupan mereka dibaiki.

Antara aktivis mahasiswa yang turut serta adalah Abu Zer, beliau menceritakan bagaimana ribuan warga miskin desa telah berhimpun dari awal pagi. Mereka telah dijanjikan 'ada orang besar' akan datang untuk memberi jawapan ke atas malapetaka kemiskinan yang menimpa mereka. Kemarahan dan keberanian warga miskin desa semakin jelas. 

Ribuan penduduk dari kampung ke kampung telah 'digegar dan dikocak' untuk keluar berdemo. Aktivis kampung telah ke hulu ke hilir berbasikal dan bermotorsikal menggerakkan orang-orang kampung. 

Di padang ribuan orang kampung menunggu 'orang besar'. Keadaan menjadi tegang. Hampir tengah hari tetiba sebuah helikopter datang mengarah ke padang. Mengikut cerita Abu Zer yang turun dari pintu helikopter ialah Musa Hitam yang merupakan  menteri perdagangan dalam negeri.

Di Kuala Lumpur pada Ahad 1 Disember 1974 pelajar Universiti Malaya telah pulang dari bercuti. Senin 2 Disember kuliah akan bermula. Tanpa pengetahuan komuniti kampus satu demo besar telah dirancang pada Selasa 3 Disember. Melalui hubungan peribadi, melalui hubungan tidak rasmi mahasiswa dari Institut Teknologi Kebangsaan, Institut Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya telah merancang akan keluar ke Dataran Merdeka untuk bersetia kawan dengan penduduk miskin desa di Baling Kedah.

Pada hari Isnin 2 Disember heboh Baling makin merebak dari mulut ke mulut. Pada malamnya Kelab Sosialis Universiti Malaya telah menconteng semua papan tanda di Dataran Sastera – DEMO 3 Disember Dataran Merdeka jam 10:00 Pagi. Biasanya mahasiswa akan mengadakan Sudut Pidato untuk membakar dan menghasut pelajar agar keluar berdemo. Tetapi kali ini TIDAK perlu lagi. Api kemarahan anak-anak muda telah memuncak. Berita adanya mati kebuluran di Baling telah tersebar luas dari kampung ke kampung – dari kampung ke pekan. 

Pagi Selasa 3 Disember 1974 –  Dataran Merdeka. di tepi Air Pancut depan Muzium Tektil terdapat hampir 500-1,000 mahasiswa telah sedia berhimpun.

Di zaman ini Padang Selangor ialah tempat main kriket. Justeru ada papan tanda dan tempat duduk permainan kriket ini terpasang di gigi padang. Di sinilah kain rentang yang paling bersejarah terpampang – MENTERI BUKA BANYAK GEDONG – RAKYAT MAKAN UBI GADONG. Secara bijak gambar ini telah muncul esoknya dalam Berita Harian yang dipimpin oleh Samad Ismail atau nama bawah tanahnya Zainal atau Lainaz.

FRU telah mula bertindak dari arah jambatan Sungai Klang. Tembakan gas pemedih mata berdentam dentum meletup. Mahasiswa bertempiaran lari. Ada juga yang mengundur ke arah Masjid Negara.

Pada masa itu kelihatan Anwar Ibrahim. Anwar ketika itu adalah presiden Majlis Belia Malaysia. Dia kelihatan muda kurus memakai baju batik lengan panjang berwarna coklat. Anwar bersama puluhan Mahasiswa berundir ke Masjid Negara.

Aktivis mahasiswa seperti Abu Zer, Kamarazaman Yacob dan Adi Satria terus memimpin pelajar. Sepanduk, kain rentang dan megapone muncul kembali. Demo diteruskan di dalam kawasan Masjid Negara. FRU terus bertindak dengan tembakan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama Spesial Branch tanpa uniform mula menangkap mahasiswa. Beberapa buah Black Maria telah sedia datang untuk mengangkut pelajar yang ditahan.

Di sinilah muculnya babak di mana Anwar Ibrahim telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam Black Maria. Apabila Black Maria ini bergerak dan melintasi bulatan di hadapan Masjid Negara – ratusan mahasiswa telah menahan Black Maria ini. Kamarazaman Yacob dan Abu Zer telah masuk ke dalam kereta polis ini. Polis telah lari. Kamarazamn Yacob mengambil kunci pintu dan mengeluarkan Anwar Ibrahim.

Terdapat berbelas-belas pelajar yang dibebaskan oleh Kamrazaman dan Abu Zer dari Black Maria pada 3 Disember 1974 itu – ini termasuk presiden KSITM Saudara Ibrahim Ali. Ini sejarah. Ini fakta. Jangan buat-buat lupa.

Hampir satu jam Masjid Negara diserang dengan tembakan gas pemedih mata. Bila FRU mengundur mahasiswa maju ke hadapan. Bila mahasiswa diserang mereka mengundur. Akhirnya FRU masuk ke dalam kawasan masjid. Para mahasiswa telah menyerang FRU dengan balingan pasu bunga dan apa sahaja yang ada di mata. Tembakan dan tangkapan diteruskan. Akhirnya FRU telah masuk ke dalam masjid untuk menangkap mahasiswa.


Tunjuk perasaan diiteruskan hingga ke 7 Disember 1974. Pada Subuh 8 Disember 1974 polis hutan dan soldadu masuk ke dalam Universiti Malaya menangkap pemimpin pelajar.

Sejarah Baling adalah sejarah gilang gemilang perjuangan mahasiswa dan pelajar. Sejarah Baling adalah juga sejarah perjuangan kaum kiri yang terbuka dan yang bekerja di bawah tanah. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.