Mengenang gerakan mahasiswa membela golongan miskin (bhg 3)



1974, munculnya kembali suasana kemiskinan di Baling yang pernah berikutan dengan jatuhnya harga getah. Diceritakan penduduk terpaksa mengikut perut sehingga kebuluran, mahasiswa rasa terpanggil untuk bertindak.

Seorang aktivis Mahasiswa Abu Zer Ali ke Baling. Abu Zer belas pelajar SDAR Tanjung Malim telah memainkan peranan yang amat penting dalam gerakan himpunan raktat Baling. Abu Zer dihantar ke Baling untuk menyiasat kebuluran yang terjadi kerana persatuan mahasiswa berpendapat, tanpa siasatan, tanpa fakta mereka tidak boleh bertindak. 

Abu Zer pulang dari Baling mengendong 'sesuatu' dalam buntil kain. Apabila buntil ini dibuka maka ternampaklah beberapa ketul ubi gadong. 

Abu Zer terus bersuara: Warga di Baling telah kelaparan. Ubi gadung ini sedang menjadi bahan makanan warga Baling. Mengikut apa yang diselidiki oleh Abu Zer, memasak ubi gadung ini memerlukan satu cara yang khusus. Setelah ubi ini ditemui liar dalam hutan, ia perlu direndam dalam air yang bergerak selama dua hari. Ubi gadung ini tidak boleh dimakan serta-merta. Ubi gadong mengandungi racun.

Berita sedemikian memeranjatkan mahasiswa yang amat selesa dalam kota Kuala Lumpur. Berita warga Baling makan ubi gadong telah mula tersebar luas. Bagaimana ia tersebar luas, berita ini tersebar dari mulut ke mulut, dari kolej ke kolej.

Apa yang dilihat oleh Abu Zer Ali pada hujung November 1974 adalah sejarah. Tetapi bahan sejarah ini masih ditenggelami. Mengikut cerita Abu Zer pada akhir bulan November 1974, jalan hendak masuk ke Baling dari Sungai Petani telah ditutup beberapa batu sebelum sampai ke Baling. Polis dan polis hutan mengawal jalan raya. Ini kerana satu minggu sebelumnya telah berlaku satu demo besar telah berlaku.

Polis dan polis hutan telah dibawa masuk ke Baling untuk mengawal keadaan. Jalan keluar masuk telah disekat. Polis akan membaca kad pengenalan dengan teliti. Sesiapa sahaja yang bukan beralamat Baling tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan.

Muka yang paling diperhatikan ialah muka anak muda yang kelihatan 'urban', yang dilihat bukan budak kampung, muka yang dianggap mahasiswa. Ini kerana pihak polis dan Special Branch sedar ketika ini Universiti Malaya sedang bercuti, justeru pasti ada pelajar anak Kedah yang akan 'menjenguk' Baling.

Ramai pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya datang dari Kedah dan Kelantan. Ini kerana wilayah mereka masih ada tradisi sekolah pondok. Justeru jika muka-muka mahasiswa ini dilihat maka 100 peratus mereka akan dihalau pulang.

Bagaimana Abu Zer boleh sampai?

Dia telah mengikuti jalan belukar dan masuk ke dalam sawah untuk menghindari polis dan polis hutan. Kemudian dia terus menapak ke Baling. Abu Zer melalui budi bahasa tutur katanya telah dapat menumpang di rumah petani muda beranak dua. Ini sejarah.

Mengikut Abu Zer orang-orang di Baling pada tahun 1974 memang miskin. Hujan tidak berhenti hampir satu bulan. Ekonomi Baling ialah getah dan sawah padi. Penduduk Baling 100 peratus adalah orang Melayu. Sebulan hujan ertinya sebulan tidak menoreh.

Ertinya sebulan tidak ada pendapatan. Semua duit simpanan telah kering. Penduduk miskin desa tidak ada harta untuk digadai. Maka mereka ke hutan mencari ubi gadong. Maka di sinilah muncul kisah 'orang Baling mati kebuluran'.

Hingga ke hari ini, ada pihak yang mendakwa mahasiswa sengaja menimbulkan kisah 'mati kebuluran' ini sebagai fitnah dari Anwar Ibrahim, ikon gerakan mahasiswa ketika itu. 'Warga Baling mati kebuluran' – mengikut "mereka-mereka itu" adalah fitnah yang dirancang oleh gerakan mahasiswa 1974.

Apa lagi yang diceritakan oleh Abu Zer?

Abu Zer telah menjadi tamu seorang petani muda. Malah kesampaian Abu Zer memang tepat pada waktunya. Abu Zer sempat bersama melihat bagaimana warga miskin desa telah disusun untuk keluar beramai-ramai berdemo. Mengikut Abu Zer dia ternampak 'aktivis kampung' ke hulu ke hilir berbasikal dan bermotor menjemput orang ramai untuk keluar berdemo.

Sejarah telah merakamkan bagaimana ribuan penduduk Baling, Sik, Sungai Petani, Tikam Batu telah keluar berdemo. Di sini, Hishamuddin Rais mengingati tarikh itu  ialah pada Jumaat 29 November  1974 minggu akhir.

Dari cerita Abu Zer dan dari gambar-gambar sejarah kita telah melihat bagaimana ribuan warga miskin desa – yang tua, muda, kanak-kanak, lelaki dan perempuan telah turun ke jalan raya.

Mereka membuat sepanduk dengan kertas kotak. Tidak ada kain rentang. Tapi yang jelas tertera dari sepanduk mereka ialah keberanian mereka turun ke jalan raya melahirkan rasa tidak puas hati.

Mereka berarak membawa sepanduk dari kampung masing-masing menghala ke padang pejabat kerajaan. Mereka menuntut harga getah dinaikkan. Mereka menuntut hak mereka untuk mendapat bantuan. 

Di padang pejabat kerajaan ribuan penduduk menunggu. Orang-orang kampung telah difahamkan bahawa ada 'orang besar' dari Kuala Lumpur akan datang. Polis, polis hutan dan tentera telah siap sedia. Special Branch berkeliaran untuk memahami apa yang sedang terjadi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.