Haji Abdul Hamid mewarisi ilmu kebatinan Kiyai Salleh

Kalau ada apa-apa cerita atau produk nak dikongsi ke dalam blog ini, terus je pm facebook Kriss Merah <= klik




Melayu yang punya kehebatan;

Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah

Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah, lahir pada 1927 di Sungai Mati sebuah pekan kecil yang terletak lebih kurang 10 km daripada Bandar Maharani, Muar, Johor. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan Sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar' seterusnya berkembang serta diterima ramai di Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Aliran Kuntau Telok Mas, Melaka

Haji Abdul Hamid telah mula berjinak-jinak dengan ilmu kependekaran pada tahun 1932, semasa berusia 5 tahun, dibawah asuhan dan bimbingan nindanya Haji Hassan bin Haji Mahat. Selama lebih kurang 10 tahun beliau telah mempelajari bukan sahaja sepak terajang silat malah seni dan tari silat serta cara menggunakan alat silat seperti pedang, keris, tumbuk lada, tek-pi, tembong, tongkat, tuas dan kerambit. Selain itu beliau juga turut mempelajari beberapa silat termasuk Silat Cekak, Belebat, Kuntau dan Silat Sembah.

Aliran Pukulan 7 Hari

7 tahun kemudiannya, lebih kurang pada tahun 1942, Haji Abdul Hamid berguru pula dengan nindanya Haji Mohd Arif bin Shamsu. Beliau mengajar Pukulan 7 Hari kepada Haji Abdul Hamid bersama beberapa orang dewasa seperti Pak Ngah Hassan dll. Haji Abdul Hamid telah diuji dengan dipanggil naik ke rumah dan diserang dari belakang pintu. Serangan itu dapat dielak. Beliau mengakui Hj Abdul Hamid boleh menjadi guru.

Aliran Sendeng

Seterusnya, pada tahun 1944, Hj Abdul Hamid menuntut pula dengan nindanya Haji Taman bin Dagang. Dari Haji Taman, Haji Abdul Hamid telah mempelajari Pukul dan Lapis Sendeng. Haji Taman sangat tegas dalam menurunkan ilmu. Setiap satu belebat yang diajar mengambil masa 6 bulan. Waktu itu Haji Taman mengajar Haji Abdul Hamid secara bersendirian.

Ilmu Kerohanian

Bagi memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula, lebih kurang pada tahun 1945, Haji Abdul Hamid telah berguru dengan Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim yang lebih dikenali dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima Salleh di Batu Pahat. Sebelum Panglima Salleh menerima Haji Abdul Hamid untuk menjadi murid, beliau telah diuji terlebih dahulu dengan disuruh mengerjakan kebun selama 6 bulan. Hanya selepas 6 bulan barulah beliau bertanya nama Haji Abdul Hamid dan dipanggil untuk diperturunkan ilmu-ilmu keagamaan dan kebatinan. Haji Abdul Hamid telah berguru dan tinggal bersama Panglima Salleh selama 3 tahun iaitu dari tahun 1946 hingga 1949.

Sebelum dikhatamkan, Haji Abdul Hamid telah diuji kefahaman tauhid oleh gurunya dengan disuruh beramal didalam gua disebuah Bukit di Parit Sulong untuk mendapat ilmu dari harimau jadian. Haji Abdul Hamid yang faham dengan tujuan gurunya itu menolak dengan baik dan menyatakan lebih baik beliau beramal di masjid. Panglima Salleh yang gembira dengan jawapan itu terus menyatakan bahawa Haji Abdul Hamid telah layak untuk dikhatamkan. Menurut Allahyarham Haji Ismail bin Haji Hamzah, Haji Abdul Hamid telah dikhatamkan didalam kelambu oleh Panglima Salleh untuk mengelak dari dilihat oleh murid-murid yang lain. Dari Panglima Salleh, Haji Abdul Hamid telah menerima amalan ayat empat yang terus dikembangkan kepada ahli-ahli Silat Sendeng.

Selain daripada, guru-guru yang tersebut Haji Abdul Hamid juga dikatakan telah berguru kepada guru-guru berikut yang diketahui:

Kiyai Mustahir, Pagoh
Panglima Lias, Pagoh
Hj Mohd Lip Bedu (Ilmu Tauhid)
Hj Abd Ghani, Jalan Daud, Muar
Dato Mohd Bakar (Kadi Besar, Johor)
Ustaz Sulaiman Sujak
Ustaz Ahmad Tunggal, Parit Sakai, Muar.

Disamping mengembangkan Seni Silat Sendeng, Haji Abdul Hamid juga cenderung dan terkenal di bidang masa memasak. Selain daripada itu beliau pernah diamanahkan untuk menjadi Imam Masjid Jamik Bukit Kangkar, Muar serta Ketua Kampung, Bukit Kangkar, Muar.

Setelah hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis belajar dan menggembangkan ilmu persilatan ini, demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya, pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal ,1410 Hijrah , Haji Abdul Hamid telah kembali ke rahmatullah di rumahnya di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Ledang, Johor dalam usia 63 tahun.

Murid

Diantara, anak-anak murid Hj Abdul Hamid yang aktif mengembangkan Seni Silat Sendeng adalah:-

Allahyarham Hj Ismail bin Hj Hamzah
Hj Ismail bin Sadin
Hj Rosmani bin Abd Samad
Hj Jamaluddin bin Shahadan

Rujukan

Majalah Pendekar, Julai 1990, ms 22-23

BY Che'gu Rosman
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.