Terima kasih pemuda PAS, akhirnya kedai ini dah tak jual arak



Bukan kita nak halang non muslim minum arak, tetapi penjualannya perlu dikawal... tiada agama halalkan arak dan ia merosakkan manusia..

Taman Arowana di sini menghentikan penjualan minuman keras di premis mereka mulai Khamis lalu.

Keputusan itu diambil setelah premis berkenaan menerima bantahan daripada Dewan Pemuda Pas Jerlun dan juga Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Jerlun, Abdul Hadi Omar berkata, pihaknya gembira usaha kecil mereka sejak tiga bulan lalu akhirnya membuahkan hasil.

Katanya, pihaknya sebelum ini membuat desakan berkenaan melalui suatu memorandum yang dibuat pada 2 Jun lalu.

"Seterusnya, kami bersama-sama Adun mengadakan satu kunjungan dan perbincangan dengan pengurus premis berkenaan untuk mencapai keputusan terbaik dalam isu berkenaan," katanya, semalam.

Menurutnya, setelah hampir tiga bulan menunggu keputusan dan proses pertimbangan, mereka akhirnya menerima maklum balas positif dari pengurusan premis berkenaan.

"Alhamdulillah, mereka bersetuju untuk keluarkan minuman beralkohol dari stor dan hentikan penjualan.

"Sejujurnya, kami cukup teruja dengan sikap berlapang dada  mereka yang mengambil kira bantahan kami ini demi kesejahteraan umat Islam khususnya di Ayer Hitam.

"Ini suatu kejayaan besar buat seluruh umat Islam di kawasan Jerlun khususnya di Pekan Ayer hitam. Semoga premis ini terus mendapat keberkatan dalam perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, Azhar ketika dihubungi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada premis berkenaan.

"Keputusan ini bukan sahaja menggembirakan penduduk sekitar malah juga pekerja yang mencari rezeki di premis tersebut.

"Mungkin sebelum ini ada perasaan was-was di hati mereka apabila bekerja di premis yang menjual minuman keras," katanya.

Azhar dalam masa sama turut memuji tindakan yang diambil Dewan Pemuda Pas kawasan.

"Tidak dinafikan, kerisauan mereka memuncak apabila melihat minuman keras sangat mudah didapati oleh anak muda setempat.

"Tetapi mereka tidak bertindak secara melulu, malah guna saluran betul untuk selesaikan isu ini.

"Semoga usaha mereka ini jadi contoh buat anak muda lain supaya berani ke hadapan  menegakkan Islam," katanya.

Azhar (kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan premis Jun lalu.

Sumber : Sinar Harian


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.