Putera Kahiyan: Pewaris Khilafah Uthmaniyyah

Kalau ada apa-apa cerita atau produk nak dikongsi ke dalam blog ini, terus je pm facebook Kriss Merah <= klik


5 Fakta Mengejutkan Mengenai Pewaris Terkini Uthmanityah

 Mehmet İzudin Gül

Hari ini, ramai yang berbicara mengenai negara Turki. Selepas percubaan untuk menggulingkan Kerajaan pimpinan Receb Tayyib Erdogan mendapat liputan meluas, ramai yang menzahirkan solidariti dengan pelbagai cara tersendiri. Ini menunjukkan bahawa negara bekas pusat pemerintahan Khilafah terakhir Islam itu meraih tempat yang istimewa di hati murbawan Malaysia secara umumnya.

Fenomena ini bukanlah perkara yang baharu. Pemikir dan juga ilmuwan nusantara terkenal iaitu Hamka, ada menyentuh tentang kadar ‘nostalgia jiwa’ yang tinggi di kalangan nusantarawan kita terhadap Turki, di dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Umat Islam. Pada era beliau lagi, setiap tragedi yang berlaku kepada Turki mendapat keprihatinan yang besar daripada umat Alam Melayu.

Rata-rata yang membaca sejarah Ustmaniyyah pasti mengenal nama Khalifahnya yang terakhir iaitu Sultan Abdul Hamid Kedua. Kisah penggulingan dan pemenjaraan beliau yang masyhur itu sangat menyayat hati. Apatah lagi, beberapa naratif sejarah menyebut bahawa anak-anak sang Sultan, terbuang di beberapa buah negara Eropah, lantas menjadi gelandangan dan terpaksa mengemis untuk meneruskan kehidupan. Sebuah kisah sadis dan kecederaan umat Islam lebih seratus tahun yang lampau.

Namun kini, adakah anda mengetahui nasib cucunda-cucunda kepada Sultan Abdul Hamid yang masih hidup sekarang?

Ini diperkenalkan Putera Kayıhan, atau nama penuhnya Putera Abdulhamid Kayıhan Osmanoğlu Efendi, salah seorang keturunan Sultan Abdul Hamid yang berbaki sehingga kini.

Putera Kayıhan adalah cucunda Sultan Abdul Hamid yang pertama dilahirkan di Turki selepas Kejatuhan Ustmaniyyah. Dilahirkan pada tahun 1979 dan berusia 37 tahun kala ini. Beliau menetap di Fatih, Istanbul dan merupakan sosok yang sangat dirai di Turki atau di dalam bahasa Arabnya ‘mahbub ladan-nas’ (celebrated people/selebriti).

Bagaimana nasabnya sampai kepada Sultan Abdul Hamid Kedua ialah dengan turutan ini.
Abdulhamid Kayıhan Osmanoğlu —> Harun Efendi —> Abdel Karem —> Selim Efendi (anak lelaki sulung Sultan) —> Sultan Abdul Hamid Kedua (sultan ke-36 dalam Dinasti Ustmaniyyah merangkap Khalifah ke-26 yang termaktub di dalam legasi Khilafah Agung Ustmaniyyah).

Ini menunjukkan Putera Kayıhan adalah generasi keempat selepas Sultan Abdul Hamid Kedua.

 Berikut lima fakta menarik mengenai Putera Kayıhan yang perlu anda ketahui:
1) FASIH BERBAHASA ARAB DENGAN LAHJAH ARAB LUBNAN

Meskipun Putera Kayıhan dilahirkan di Istanbul, beliau sangat fasih berbahasa Arab dengan Lebanese Colliqual Accent.

Ini berikutan kedua ibubapanya yang dilahirkan di Tanah Syam (sebelum mereka kembali bermukim ke Turki), maka Putera Kayıhan membesar dengan bahasa Arab merupakan lingua franca di dalam rumahnya.

Hal ini sangat berbeza dengan majoriti leluhurnya yang hanya pandai berbahasa Turki meskipun mereka memegang status sebagai para Sultan (banyak buku sejarah Arab yang memanipulasi sudut kelemahan berbahasa Arab para Sultan Ustmaniyyah ini untuk memburukkan nama mereka).

Meskipun begitu, Putera Kayıhan mengalami sedikit kesukaran apabila berhadapan dengan Bahasa Arab Tinggi. Perkara ini diakui sendiri olehnya yang juga terkenal dengan sifat kerendahan dirinya, dan cermat serta lembut di dalam menuturkan kata.

