Mahkamah benarkan anak luar nikah berbin/bintikan nama bapa, mufti bantah sebab bercanggah majlis fatwa




KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundangan Islam.

Ia dilihat bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang sebelum ini memutuskan anak tidak sah taraf, sama ada diikuti dengan perkahwinan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan dengan nama Abdullah yang bermaksud hamba Allah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, bersependapat keputusan itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohd Tamyes berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-Quran yang menjelaskan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan.

"Ada fatwa beberapa negeri yang memutuskan anak yang dilahirkan di bawah tempoh enam bulan, boleh dinasabkan pada bapanya, atas alasan tidak mahu anak itu kelak menanggung malu.

"Hakikatnya, anak itu tidak wajar menanggung malu kerana ibu bapanya yang berdosa. Tidak mustahil selepas ini ramai anak tidak sah taraf akan membuat permohonan untuk dibin atau bintikan kepada bapa mereka.

Rujuk mahkamah syariah

"Mahkamah sepatutnya memperakui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan negeri, di samping merujuk kepada mahkamah syariah dalam hal berkaitan agama Islam," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bidang kuasa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya tertakluk kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 dan tidak terikat dengan fatwa.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama sebenar bapa anak berkenaan dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan.

Pandangan Mohd Tamyes itu disokong Hassan yang menegaskan, adalah berdosa jika anak tidak sah taraf itu dibin atau dibintikan pada bapanya susulan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memuji keputusan itu yang seiring dengan keputusan fatwa negeri berkenaan yang membolehkan anak yang lahir kurang dari enam bulan, dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Beliau mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu menzalimi anak terbabit dan ibu bapa mereka sepanjang hayat.

Berpandukan Mazhab Shafie

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata jika anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan pada bapanya, ia akan menimbulkan kekeliruan dan pelbagai masalah seperti ketika mahu berkahwin dan pengagihan harta pusaka.

Katanya, bapa berkenaan tidak boleh menjadi wali kepada anak tidak sah taraf dan jika ia berlaku, perkahwinan itu tidak sah.

"Jika berlaku kematian pula, bapa atau anak itu tidak layak menerima harta pusaka dan jika diberikan juga, ia dikira merampas hak orang lain.

"Saya menghormati keputusan mahkamah, namun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Shafie," katanya.

Katanya, ada pendapat lain membenarkan anak itu dibin atau dibintikan pada bapa, namun setiap keputusan perlu berpandukan Mazhab Shafie yang diamalkan di negara ini.

Sumber : Berita Harian


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.