Tuan Doktor, anak saya sudah lama meninggal !


S. Weir Mitchell

Akibat terlalu penat selepas seharian bekerja di dewan bedahnya, Doktor S. Weir Mitchell, seorang pakar saraf yang terkenal pada abad ke 19 tertidur di atas kerusinya. Seperti hari-hari sebelumnya, cuaca pada malam itu amat dingin dan salji turun dengan lebatnya di seluruh Philadelphia, Amerika Syarikat.

Tiba-tiba Dr. Mitchell terjaga apabila loceng pintu biliknya berbunyi. Apabila pintu dibuka, didapatinya seorang gadis kurus yang mengigil kesejukan sedang berdiri di muka pintu biliknya itu. Dia menarik sehelai selendang buruk yang melingkari bahunya.

"Saya minta maaf kerana menggangu doktor pada malam-malam begini," kata gadis kurus itu. "Tapi saya terpaksa kerana ibu saya sedang sakit tenat. Saya harap doktor dapat membantu merawat ibu saya.

Dr Mitchell segera mengambil kelengkapannya dan mengekori gadis berkenaan, melalui jalan bersalji, hingga akhirnya sampai ke sebuah bangunan usang. "Ini rumah sewa kami," kata gadis itu.

Dr Mitchell ke mudian dibawa ke tingkat atas bangunan untuk menemui ibu gadis berkenaan yang ketika itu sedang terlantar tenat di atas katil. Apabila diamati, Dr Mitchell mengenali wanita tersebut. Dia adalah bekas orang gajinya.

Dr Mitchell memeriksanya dan mendapati wanita itu menghidap penyakit pneumonia. Dia merawat, memberikan ubat yang diperlukan dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada wanita itu kerana mempunyai seorang anak yang bertanggungjawab.

"Anak?" kata wanita itu kehairanan. Terperanjat dengan kata-kata Dr. Mitchell, wanita berkenaan mengangkat mukanya, memandang tepat ke arah Dr Mitchell, dan berkata, "Anak gadis saya telah meninggal dunia sebulan lalu. Kasut dan selendangnya ada disimpan dalam almari kecil itu."

Dr Mitchell meluru ke arah almari tersebut dan terus membukanya. Didapatinya selendang itu sama dengan yang dipakai oleh gadis kurus yang membawanya ke rumah berkenaan. Anehnya selendang tersebut terlipat kemas dan kering. Tidak mungkin ia telah dipakai pada malam itu dan dibawa  mengharungi cuaca sejuk bersalji.

Dr. Mitchell mencari gadis berkenaan, namun sehingga ke akhir hayatnya, beliau gagal menjumpainya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.