Kisah sedih seorang ustaz menguruskan jenazah etnik Rohingya


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,


22 Ogos 2018

MARI BACA KISAH KESUNYIAN SEORANG SUAMI DI BUMI ASING INI...




"Saudara kita Muslim Rohingya bernama Salleh Ahmad yang baru kematian isterinya di Hospital Serdang yang diuruskan sepenuhnya oleh pihak SPJ Malaysia baru-baru ini. Ada kisah cinta & pengorbanan di sebalik kematian isterinya, Almarhumah Begum Abu Bakar Sidek.

********************************




Usai menyempurnakan urusan mandi dan kafan jenazah isterinya yang telah disempurnakan oleh suami arwah dibantu Ustazah Normi, kami mengajak beliau ke cafe untuk makan tengahari sementara menunggu waktu Zohor kerana pengebumian jenazah dijadualkan selepas solat Zohor.

Dia menolak katanya sudah makan pagi tadi dan ingin menemani jenazah isterinya itu. Kami pun pergi meninggalkannya sendirian ditemani jenazah isterinya.

Selesai makan tengahari, dari jauh saya terdengar suara esak tangisan sayu seseorang yang datangnya dari dalam bilik pengurusan jenazah. Ketika itu hati saya tersentuh melihat suami arwah menunaikan solat Zohor di sisi jenazah isteri dalam keadaan teresak-esak.




Luhur di hati saya dapat merasakan pasti ada beban yang ditanggung di hati si suami tersebut. Sesudah dia solat, saya pergi menenangkannya dan cuba untuk tahu apa masalahnya. Namun dia lebih banyak berdiam diri dan sesekali mengesat air matanya yang keluar. Saya pun tidak bertanya lagi bimbang mengganggu emosinya ketika itu.

********************************

HUJAN LEBAT SEWAKTU PENGEBUMIAN JENAZAH.

Kami sampai ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang sekitar jam 2.30 petang dengan menggunakan perkhidmatan dari Airist Ambulans yang banyak menyokong kerja-kerja amal SPJ Malaysia.  






Sewaktu itu langit sudah mulai gelap dan hujan renyai mula membasahi bumi. Kami mempercepatkan langkah agar proses pengebumian berjalan lancar sebelum hujan turun lebih lebat.

Selesai saja menurunkan jenazah ke liang lahad oleh suaminya dan dibantu Tn. Muhd Shahril Abdul Raheem serta seorang penggali kubur di situ, kami menutupnya dengan papan lahad dan sewaktu itulah hujan mulai turun dengan lebatnya disertai angin kuat yang hampir-hampir menerbangkan khemah yang memayungi kami. 

Namun semua itu tidak diendahkan oleh sang suami yang rela dibasahi hujan dan terus mencapai cangkul dan mula menimbus tanah ke atas pusara arwah isterinya itu. Melihat kecekalan dan semangat luar biasa itu, kami pun redha dibasahi hujan yang lebat tersebut.

Peristiwa syahdu tersebut sempat dirakam oleh salah seorang ahli skuad kami. Sungguh tinggi pengorbanan sang suami yang kami saksikan sejak dari awal lagi. Allahurobbi...





********************************

BARU TAHU KISAH SEBENAR DISEBALIK TITISAN AIR MATA SANG SUAMI.

Setelah selesai menyempurnakan pengebumian arwah isterinya itu, saya mengajak ahli-ahli skuad pergi ke restoran berdekatan untuk membasahkan tekak.

Sewaktu sedang minum itulah baru sang suami mendapat kekuatan membuka kisah sebelum kematian isterinya yang dicintai itu.




Katanya mereka menetap di Gua Musang, Kelantan bersama dua anaknya berusia 8 tahun dan 2 tahun. Si suami berusia 48 tahun dan isterinya 38 tahun, masing-masing bekerja kampung dan cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Satu hari mereka mendapat makluman bahawa saudaranya dari Myanmar akan sampai ke Malaysia dan ingin tinggal bersama mereka. Si suami tidak dapat pergi menjemputnya kerana kekangan kerja dan dia mengizinkan isterinya pergi menjemput saudaranya itu menaiki bas menuju ke KLIA.

Namun musibah terjadi, isterinya tertinggal kad UNHCR miliknya dan dia gagal menghubungi isterinya selama hampir sebulan sebelum dimaklumkan isterinya jatuh sakit di Hospital Serdang. Allahurobbi.. 

Dia segera ke hospital dan menemani isterinya selama hampir 2 minggu. Saya mendapat makluman dari staf hospital, si suami hanya tidur di kaki lima hospital selama 2 minggu tersebut.

