Pondok usang "Mahligai" kasih ibu dan anak....




PONDOK kecil dan usang tanpa sebarang kemudahan asas di ladang getah, Gual Mesa, Rantau Panjang, menjadi tempat berteduh dua beranak sejak tujuh tahun lalu.

Sulaiman Yassin, 53, dan ibunya Eshah Mat, 77, hanya bergantung kepada sumber air parit terletak kira-kira 700 meter dari pondok mereka bagi tujuan untuk mandi dan membasuh pakaian manakala untuk minum dan memasak, mereka menggunakan air bersih yang dibeli.

Sulaiman berkata, sebelum ini, dia dan ibunya tinggal di rumah pusaka keluarga di Wakaf Bharu, Tumpat sebelum berpindah keluar dan mengambil keputusan menetap di pondok usang milik saudara mereka.

“Saya dan ibu sudah biasa tinggal di pondok ini tanpa bekalan air, elektrik dan tandas serta sudah menganggap kediaman kami kini tempat paling selesa untuk berteduh daripada hujan dan terik matahari.

“Pada waktu malam, lampu suluh digunakan untuk menerangi pondok.

“Pondok ini berdindingkan papan sudah reput dan atap zink terbuang, ini adalah milik bapa saudara dan saya meminta izin daripadanya untuk tinggal di sini walaupun dari segi luarannya ia dilihat tidak selamat, namun saya tidak mempunyai pilihan lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, bagi menampung kehidupan mereka dua beranak, dia menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran di Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu tiga kali seminggu dan kadang-kala ke Pasar Machang selepas mengambil bekalan di Pengkalan Kubor.

“Setiap kali keluar mencari rezeki, saya selalu membawa ibu menunggang motosikal bersama dan kebiasaannya kami keluar rumah 7 pagi dan pulang selewat-lewatnya 5 petang.

“Hasil jualan diperoleh sekitar RM10 sehari hanya cukup-cukup makan,” katanya.

Sulaiman berkata, desakan hidup dihadapi turut menyebabkan mereka hanya makan nasi kosong dan ikan goreng atau rebus menggunakan kayu api untuk mengalas perut.

Sulaiman pernah menerima sumbangan motosikal roda tiga melalui satu inisiatif sumbangan awam oleh Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR), baru-baru ini.

Difahamkan, Sulaiman dan Eshah pernah beberapa kali terbabit dalam kemalangan kerana motosikal dinaiki sebelum ini terlalu uzur kerana sering digunakan untuk mengangkut barangan jualan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Muhammad Zain Wan Jaafar, berkata dia mengetahui keadaan Sulaiman yang tinggal bersama ibunya selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengunjungi keluarga berkenaan untuk menghulurkan bantuan, baru-baru ini.

“Apabila mengetahui kedaifan mereka, saya amat terkejut dan Insya Allah, akan membantu meringankan beban keluarga ini memandangkan mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan.

“Saya akan berusaha memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). untuk keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di 03013-41-00008645-4 atas nama Eshah Mat. – myMetro Online

sumber pautan :

https://www.mynewshub.tv/terkini/pondok-usang-mahligai-dua-beranak/


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.