Giliran Persatuan Ulama Malaysia bantah ICERD


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



Tahniah Persatuan Ulama Malaysia, para alim ulama benteng mempertajankan ummah, ulama penyala obor perjuangan.


SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menolak sepenuhnya cadangan untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Yang Dipertua PUM, Datuk Al Syeikh Abdul Halim Abd Kadir (gambar) berkata, ini kerana tiada keperluan bagi kerajaan meratifikasi ICERD yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adat budaya dan kerukunan hidup masyarakat di negara ini.

Malah katanya, ratifikasi itu mampu memberi kesan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkaitan Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“PUM juga menggesa semua pihak termasuk pimpinan Kerajaan supaya memahami dan mengiktiraf hak asasi sebenar yang menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Apatah lagi hak dan keperluan tersebut telahpun ada dan disepakati sejak merdeka dengan wujudnya kontrak sosial antara kaum,” katanya melalui kenyataan media.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan mencukupi dalam mengiktiraf hak kesamarataan melalui Perkara 8 bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan, sama ada dalam konteks agama, bangsa, keturunan, tempat lahir dan jantina, adalah terjamin dan menepati keperluan semasa masyarakat di negara ini.

Jadi katanya, Malaysia tidak memerlukan campur tangan atau keterikatan dengan kuasa asing dalam menjamin keadilan dan kestabilan negara.

“Bahkan cukup untuk kita mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai tunjang kepada perpaduan dan asas pembangunan kaum dan negara Malaysia.

“Apatah lagi jika diteliti, pencabulan dan pelanggaran hak asasi dan diskriminasi di negara kecil, terutama di negara-negara umat Islam tertentu, oleh kuasa besar lebih meluas tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Dalam pada itu, PUM juga mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada semua pihak terutama kerajaan, dalam usaha memartabatkan agama dan bangsa serta mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : Sinar Harian



VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah




Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.