Saya bertanya lagi kepadanya, siapa yang menjaga anak-anaknya di Kelantan? Katanya dia mengupah satu keluarga Melayu yang juga jirannya RM 300 sebulan untuk menjaga kedua-dua anaknya itu.

Ceritanya lagi, punca dia gagal menghubungi arwah isterinya sebelum itu adalah kerana sewaktu isterinya sampai di KLIA, arwah isterinya telah ditahan pihak Imigresen di KLIA kerana gagal menunjukkan kad UNHCR miliknya ketika itu. Ditambah lagi apabila isterinya itu kurang fasih berbahasa Melayu dan tidak dapat menjelaskan situasi yang sebenar, maka dia telah ditahan sebelum jatuh sakit sewaktu dalam tahanan.

Di hospital, isterinya sempat menceritakan apa yang terjadi dan dia juga gagal bertemu dengan saudaranya itu sebelum arwah isterinya tidak sedarkan diri.

Allahuakbar.. Sewaktu dia menceritakan perkara ini saya tak dapat bayangkan betapa peritnya situasi yang mereka lalui. Terus teringat jenazah-jenazah yang tidak berwaris yang pernah kami uruskan. Mungkinkah nasib ditanggung mereka sama sepertinya..?

*******************************

ORANG MALAYSIA SEMUA BAIK-BAIK... 

Sebelum balik, saya bertanya kepadanya hendak pergi ke mana selepas ini? Dia diam.

Kemudian bersuara, "Hantar saya balik ke hospital semula. Saya tak tahu nak pergi ke  mana lagi sebab kalau nak balik ke Gua Musang tentu bas dah tak ada kerana ramai orang pulang beraya. Saya terpaksa tinggal di hospital sehingga selesai raya haji."

Saya segera menghubungi perkhidmatan Grab Car untuk menghantarnya ke Hospital Serdang semula dan membayarkan tambangnya.

Sebelum dia menaiki kereta tersebut, dia bersalaman dengan saya dan seakan ingin mencium tangan saya namun sempat saya menahannya. Dengan linangan air mata, dia pantas memeluk erat badan saya dan dengan perlahan dia berkata;

"Terima kasih Ustaz sebab bantu saya. Orang Malaysia semua baik-baik. Terima kasih semua.." 




Perlahan dia menutup pintu kereta sambil tersenyum sayu dan melambai tangan kepada kami. Kereta yang membawanya pun berlalu pergi.

*******************************

Begitulah kisah di sebalik air mata sang suami. Kita beruntung kerana tidak senasib seperti mereka yang menjadi buangan negara sendiri dan hidup merempat di negara orang.

Sewajarnya kita bersyukur atas segala nikmat yang Allah swt kurniakan kepada kita walaupun sekecil-kecil perkara. Kehidupan mereka di dunia ini mungkin dipandang hina dan ditindas, siapa tahu di akhirat kelak merekalah penghuni-penghuni Syurga yang tertinggi berkat kesabaran yang ditanggung di atas dunia ini.

Diharapkan dengan kisah ini menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. Semoga Allah swt memberikan ketabahan buat Saudara Salleh Ahmad dalam menjalani sisa-sisa kehidupan ini dan semoga arwah isterinya dirahmati oleh Allah swt di alam sana berkat keredhaan sang suaminya.

Ya Allah. Jadikan kami hamba-hamba-Mu yang sentiasa tabah dan ikhlas dalam menghadapi setiap ujian dari-Mu. Aamiin.

TERIMA KASIH SKUAD!

********************************

BANTULAH KAMI UNTUK MEMBANTU UMMAH!

Mohon untuk menyalurkan sumbangan dana bagi pembelian van jenazah bagi kegunaan ummah.

Segala bentuk sumbangan/bayaran sila masukkan terus ke akaun rasmi *Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia*

*Bank Simpanan Nasional*
1410-0410-0030-6186

Semoga Allah swt memberkati sumbangan kalian dan menjadikannya sebagai satu saham akhirat. Aamiin."

BERKHIDMAT SECARA BERJEMAAH DIBERKATI ALLAH SWT!

Akhukum fillah;
-Ust. Rafie Zainal-
Pengerusi;
Skuad Pengurusan Jenazah - SPJ Malaysia
Majlis Usrah Nur Fattah
013-322 7937 (24 jam berkhidmat)

#SPJM
#pengurusanjenazahpercuma
#vanjenazah

VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah



Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.