Letup ovari? perempuan sekarang sudah hilang rasa malu



Letup Ovari & Sifat Malu
========
1. Istilah “letup ovari” telah mula meniti dilaman-laman media sosial. Ia adalah satu expresi anak muda tentang minat mereka terhadap peribadi tertentu. Frasa “my ovaries just exploded” ini kelihatan istilah yang diambil dari barat yang secara zahirnya nampak tidak bersesuaian dengan budaya timur.

2. Dalam al-Quran, Allah SWT mendidik kita dengan sifat malu melalui kisah anak gadis dari Madyan yang mengasingkan diri mereka dari bersesak-sesak dengan lelaki ketika mengambil air di telaga. Ketika melihat dua anak gadis ini mengasingkan diri dari kesesakan tersebut, Nabi Musa datang bertanya:

قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ

Maksudnya: "Mengapa dengan kamu berdua? (menjauhkan diri dari kesesakan mengambil air ini)?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing".

Sebahagian ulama tafsir melihat sifat mereka yang menjauhkan diri mereka dari bersesak-sesak ini adalah kerana menjaga kehormatan mereka. 

3. Sheikh Soleh al-Munajjid menjelaskan bahawa penampilan kedua watak ini di dalam al-Quran menggambarkan sifat anak gadis yang pemalu yang menjaga kehormatan (iffah) diri mereka. Hal ini kemudiannya dipersembahkan di dalam al-Quran dengan ayat:

فَجَاءتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاء

Maksudnya: Dan salah seorang mereka datang (kepada Nabi Musa) dalam keadaan malu-malu. Menurut Ibn Kathir ini, keadaan anak gadis ini datang dalam keadaan malu dengan menutup sebahagian wajahnya.

Lihatlah bagaimana Allah menampilkan sifat anak gadis ini dengan perwatakan yang menjaga kesucian diri dan memiliki sifat malu.

4. Sifat malu akan mendidik anak gadis menjaga perwatakan serta penampilan. Tutur kata akan lebih terpelihara dengan sifat malu. Benarlah sabda Rasulullah  ﷺ :

الْحَيَاءُ لاَ يَأْتِي إِلاَّ بِخَيْرٍ

“Sifat Malu tidak akan datang melainkan kebaikan.”

Sifat malu juga akan mengawal kita dari melakukan perkara yg memalukan. 
 
Semoga Allah mengurniakan kita dan anak-anak gadis kita sifat malu yang memelihara kesopanan dan kesusilaan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.