Aminuddin Baki Bapa Pendidikan Malaysia yang juga ahli PAS seumur hidup




SALAH satu nama yang diisytiharkan sebagai ahli PAS oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kalangan tokoh-tokoh pemikir bangsa Melayu selain Prof Tan Sri Ahmad Ibahim dan Prof Dr Ungku Omar Ahmad ialah Aminuddin Baki yang digelar sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia".

Walaupun beliau lebih terkenal kerana sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan di negara ini, Aminuddin Baki ialah seorang ahli PAS pada akhir 1956 iaitu setelah pemimpin pujaannya, Dr Burhanuddin al-Helmy memimpin PAS. Dalam PAS, nama beliau tidak pernah menonjol kerana lebih selesa dengan strategi Dr Burhanuddin untuk meletakkan figur-figur PAS memegang jawatan utama kerajaan.

Aminuddin Baki selepas menyertai PAS, terlibat dalam penggubalan dasar pelajaran seperti Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Beliau telah memainkan peranan besar dalam memberikan kedudukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan juga peranan bahasa Melayu dalam pendidikan.

Kepada PAS sumbangan beliau disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen seperti Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli Mohamed, Hassan Adli dan lain-lain. Berdasarkan maklumat-maklumat beliau, wakil rakyat PAS dapat terlibat aktif dalam memperkatakan isu-isu pendidikan orang Melayu di Dewan Rakyat.

Aminuddin Baki juga sentiasa menyalurkan pemikiran-pemikiran beliau kepada PAS tentang politik negara sehingga wakil rakyat PAS dilihat berkualiti dalam memperkata isu semasa.

Aminuddin bin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di Chemor, Perak. Pada 1932, beliau memasuki Sekolah Melayu Chemor selama lima tahun sebelum menyambung pengajian di Sekolah Anderson, Ipoh antara 1936 hingga 1941.

Apabila perang meletus pada 1942, pelajaran beliau terganggu. Sepanjang pemerintahan Jepun, Aminuddin Baki telah berkhidmat sebagai jurubahasa di Mahkamah Ipoh kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Selepas perang berakhir, pada 1947 beliau telah melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura sehingga mendapat Diploma Sastera.



Pada 1949, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya, Singapura untuk mengikuti kursus Sarjana Muda Sastera (BA) dalam bidang sejarah. Beliau berjaya mendapat ijazah kepujian pada 1951. Pada 1952, Aminuddin memenangi Queen Scholarship untuk membolehkannya menyambung pengajian peringkat sarjana di University of London dalam bidang Pedagogi Pendidikan dan lulus pada Julai 1953.

Latar belakang kehidupan beliau sebagai intelek muda Melayu pada zaman transisi ini telah membuka kecenderungan Aminuddin untuk membangunkan pendidikan bangsanya. Penglibatan beliau yang pertama di bidang pendidikan ialah sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu di Singapura antara 1949 hingga 1951.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah sebelum bertugas di alma maternya, Sekolah Anderson pada 1952 tetapi hanya beberapa bulan sahaja kerana berhijrah ke London pada Julai 1952.

Setelah mendapat ijazah MA pada pertengahan 1953, beliau terus dilantik sebagai pensyarah di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim. Ketika di Tanjung Malim ini beliau telah memperkenalkan subjek Sejarah Islam kepada para pelajar walaupun subjek ini tiada dalam sukatan.

Pada 1955, Aminuddin Baki telah dipilih menganggotai Jawatankuasa Razak dalam mengkaji dasar pendidikan yang menghasilkan Laporan Razak. Laporan ini telah mencadangkan supaya SAR diberikan bantuan oleh kerajaan selain mewajibkan bahasa Melayu diajar di semua sekolah untuk tujuan integrasi nasional.

Ketika Jawatankuasa Rahman Talib dibentuk pada 1960, Aminuddin Baki dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat. Kerana kecemerlangan beliau, pada 1962, Aminuddin Baki telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran Selangor dan pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia iaitu satu jawatan yang setaraf dengan Ketua Pengarah Pelajaran hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut berkhidmat sebagai anggota Senat Universiti Malaya dan memberi sumbangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara usaha penting Aminuddin Baki sebagai Ketua Penasihat Pelajaran adalah mengasaskan peperiksaan awam Malaysia bagi menggantikan peperiksaan Cambridge yang beraliran penjajah. Selain menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 1963 untuk mengendalikan peperiksaan awam, beliau juga telah memperkenalkan Sijil Rendah Pelajaran (LCE), Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) dan Sijil Tinggi Pelajaran (HSC) bagi menggantikan Junior Cambridge dan Senior Cambridge.

Selain itu juga, Aminuddin Baki turut terlibat aktif dalam aktiviti budaya dan bahasa Melayu termasuk pernah dipilih mewakili Tanah Melayu atas nama Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 1956 ke Persidangan Persuratan Melayu di Medan. Tetapi kerana halangan tertentu beliau digantikan oleh timbalannya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif.

Dalam bidang kemasyarakatan, Aminuddin Baki juga sangat terkenal kerana aktif dalam gerakan pelajar. Kerana tertarik dengan penubuhan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur pada 1945, beliau telah menyertainya.

Pada 1946, ia bertukar menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang bersifat nasional dengan Aminuddin Baki sebagai setiausahanya.

Pada April 1946, Aminuddin Baki memubuhkan pula Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) yang berpusat di Perak. Apabila berhijrah ke Singapura pada 1947, beliau menyertai Persatuan Pelajar Islam Raffles College dan Medical College. Penubuhan Umno yang menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah memberi idea kepada beliau untuk mewujudkan gabungan 11 buah badan pelajar Melayu dan menubuhkan GPMS pada Ogos 1948. Aminuddin Baki merupakan Yang Dipertua-Pengasas GPMS. Beliau juga terlibat dalam Persatuan ar-Rahman dan Persatuan Sejarah Tanah Melayu.

Walaupun perjuangan Umno begitu popular ketika itu, sebagai pemimpin terpelajar, Aminuddin Baki lebih cenderung kepada perjuangan politik antipenjajah Dr Burhanuddin yang membawanya menjadi penyokong PKMM dan menganggotai API bersama Ustaz Baharuddin Latif, Ustaz Othman Hamzah dan lain-lain.

Apabila Dr Burhanuddin menyertai PAS, Aminuddin Baki memilih untuk menjadi ahli PAS tetapi tidak aktif di barisan hadapan, sebaliknya menjadi pemikir PAS di belakang tabir.

Walau bagaimanapun, usia perjuangan Aminuddin Baki tidak panjang kepada pada 25 Disember 1965, beliau mengalami serangan jantung yang membawanya menemui Ilahi selepas solat ketika baru berusia 39 tahun.

Kerana jasanya yang besar, banyak institusi pendidikan di negara ini mengabadikan namanya termasuk Institut Aminuddin Baki, Kolej Aminuddin Baki di UKM dan UPSI, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Yayasan Aminuddin Baki, Aminuddin Baki Center for Global Studies UPSI dan lain-lain.- tajdid

Sumber : Arkib Harakah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.