Daulah Islamiyah Melayuwiyah



DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
KONSEP ALAM MELAYU

DUNIA Melayu atau Alam Melayu adalah sebuah rantau politik dan ekonomi yang sangat strategik sejak zaman pra-sejarah lagi. Kedudukan geografi Alam Melayu yang disebut juga sebagai Nusantara yang berada di tengah-tengah kawasan tamadun awal manusia telah menjadikan rantau ini sangat penting. Di sebelah timur, berdirinya tamadun Hwang Ho (kini China) yang mencipta pelbagai kemajuan, sedangkan di sebelah barat muncul Mohenjadoro dan Harappa (India), Mesopotamia dan Babylon (Iraq), Nil (Mesir) dan Athens (Greek), sehingga menjadikan Alam Melayu penghubung utama kedua-dua belah tamadun.



Kedudukan Alam Melayu yang berada di laluan ekonomi yang utama iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan telah memboleh komunikasi perdagangan antarabangsa yang lebih cekap berlaku, berbanding Laluan Sutera yang merentasi Siberia yang sangat mencabar. Disebabkan kedudukan strategik ini, muncul bandar-bandar pelabuhan sepanjang pesisirnya, yang kemudian membentuk kerajaan-kerajaan kota, sebelum menjadi empayar-empayar yang besar. Kemunculan Kerajaan Melayu Funan (68-628M), Sriwijaya (600-1100M), Majapahit (1293-1498M) dan Melaka (1400-1511M), adalah gambaran bagaimana bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa dan tamadun yang mempunya empayar besar yang menguasai laluan ekonomi timur-barat sehingga abad ke-16M.

Seorang oreintalis, Snouck Hurgronje mengemukakan teori The Greater India untuk menggambarkan keseluruhan pemikiran, kebudayaan dan tamadun Melayu adalah sebahagian daripada proses ketamadunan India yang beragama Hindu-Buddha. Namun begitu, bangsa Melayu yang merupakan bangsa maritim yang menguasai ekonomi dan politik laut, telah menjadi sebahagian dari kawasan tamadun Islam mulai abad kesembilan Masehi. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa besar yang dicatatkan pencapaian tamadun mereka dalam catatan China, India, Arab dan Greek, selain turut dikunjungi oleh pengembara terkenal seperti Marco Polo (m. 1324M) dan Ibnu Batutah (m. 1377M). Alam Melayu telah bertukar menjadi kawasan Islam sejak berdirinya daulah Islam yang pertama di sebelah Nusantara di Perlak pada 840M (225H).

Konsep Melayu

Perkataan “Melayu” menjadi perbahasan para sarjana tentang asal-usulnya. Secara akademik, pertama kali perkataan Melayu dicatatkan oleh sejawan China pada 644M yang menyebutnya sebagai “Mo-lo-yue.” Ada sarjana yang mendakwa ia berasal dari kata “Himalaya” iaitu tempat bersalji, tetapi lebih ramai yang bersetuju ia berasal dari perkataan Jawa, “Mlayu” yang bermaksud berlari atau mengembara, merujuk kepada pergerakan manusia dari Yunan ke Nusantara ribuan tahun dahulu. Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan ia berasal dari dua perkataan “Mela” (mula) dan “Yu” (negeri) iaitu Mula Negeri. Andaian lain ialah perkataan “Melayur” yang bermaksud bukit atau tanah tinggi dan “Malaya” dalam bahasa Tamil yang bermaksud hujan.

Istilah Melayu diertikan sebagai bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh kepulauan Melayu. Ia merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar. Lebih umum boleh dikatakan merujuk kepada bangsa yang bertutur dengan bahasa Melayu, berbudaya Melayu dan tinggal di Semenanjung dan Kepulauan Melayu. Dalam konteks Malaysia secara yang sempit, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Dalam pengertian ras, Melayu adalah seluruh penduduk asal Nusantara.

Daerah Alam Melayu

Ketika membahaskan konsep Melayu Raya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan seluruh gugusan kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah daerah Melayu. Daerah-daerah ini terpisah hari ini kerana dipecahkan oleh penjajah barat. Takrif ini selari dengan definisi Encyclopedia Britainica Vol. 14 yang menyebutkan “The Malay Archipelago, also known as Malaysian and East Indies contain in the largest group of island in the world consisting of more 3,000 islands of Indonesia dan 7,000 islands and unnamed rocks of Philippines group. The New Guinea island is arbitrary included in the Malay Archipelago.”

Kawasan rumpun Melayu adalah meliputi seluruh negara Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sedang di Thailand, wilayah Melayu adalah seluruh semenanjung hingga Ratchaburi, 100km di selatan Bangkok. Tenasserim (Tanah Seri) di Myanmar juga termasuk kawasan Melayu. Di sebelah utara ia bermula di Kepulauan Nicobar di Lautan Hindi dan Farmosa di Laut China, termasuk Indo-China hingga ke Kepulauan Solomon di Selatan. Dari barat, ia bermula di Madagaskar hingga ke Fiji. Kawasan kepulauan terbesar di dunia di tenggara Asia inilah yang dipanggil rumpun Melayu dan menjadi daerah kehidupan bagi orang Melayu.

Agama Bangsa Melayu

Oleh kerana agama adalah teras kebudayaan, bangsa Melayu telah mempunyai pegangan dengan pelbagai agama, sebelum mereka menerima Islam. Dua agama utama yang dianut oleh orang Melayu ialah Hindu dan Budhha, iaitu agama yang dianut hasil daripada perhubungan politik, budaya dan ekonomi dengan India. Selain itu, orang Melayu juga dicatatkan pernah menganut anamisme dan agama Majusi. Pada peringkat awal, orang Melayu secara umumnya beragama Hindu sehingga Raja Asoka (304-232SM) yang beragama Buddha menguasai India, yang menyebabkan orang Melayu mula menganut agama Buddha. Kebangkitan Hindu pada zaman Empayar Chola (300SM-1279M) yang menyerang Tanah Melayu dan Sumatera pada 1025M, telah menyebabkan orang Melayu kembali menerima agama Hindu. Atas sebab kuatnya pengaruh India terhadap agama orang Melayu, maka sering disebut orang Melayu beragama Hindu-Buddha.

Sheikh Safiyuddin dalam Tarikh Fathani menyebutkan bahawa orang Melayu pernah menerima pengaruh Parsi dan menganut agama Majusi. Namun begitu, sejak 640M, mula wujud pengaruh Arab-Islam di Sumatera, sebelum berdirinya Kesultanan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama pada 840M. Sejak itu, Islam mulai berkembang dan diterima secara damai sehingga menjelang abad ke-16M, Alam Melayu telah bertukar menjadi wilayah Islam, terutama dengan munculnya kerajaan-kerajaan Islam di pelbagai tempat di Nusantara. Antara kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara ialah Melaka (1400-1511M), Johor-Riau-Lingga (1511-1857M), Demak (1475-1554M), Mataram (1587-1755M) dan Aceh (1496-1903M). Kerana tumbuhnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah, kerajaan Melayu dipanggil “Daulah Islamiyah Melayuwiyah” seperti yang tercatat dalam Itqanul Muluk bi Takdil as-Suluk.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Syawal 1439 / 16 Jun 2018

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.