Lebih sejuta gugur syahid demi menentang penjajah



Algeria sebuah negara di Utara Afrika menyimpan kisah perih perjuangan umat Islam menentang penjajahan tentera salib Perancis yang menjarah dan menindas anak watan. Perjuangan kemerdekaan dari tahun 1954 sehingga 1962 menyaksikan lebih sejuta kaum muslimin gugur sebagai Syuhada.



Umat Islam melalui zaman kegelapan sejak kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki, bermula daripada kelemahan umat Islam sendiri kerana meninggalkan agama yang telah menjadikan mereka contoh dan teladan kepada umat manusia dari pelbagai bidang dan aspek kehidupan.

Racun Asabiyyah perkauman dan mazhab yang dititik oleh penjajah ditelan hidup-hidup sehingga sanggup menjadi alat kepada penjajah Barat menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah.

Almarhum As-Syeikh Muhammad Al-Ghazali, seorang alim dan pemikir Islam memberikan komennya terhadap situasi umat Islam pada ketika itu:"Umat Islam berdepan dengan kezaliman orang-orang Turki dan kebodohan orang-orang Arab."

Kezaliman orang-orang Turki terhadap bangsa dan kaum lain walaupun seagama dengan mereka. Kebodohan orang-orang Arab kerana sanggup menjadi alat kepada penjajah memecahkan kerajaan Islam.

Akibatnya kejatuhan Khilafah Islamiyyah Uthmaniyyah, maka negara-negara umat Islam dibahagi-bahagikan mengikut kehendak penjajah melalui Perjanjian Pangkor, Sykes Picot, Balfour dan lain-lain lagi. Buat pertama kali dalam sejarah umat Islam hilang tempat bergantung.

Algeria dipegang oleh penjajah Perancis sejak dari tahun 1830 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1964. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah tabiat penjajah, bahkan jatidiri rakyatnya mahu dicabut supaya tidak ada lagi jati diri bangsa Arab Muslim.

Para ulama ditahan, sekolah-sekolah agama ditutup. Bahasa Arab dilarang untuk diajar, jati diri Islam dicabut, gerakan Kristian dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pendalaman sama seperti yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap umat Islam Palestin.

Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para ulama dan pejuang-pejuang. Pada tahun 1832 Al-Amir Abdel Qader memulakan gerakan Jihad terhadap penjajah Perancis dengan perang gerila menentang penjajah yang mempunyai pelbagai kelengkapan canggih dan tersusun. Pihak Perancis menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan Al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847.

Gerakan jihad tidak boleh dipadamkan; perjuangan diteruskan silih berganti oleh generasi selepas daripada itu sehinggalah pada tahun 1931 munculnya seorang tokoh ulama dan pejuang Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan membangunkan anak-anak muda dengan tarbiyah Islam, meniupkan semangat jihad dalam diri mereka untuk menentang penjajah Perancis.

Slogannya yang masyhur dikenang sehingga ke hari ini: “Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami.”

Hasil daripada tarbiyah yang panjang ini sehingga melahirkan kesedaran menyeluruh, maka tercetuslah revolusi pada tahun 1954 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini mengorbankan lebih dari sejuta rakyat Algeria. Mereka sekali-kali tidak tunduk dan mengikut telunjuk penjajah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.