Khatijah Sidek, srikandi bangsa yang radikal menuntut kemerdekaan Tanah Melayu


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



1 Jun 1982, sebuah rencana khas dari majalah Nadi Insan

IBU KHATIJAH SIDEK DALAM KENANGAN (1982)

Pada awal pagi 1 Jun 1982, seorang pejuang nasionalis telah dengan penuh tenangnya menghembuskann nafasnya yang terakhir setelah lama mengidap penyakit lumpuh dan lemah paru-paru.

Pejuang yang dimaksudkan itu ialah Ibu Khatijah Sidek, 62 tahun, seorang sri kandi negara yang pernah dengan gigihnya, dan tanpa mengenal penat lelah, memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan menegakkan keadilan. Pemergiannya ke alam fana merupakan kehilangan seorang tokoh wanita yang banyak berjasa ke arah kemerdekaan negeri ini — seorang tokoh yang rela berkorban apa saja dan sanggup meninggalkan tanah tumpah darahnya, Sumatra, untuk berganding bahu dengan wanita Malaya untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Ibu Khatijah telah dilahirkan pada tahun 1918 di Padang Tinggi, Sumatra. Allahyarhamah mula bersekolah di sekolah Belanda pada waktu pagi dan sekolah agama di sebelah petang. Semasa di sekolah menengah Belanda, Ibu Khatijah telah bergiat dalam persatuan pelajar seperti keputerian Indonesia Muda dan Kepanduan Bangsa Indonesia, yang kedua-duanya mempunyai matlamat memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

Di sinilah mula timbul semangat dan minatnya untuk bergiat dalam bidang politik. Malah, pada ketika itu, Ibu Khatijah telahpun melibatkan dirinya dalam kegiatan menentang penjajahan Belanda sehingga ia dibuang sekolah pada umur 15 dalam tahun 1933.

Setelah itu, Ibu Khatijah telah mengajar di sekolah swasta di Sumatra. Ia enggan mengajar di sekolah kerajaan kerana kebenciannya yang mendalam terhadap penjajah Belanda. Tetapi, oleh kerana kekurangan guru, beliau telah dipaksa juga mengajar di sekolah Kerajaan. Semua tindakan ini telah terus membakar hatinya dan membuat ia lebih benci terhadap penjajah Belanda dan seterusnya menukar pandangannya untuk menjadi lebih militan.

Pada tahun 1944, Ibu Khatijah telah mengepalai Badan Sukarela Tentera Wanita yang digelar Puteri Kesatria, dan seterusnya Taman Didikan Puteri Kesatria, di Bukit Tinggi, Sumatra. Tugas Ibu Khatijah ialah untuk membangkitkan semangat perwira-perwira Indonesia yang akan pergi berjuang melalui ucapan-ucapannya yang bersemangat.

Sifat kepahlawanannya yang bersemangat itu telah mendorong beberapa orang pejuang kemerdekaan di Tanah Melayu memujuknya untuk melawat Malaya demi memberi bantuan dalam melatih dan meninggikan kesedaran politik wanita di Tanah Melayu.

Walaupun pada mulanya beliau agak keberatan menerima undangan tersebut, tetapi pada bulan Julai 1947, ia telah meninggalkan tanahairnya untuk memberi syarahan bersemangat di Singapura dan Malaya.

Oleh kerana jodohnya di sini, dan juga atas faktor keselamatan, beliau akhirnya terus menetap di sini setelah berkahwin dengan seorang doktor persendirian, Dr. Hamzah Taib, dan seterusnya bergiat dengan aktif dalam perjuangan ke arah memerdekakan Tanah Melayu.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu UMNO, Malaya dan juga pernah menjadi Ketua Dewan Musiimat PAS yang pertama setelah memasuki PAS pada tahun 1958. Ibu Khatijah juga merupakan ahli Parlimen wanita yang pertama bagi kawasan Dungun, Terengganu, setelah beliau memenangi kerusi kawasan itu dalam pilihanraya umum tahun 1959 sebagai calon PAS.

Ibu Khatijah juga merupakan seorang pejuang untuk keadilan, terutama demi memperbaiki taraf kedudukan kaum wanita. Semasa beliau bergiat dalam UMNO, pergerakan Kaum Ibu belum maju lagi. Tetapi, dengan usahanya yang gigih, Kaum Ibu telah dapat dimajukan menjadi sayap penting UMNO.

Dalam mesyuarat-mesyuarat agong UMNO, Ibu Khatijah selalu dengan lantangnya memperjuangkan hak Kaum Ibu dan menuntut supaya ia diberi layanan yang sewajarnya dan tidak hanya sebagai perkakas menjadi "tukang kutip yuran dan tukang kutip suara (undi)."

Dalam kegigihannya memperjuangkan kemerdekaan dan keadilan, Ibu Khatijah telah menghadapi berbagai cabaran yang memerlukan pengorbanan besar daripadanya. Beliau pernah melahirkan anak sulungnya semasa menjadi tahanan politik penjajah Inggeris di Singapura pada tahun 1948-50.

Tetapi, apa yang amat menyedihkan hati beliau sehingga akhir hayatnya ialah tindakan orang-orang tertentu dalam UMNO yang telah memecatnya dari Jawatan Ketua Kaum Ibu pada tahun 1956. Pada masa itu, suaminya baru saja meninggal dunia dan anaknya sakit teruk.

Untuk menyara hidup dirinya serta lima orang anaknya, beliau telah membuka kedai menjahit pakaian. Tetapi, alangkah hancur hatinya apabila beliau mendapati Kaum Ibu UMNO memulaukan kedainya. Namun demikian, beliau tetap tabah hati dan terus berjuang dalam PAS bersama-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ustaz Zulkifli Ahmad.

Pemergian Ibu Khatijah buat selama-lamanya amat merugikan tanahair kita. Walaupun berasal dari Indonesia, namun kesetiaannya menabur bakti menuntut kemerdekaan Tanah Melayu memang tidak berbelah bagi. Pengorbannya itu tetap akan dikenang oleh rakyat negeri ini.

Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang saleh.

Nadi Insan, Julai 1982

--------------------------------------------------------------------

Sumber gambar: Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesateria Bangsa (Penerbit UKM, 1995)



VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah



Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.