1922-1928 : Perginya Cikgu Hashim pejuang Melayu radikal menuntut kemerdekaan

توليسله اڤ يڠ كاو ليهت، چاتتله اڤ يڠ كاو فيكيركن، بيار مريك ايت تاهو بهاوا ملايو ايت بوكن سمواڽ بوليه دڤربودوهكن. كيت اومت ملايو بڠسا يڠ بردولت، اڬام اسلام منجاديكن كيت هيدوڤ برمرواه، برجواڠله ممباڠونكن بڠسا، منڬقكن اڬام دان ممڤرتاهنكن نڬارا. ايڠتله ڤسانكو اين، بيار ڤوتيه تولڠ، جاڠن ڤوتيه مات


Hashim Said, seorang pejuang kemerdekaan dan salah seorang ketua API (Angkatan Pemuda Insaf) telah meninggalkan kita buat selama-lamanya petang semalam pada usia 96 tahun.

Cikgu Hashim Said yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Melayu Padang Gajah sebelum beliau bergiat dalam perjuangan kemerdekaan. Pada penghujung tahun 1945, Cikgu Hashim menganggotai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), beberapa bulan selepas PKMM ditubuhkan di Ipoh, Perak. Cikgu Hashim kemudiannya menganggotai gerakan API, memegang tugas sebagai Ketua API ranting Padang Gajah, Perak, memimpin 400 orang pemuda dalam perjuangan menentang penjajah. Pada bulan Disember 1948, Cikgu Hashim telah ditangkap oleh penjajah dan dipenjara selama empat tahun di bawah Undang-undang Darurat kerana peranan beliau dalam gerakan anti-penjajah dan perjuangan menuntut Merdeka.

Cikgu Hashim bercerita bagaimana beliau mendapat kesedaran politik pada usia muda melalui sebuah buku yang dikarang oleh seorang lagi cikgu zaman itu. Kata Cikgu Hashim, "Saya mula-mula sekali masuk politik, saya ada terbaca sebuah buku yang dikarang oleh Cikgu Ibrahim Yaakub (buku 'Melihat Tanahair'). Dia menyatakan nasib orang-orang yang kena jajah, di negara yang kena jajah, termasuklah negeri kita Malaya pada masa itu... dijajah." Selepas tamat zaman Pendudukan Jepun, pada usia 23 tahun, beliau terus tekad untuk ikut sama dalam perjuangan untuk membebaskan tanahair beliau dari penjajah.

Sama-sama kita memperingati dan menghargai perjuangan Cikgu Hashim Said yang telah mengorbankan usia muda beliau untuk memperjuangkan kemerdekaan yang kita rasai hari ini.

Hashim Said 
1922 — 2018
Pejuang Kemerdekaan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.