Dendam kesumat Sarjan Hassan kepada Komunis.


Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,



UMUM mungkin mengetahui filem Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang mengisahkan anggota Askar Melayu berjuang menentang penjajah Jepun di Tanah Melayu.




Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu berlaku satu peristiwa tragis seterusnya menjadi dendam yang mendorong Sarjan Hassan menyertai Askar Melayu ketika itu atau sebenarnya, Sarjan Hassan menyertai Askar Melayu untuk menentang komunis ketika darurat.

Cucu pahlawan negara itu, Mohd Ariffin Abd Karim, 37, berkata, Allahyarham datuknya itu hanyalah orang kampung biasa yang melakukan kerja kampung tetapi pada masa yang sama turut menentang komunis secara senyap.

"Bagaimanapun, apabila pihak komunis tahu mengenainya, mereka mencari keluarga arwah dan membunuh isterinya yang sarat mengandung, ibu mentua dan anak saudara seterusnya rumah mereka turut dibakar.

"Arwah datuk begitu marah dan beliau tahu sukar untuk membalas dendam sendirian. Justeru, beliau menyertai Askar Melayu untuk sama-sama berjuang membebaskan tanah air daripada ancaman komunis," katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Pada masa sama, Mohd Ariffin berkata, hanya sebahagian sahaja kisah perjuangan datuknya yang dipaparkan dalam filem Sarjan Hassan.

"Misalnya, watak penjual sayur (apek) dalam filem berkenaan menjadi penghubung (membantu menghantar surat) antara Sarjan Hassan dan keluarganya.

"Dalam kisah sebenar yang diceritakan kepada saya, penjual sayur itu memang wujud tetapi dia adalah tali barut komunis yang memberi maklumat mengenai datuk dan keluarganya," katanya.

Jelasnya lagi, adegan lain yang mempamerkan kisah sebenar Sarjan Hassan adalah kesulitan yang dialami apabila mahu berjumpa keluarganya kerana rumah dikawal ketat.

Katanya, adegan bapa Sarjan Hassan dipukul dan ditahan komunis juga adalah kisah sebenar.

Mohd Ariffin berkata, beliau amat berbangga menjadi cucu kepada pahlawan negara dan berharap agar rakyat negara ini bersyukur dengan keamanan yang dikecapi pada hari ini.

"Kita tidak hidup pada zaman mereka yang terpaksa meninggalkan keluarga serta mengorbankan nyawa untuk berjuang membebaskan negara dari penjajahan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ariffin berkata, beliau merancang untuk membina sebuah bangunan rumah kedai dan menamakannya sempena nama arwah datuknya sebagai tanda ingatan terhadap Hassan.

"Ibu saya (anak ketiga Sarjan Hassan) menyerahkan urusan tanah pusaka milik arwah datuk yang terletak di Kampung Rasah, Seremban kepada saya. Daripada dibiarkan kosong, lebih baik saya bina sesuatu sebagai tanda ingatan terhadap arwah.

"Insya-Allah, saya akan mulakan proses pembinaan pada tahun hadapan," katanya.

Mengikut fakta sejarah, Hassan Othman dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada usia 17 tahun, beliau berkahwin dengan gadis sekampung dengannya, Siti Zabedah Ali. Bagaimanapun, kegembiraan beliau bersama isterinya tidak berpanjangan apabila keluarganya dibunuh komunis.

Hassan kemudian berkahwin dengan gadis berasal dari Kampung Rasah, Seremban, Aishah Bujang pada 1951 dan pasangan itu dikurniakan 12 orang cahaya mata, enam lelaki dan enam perempuan serta 24 cucu.

Hassan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 1967 selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai kapten.

Beliau meninggal dunia akibat sakit jantung pada 1991 ketika berusia 63 tahun.


Sumber : Harian Metro


VIRALKAN ARTIKEL DI ATAS
Klik button Facebook, Twitter, WhatsApp di bawah



Jika anda ada produk atau perniagaan Muslim nak viralkan bersama kami,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.