Kampung Baru : Sejarah perjuangan getir orang Melayu di Kuala Lumpur

Tanah Kampong Bharu @ Kampung Baru adalah milik dan anugerah Almarhum Moyang Nenda Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa kepada orang-orang Melayu di Kuala Lumpur.

Kampong Bharu sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal ditengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur, berkeluasan 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampong Bharu iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Kampong Bharu mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampong Bharu ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.


Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal dikawasan Sungai Gombak dan Sungai Klang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur. Bandar K.L ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan. Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman Shah@Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan ditepi Sungai Klang untuk orang Melayu berpindah dan Malay Agriculture Settlement (MAS) diwartakan pada 1 Januari 1900.

Malay Agriculture Settlement (MAS) diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Klang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan. Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu disebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran.

Ini sekaligus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.

Malay Agriculture Settlement (MAS) telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawal-selia keselamatan dan kegiatan penduduk.

Selain itu Malay Agriculture Settlement (MAS) turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk menetap dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang.

Malay Agriculture Settlement (MAS) turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang bertindak memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk, menurut Haji Shamsuri Suradi selaku Setiausaha M.A.S, anggota lembaga Malay Agriculture Settlement (MAS) pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.

Dibawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampong Bharu dilantik menganggotai lembaga itu.
Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung disini telah dilantik untuk menganggotai lembaga M.A.S. (Malay Agriculture Settlement). Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai Penghulu disetiap kampung berkenaan.

Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampong Bharu selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru.




Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir M.A.S, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960'an.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi M.A.S telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini.

Sejarah Kampong Bharu ini jika dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya.

Pada peringkat awal kebanyakkan jalan-jalan yang terdapat dipapan tanda dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampong Bharu sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.

Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampong Bharu dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula dikenali sebagai Stony Road.

Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampong Bharu merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya dahulu penduduk Kampong Bharu sering mengadakan perjumpaan disebuah pondok yang dibina oleh penduduk secara gotong-royong. 



Sebarang pembangunan di Kampong Bharu perlu mengambil kira identiti keMelayuan agar dapat dinaik taraf sebsgai kampung Melayu moden di tengah bandar raya Kuala Lumpur. 

Kewujudan Kampong Bharu ini adalah simbol perjuangan getir orang Melayu didalam survival kehidupan bandar dan wajar waris-waris pemilik tanah mempertahankan dan membangunkan kawasan ini dengan matlamat pembangunan ekonomi dan sosial tanpa diganggu gugat pemilikan mutlak ke atas tanah hanya kepada orang Melayu sahaja seperti yang diwarisi sejak dari dahulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.