Asas 50 : Pejuangan getir memartabatkan kesusasteraan Melayu




ASAS 50 & MASYARAKAT
Oleh Abdullah Hussein

Angkatan Sasterawan 50 telah didirikan pada tangal 6 Ogos 1950 di Singapura, dan inilah persatuan bahasa dan sastera yang mula-mula sekali didirikan di Singapura sesudah Perang Dunia Kedua. Persatuan ini mempunyai anggota-anggota pengurus yang tidak saja memiliki kebolehan dalam lapangan bahasa dan sastera, tetapi juga mempunyai cita-cita kebangsaan dan kemanusian dengan faham-faham politiknya.

Kebanyakan anggota-anggota pengurusnya itu adalah bekas anggota badan-badan politik kebangsaan ataupun yang bersimpati dengan gerakan-gerakan  politik kebangsaan yang progresif yang memperjuangkan kemerdekaan, kemakmuran dan keamanan. Dengan persatuan ini mereka berharap akan dapat mempersatukan pendirian dan cita-cita para penulis muda dan bekerja untuk memupuk bahasa dan kesusasteraan Melayu yang membawa semangat baru.

Asas 50 ini mempunyai tempat yang penting dalam sejarah perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu baru kerana sejak mula didirikan ia telah bergerak bersama-sama dengan kerabat-kerabat Kongres serta seluruh masyarakat umumnya dengan sikap yang tegas bahwa bahasa dan kesusasteraan Melayu adalah alat untuk perpaduan kebangsaan dan mereka tidak saja nerusaha membina bahasa dan kesusasteraan Melayu dengan semboyan "Seni untuk Masyarakat" tetapi
juga cergas mencari dan memperluas pembaruan dalam lapangan tersebut, dengan keyakinan bahwa bahasa dan kesusasteraan itu alat dalam perjuangan menuju kemerdekaan, keadilan, kemakmuran, keamanan dan perdamaian.

Tiap-tiap perkara yang menyentuh masalah bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi perhatian yang sungguh-sungguh dari Asas 50. Pendirian dan tindakan yang tegas dalam perkara-perkara ini dapat dibaca di dalam memorandum memorandumnya kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell, mengenai Tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu, mengenai Penyata Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1956, mengenai Rang Undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka dan memorandum kepada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang ketiga mengenai Balai Pustaka, mengenai Penyatuan Bahasa Melayu Malaya dan Indonesia, mengenai Perkembangan Bahasa Melayu sekarang dan akan datang dan mengenai Peranan Bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah; juga di dalam kertas-kertas kerja yang ditulis oleh anggota-anggotanya mengenai ejaan, bunyi-bahasa, puisi, prosa, Bahasa Melayu sehari-hari di kalangan kaum buruh dan Bahasa Melayu di dalam filem.

Sumber: Majalah Nadi Insan, Bilangan 16, Ogos 1980
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.