Tragedi Askar Melayu di Air Hitam, Dungun Terengganu



TRAGEDI AIR HITAM DUNGUN 1941

Gambar menunjukkan Makam Pahlawan Askar Melayu di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya Dungun.

Perang Dunia Kedua yang meletus pada awal September 1941 telah menyebabkan British berada dalam keadaan bersiap sedia. Rondaan dan latihan perang telah diadakan oleh British untuk menghadapi kemaaraan Jepun.

Pada 16 September 1941, satu Kompeni Askar Melayu daripada Kompeni A Batalion Pertama telah diarah untuk membuat latihan perang yang bertempat di Dungun. Kompeni ini diarahkan untuk mempertahankan Dungun daripada kemaraan tentera Jepun.

Kompeni A telah diarahkan untuk membuat latihan perang di Air Hitam. Mereka yang bertempat di Pusat Pertahanan Latihan Perang Tanjung Sura diketuai oleh Major England berbangsa British.

Mereka yang berpakaian lengkap berjalan kaki melalui pantai dari Tanjung Sura ke Kuala Paka. Setelah sampai ke tebing utara Kuala Paka, mereka mendapat arahan untuk membuat pengkalan di hutan di atas bukit di Air Hitam yang mana kini merupakan tapak loji penapis air.

Pada malam 17 September 1941 kira-kira jam 11 malam, mereka diberitahu bahawa ada seekor harimau sedang merayau-rayau di kawasan berhampiran dan diarahkan supaya mengusir harimau terbabit untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Pada 18 September 1941, mereka pula bersiap sedia di tebing Sungai Paka dan diarahkan untuk menyeberangi sungai tersebut sebagai salah satu latihan. Pada mulanya Major England dihantar dengan menaiki Perahu Jalur. Setelah berjaya menyeberangi, ketua seksyen Sarjan Nordin meminta izin kepada Lans Koperal Hamzah untuk menyeberangi dahulu walaupun mengikut aturan seksyen Lans Koperal Hamzah seharusnya menyeberang dahulu.

Oleh itu, enam Askar Melayu telah diketuai oleh Sarjan Nordin terus turun ke tebing sungai berkenaan yang setinggi 18 kaki bersama-sama enam buah rakit yang diperbuat dari 'ground sheet' yang diisi dengan daun lalang kering. Rakit-rakit ini diikat dan dicantum menjadi satu. Keenam-enam askar bergantung pada rakit sambil berdayung menggunakan tangan dan kaki.

Ketika tiba di tengah, salah satu daripada ikatan rakit berkenaan terlerai dan kenam-enam askar berkenaan turut tenggelam. Ketika itu mereka membawa topi besi, peluru senapang, senapang Raifil No.1. Mk.3, Granite 36 dan berkasut Ankle. Oleh kerana berat alatan perang berkenaan, keenam-enam askar berkenaan tenggelam di Sungai Paka.

Oleh itu, jadual latihan berkenaan bertukar menjadi usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tragedi berkenaan. Mereka yang berada di tempat kejadian terus melaporkan keadaan ke Ibu Pejabat Markas Latihan Perang Dunia Kedua di Tanjung Sura, Dungun.

Penduduk Paka, anggota polis Dungun dan Askar Melayu yang terlibat dalam latihan berkenaan terus mencari mangsa. Mereka diketuai oleh Lans Koperal Hamzah. Mereka menggunakan rawai yang ditarik dengan sampan ke dasar sungai di merata sudut untuk menarik jenazah mangsa-mangsa berkenaan. Setelah 24 jam, kesemua mangsa berjaya ditark keluar daripada dasar sungai.

Mereka dikenalpasti sebagai Sarjan Nordin bin Haji Noh, Prajurit Alaudin bin Muhamed, Prajurit Darus bin Ngah, Prajurit Ngah Ahmad bin Alang Mat Hassan, Prajurit Sahat bin Mubin dan Prajurit Muhamed Shariff bin Daud.

Kesemua jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di Dungun. Satu batu peringatan setinggi dua meter dibangunkan yang tertulis "Inilah makam enam orang Askar Melayu kita yang telah berkemalangan pada waktu menjalankan pekerjaan di Sungai Paka pada 18 September 1941, bersamaan 26 Syaaban 1360 bertentangan hari Khamis makam itu telah dibangun oleh Pasuan 'A' Kompeni".

Semoga roh kesemua enam Askar Melayu ini dicucuri rahmat Ilahi.



Sumber
Yusuf Abu Bakar dan YUSBA, Berita Darul Iman Nov/Dis 1991.

Ganutalia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.