Artikel 1(4) ICERD bercanggah Perlembagaan Persekutuan - Pakar


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



KUALA LUMPUR: Peruntukan Artikel 1(4) Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dilihat bercanggah dengan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.




Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz, Artikel 1(4) boleh memberi kesan negatif kepada hak istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, selain kedudukan Islam, tanah rizab Melayu dan tanah adat Bumiputera.

Katanya, Artikel 1(4) itu secara dasarnya membenarkan kerajaan yang mahu meratifikasi ICERD untuk melaksanakan inisiatif khas bagi membantu kaum tertentu yang ketinggalan, seperti hak istimewa Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi, kebimbangan saya ialah apabila artikel itu juga menyatakan apabila tujuan inisiatif khas berkenaan tercapai, maka ia hendaklah dihapuskan.

“Saya tidak fikir peruntukan seperti kuota anak Melayu, Sabah, Sarawak serta komuniti lain yang diperuntukkan dalam Perkara 153 boleh dihapuskan.

“Walaupun laporan Suruhanjaya Reid pernah mencadangkan Perkara 153 dilaksanakan dalam tempoh masa yang sewajarnya, serta ada yang mencadangkan 15 tahun, ia tidak dipersetujui ketika proses penggubalan Perlembagaan.

“Lebih penting adalah Artikel 1(4) ICERD turut bercanggah dengan Perkara 89 membabitkan tanah rizab Melayu, yang saya yakin tiada tempoh masa ditetapkan untuk peruntukan itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Kabinet memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD dan kerajaan akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya kontrak sosial, yang dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara.

Shamrahayu berkata, keputusan Kabinet menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap perjanjian yang dibuat pada 1957, membabitkan nilai berkaitan dengan jurang antara komuniti dan masyarakat negara ini.

“Keadilan adalah tujuan pokok Perlembagaan Persekutuan, bukan kesamarataan kerana kedudukan masyarakat, ekonomi, budaya dan agama yang berbeza.

“Perkara 153 harus kekal dan tiada had masa kerana bukan menyatakan soal kuota Bumiputera dan Melayu semata-mata, tapi juga kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata ratifikasi ICERD secara tidak langsung boleh membuka ruang untuk Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan agama Islam, dipertikaikan.

Katanya, ia berikutan Perkara 11 memberi keistimewaan kepada agama Islam apabila memperuntukkan sekatan penyebaran ajaran bukan Islam, kepada orang Islam, yang boleh dilihat sebagai bercanggah dengan ICERD.

“Apabila ICERD diratifikasi, Malaysia akan tertakluk kepada penilaian antarabangsa secara berkala dan sewaktu penilaian, panel petugas atau mana-mana pihak yang ingin menyertai pembentangan itu boleh mengemukakan sebarang pertikaian yang ada kaitan dengan hak persamaan semua kaum.

“Isunya bukan percanggahan dari sudut teknikal undang-undang semata-mata, tapi juga risiko undang-undang kita terdedah dengan pertikaian pada peringkat antarabangsa, dan mungkin terpaksa berdepan pindaan,” katanya.

Tambah beliau, ICERD turut bercanggah dengan Perkara 8 yang mengehadkan Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

Sumber : Berita Harian

Admin : Siapa kata ICERD tidak bertentangan dengan Perlembagaan ?

VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah




Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.