Kisah bani Israel yang disumpah menjadi kera

Kalau ada apa-apa cerita atau produk nak dikongsi ke dalam blog ini, terus je pm facebook Kriss Merah <= klik



CUBA BERHELAH DENGAN ALLAH LALU DISUMPAH MENJADI KERA.

Bani Israel memang terkenal dengan kedegilan mereka yang pelbagai ragam. Akibat kelicikan Bani Israel yang suka mempermainkan aturan Allah dan RasulNya, maka mereka ditimpa laknat hingga kiamat. 

⚫ Ujian Dunia.

Allah telah mensyariatkan agar Bani Israel bercuti penuh untuk menumpukan fokus ibadat mereka pada hari Sabtu. Mereka dilarang melakukan aktiviti keduniaan termasuklah menangkap ikan pada hari tersebut. Hari Sabtu merupakan hari mulia bagi mereka seperti hari Jumaat bagi kita.

 إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ ۙ لَا تَأْتِيهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ نَبْلُوهُم بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

"Ketika mereka melanggar peraturan pada hari Sabtu. Lalu muncullah ikan-ikan yang terapung-apung sedangkan di hari lain, ikan-ikan tersebut tidak pula muncul kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka kerana mereka berlaju fasiq" - al-A'raf 163.

Bani Israel yang mendiami kawasan persisir pantai Laut Merah diuji oleh Allah dengan lambakan ikan-ikan gemuk yang timbul hanya pada hari Sabtu. Sementara hari-hari lain, ikan-ikan tersebut tidak pula kelihatan.

Buat sementara waktu, mereka menahan diri dari melanggar pantang yang telah Allah tetapkan. Iaitu jangan tangkap ikan pada hari Sabtu. Tetapi lama-kelamaan sebahagian dari mereka tidak tahan lalu merancang helah untuk menipu hukum Allah.

⚫ Cuba Berhelah.

Strategi yang mereka rancang adalah dengan memasang sangkar-sangkar ikan pada hari Sabtu. Helah mereka ialah, biarkan ikan-ikan gemuk itu masuk ke dalam sangkar. Kemudian pada hari lain, mereka akan menaikkan sangkar-sangkar tersebut yang telah dipenuhi dengan ikan hari Sabtu.

Hasil lumayan itu dinikmati tanpa rasa bersalah. Alasan Bani Israel bahawa Allah hanya melarang mereka tangkap ikan pada hari Sabtu. Allah tidak larang dari meletakkan sangkar untuk memerangkap ikan pada hari tersebut. Justeru perbuatan yang pada asalnya haram, boleh diolah untuk kelihatan halal walhal tujuannya tetap sama. Iaitu untuk menyolek sumber yang haram menjadi halal.

⚫ Terpecahnya Bani Israel.

Dari kecurangan tersebut, Bani Israel berkonflik lantas terpecah kepada tiga kelompok.

• Kelompok pertama: Mereka yang khianat cuba berhelah dengan hukum Allah. Golongan yang tetap memerangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka menganggap apa salahnya perbuatan tersebut. Alasan demi alasan, helah demi helah dikemukakan semata-mata untuk mewajarkan perkara haram yang mereka lakukan agar berubah kelihatan menjadi halal.

• Kelompok kedua: Kelompok beriman yang menentang helah golongan pertama dengan pelbagai nasihat dan peringatan. Segala usaha kesedaran kelompok beriman tidak berhasil dek degilnya golongan yang sedang rambang mata dengan dunia. Apabila disoal mengapa tidak habis-habis menasihati mereka sedangkan kedegilan mereka hanya layak dibalas dengan bala dari Allah. Lalu kelompok yang beriman menjawab:

قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

"Mereka berkata, (usaha tersebut) sebagai alasan kepada Tuhan kalian (bukti kami sudah menjalankan tugas menegur) dan mudah-mudahan mereka bertaqwa" - al-A'raf 166.

• Kelompok ketiga: Puak yang berdiam diri membiarkan penyelewengan agama berlaku tanpa melarang. Mereka inilah yang menyebabkan golongan yang sedang membuat salah, merasa sedang berada di pihak benar kerana tidak ditegur.

⚫ Jadilah Kera Yang Disumpah.

Teguran demi teguran tidak diendahkan. Bahkan mereka semakin yakin kononnya perbuatan mereka sah di sisi syariat. Teguran dan nasihat dibalas dengan reaksi angkuh. Akhirnya Allah menimpakan azab atas kedegilan dan ketamakan mereka.

فَلَمَّا عَتَوْا عَن مَّا نُهُوا عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

"Maka tatkala mereka angkuh terhadap apa yang telah dilarang, Kami titahkan kepada mereka "Jadilah kamu kera yang hina!" - al-A'raf 166.

Demikianlah azab yang dahsyat ke atas golongan yang cuba melakukan helah terhadap Allah. Adapun kelompok beriman yang tegar melarang dan menasihat, diselamatkan dari bala tersebut dengan rahmat Allah. Sementara golongan yang diam, turut menjadi mangsa kemurkaan Allah atas sikap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Bani Israel yang curang melakukan helah terhadap Allah disumpah menjadi kera, sebagai simbolik terhadap perbuatan helah mereka. Mereka mahu mengolah perkara haram agar kelihatan seakan-akan halal. Lalu Allah menyumpah mereka menjadi kera yang merupakan binatang berfizikal seakan-akan manusia, tetapi bukan manusia.

⚫ Kita Bagaimana?

Dari kisah al-Quran ini, kita perlu bertanya adakah kita mahu menjadi golongan yang melakukan helah, atau golongan yang diam sahaja sungguhpun tahu akan penyelewengan yang berlaku, ataupun menjadi kelompok beriman yang sedaya upaya menegur dan menasihat.

Dunia kita pada hari ini dipenuhi dengan helah-helah yang menggambarkan betapa biadapnya manusia terhadap Allah. Riba dibahasakan sebagai faedah. Rasuah dianggap sebagai hadiah. Tipu disebut sebagai strategi bijaksana. Fitnah dikatakan propaganda berkesan untuk menghadapi pesaing. Senaraikanlah, betapa banyaknya perkara yang terang-terangan haram, namun cuba diolah dan disolek agar ia kelihatan halal. Kera.

Abdul Mu'izz Muhammad
10 Oktober 2018.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.