Senapi atau dikenali sebagai Pak Napi perlu menerima hakikat hanya itu jumlah pendapatannya hari ini meskipun seawal pukul 6 pagi sudah keluar rumah untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Bukan hanya Senapi yang le­bih 40 tahun memandu teksi perlu menghadapi hakikat itu, malah pemandu-pemandu lain di pulau peranginan itu turut mengakui pendapatan mereka terjejas teruk dalam tempoh dua tahun ini ter­utama selepas kewujudan perkhid­matan e-hailing Grab.

“Hari ini, pukul 6 pagi sudah keluar rumah menanti di lapangan terbang seterusnya di terminal ini. Namun setakat pukul 4 petang ini hanya dapat seorang penumpang. Nasib baik dapat juga RM10 hari ini, sebelum ini pernah satu sen pun tidak dapat.

“Sejak kewujudan Grab, kami pemandu teksi susah hendak cari makan. Orang ramai bukan lagi hendak naik teksi, tetapi lebih selesa memilih Grab. Jika dahulu pendapatan harian saya boleh mencecah ratusan ringgit, hari ini hendak dapat RM50 pun susah,” luah warga emas itu ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Situasi sama turut dikongsi seorang lagi pemandu teksi, Hamizi Che Mid, 45, yang me­ngakui pendapatannya terjejas teruk sejak akhir-akhir ini.

Katanya yang sudah 18 tahun mencari rezeki memandu teksi, jika dahulu dia mampu memperoleh lebih RM200 sehari, sekarang hendak dapat RM50 pun sangat sukar meskipun menanti pelanggan sehingga te­ngah malam.

“Saya masih mempunyai empat anak yang bersekolah, sewa rumah dan pelbagai hutang lain. Dengan pendapatan yang kecil ini tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Sumber : Utusan Online