Beliau pernah sekali ditemuramah oleh cabang saluran TRT Turki yang menggunakan Bahasa Arab Tinggi dan terdapat beberapa persoalan yang gagal dihadamnya dengan baik lalu menjadikan bual perbincangan sedikit tersasar. Hanyasanya keseluruhan temuramah tersebut sangat memuaskan dan memberansangkan. Bahkan jika rakaman rancangan itu bisa diputar secara kerap di media dunia Arab, Putera Kayıhan pasti saja mampu membentuk pengaruh yang luarbiasa di kalangan komuniti gergasi Arab yang belum tahu akan kewujudannya.

 2) BANYAK BERTUKAR SEKOLAH.
Di zaman kanak-kanaknya, Putera Kayıhan sering bertukar sekolah setiap kali selepas identitinya sebagai cucunda Sultan Abdul Hamid diketahui oleh rakan-rakan sedarjah dan gurunya. Suasana Turki pada era 80-an dan awal 90-an yang super sekular seringkali menggugat ketenteraman beliau di sekolah, berikutan buku-buku teks sejarah di Turki telah sejak sekian lama merekodkan bahawa Sultan Abdul Hamid adalah pengkhianat besar kepada bangsa Turki. Seorang cikgu perempuannya yang mendapat tahu bahawa Putera Kayıhan adalah cucunda sang Sultan, dengan spontan telah menyatakan bahawa:

“Datukmu adalah pengkhianat!”.

Peristiwa ini diceritakan oleh Putera Kayıhan sendiri.

Katanya beliau kala itu masih seorang anak kecil dan tidak faham mengapa gurunya berkata demikian. Pulang ke rumah, beliau hanya menaruh kisah itu daripada diceritakan. Sehinggalah selepas beberapa ketika, beliau akhirnya menyuarakan juga peristiwa itu kepada ibubapanya kerana sebagai seorang anak kecil beliau ingin tahu mengapa Datuknya digelar orang sebagai pengkhianat.

Ibubapanya meskipun terperanjat, tetap dengan cara memahamkan seorang anak kecil, menceritakan segala kebaikan Sultan Abdul Hamid kepada Putera Kayıhan. Antaranya, sang Sultan menggemari wuduk dan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk setiap masa. Sang Sultan bahkan mempunyai bekas wuduk yang berhampiran dengannya setiap ketika. Baginda tidak akan menandatangani sebarang dokumen ataupun menurunkan cop mohor diraja dalam keadaan tidak berwuduk. Jika ada dokumen yang datang kepadanya dalam keadaan tidak berwuduk, Baginda akan berwuduk dahulu dan barulah menandatanganinya. Ibubapanya juga menyebut, bahawa Sultan Abdul Hamid bersolat lima waktu, bahkan tidak meninggalkan solat sunat rawatib. Selepas diceritakan semua itu, ibubapanya bertanya,

“Bagaimana boleh Datukmu yang bersifat sebaik begini, dalam masa yang sama adalah seorang pengkhianat?”

Selain itu, antara bentuk cercaan yang diterima Putera Kayıhan, beliau diolok-olok dengan pernyataan bahawa Datuknya setiap masa hanya berjalan dengan mengangkat kepala dan tidak pernah sekali menundukkannya. Ejekan itu bahkan digayakan sendiri oleh mereka di hadapannya.

3) CEMERLANG DALAM SEMUA MATA PELAJARAN TETAPI TIDAK DALAM MATAPELAJARAN SEJARAH.

Meski sering berpindah sekolah, Putera Kayıhan merupakan pelajar yang cemerlang. Beliau sering cemerlang dalam semua subjek tetapi tidak di dalam subjek Sejarah. Ini berikutan segala yang dibacanya di dalam buku teks sejarah di sekolah adalah pendustaan dan pembohongan terhadap Ustmaniyyah* sekaligus bertentangan dengan segala yang diperikan kepada Putera Kayıhan oleh ahli keluarganya.

Putera Kayıhan tidak pernah sanggup untuk menulis kembali segala penipuan itu atas kertas jawapan, semata-mata untuk memperoleh markah peperiksaan. Hal ini menarik perhatian seorang gurunya dan Putera Kayıhan telah dipanggil untuk penjelasan.

Jawapan beliau ialah, segala yang ditulis olehnya pada kertas jawapan adalah apa yang beliau perolehi menerusi lisan ibubapanya.

Sehingga lah selepas beberapa soal dan jawab, gurunya bertanya, “Kamu ada hubungankah dengan Sultan Abdul Hamid (sehingga tidak mampu menerima yang buruk tentangnya)?”

Jawab Putera Kayıhan, “Saya dari keluarga Osmanoğlu”.

Gurunya membalas, “Jadi maknanya, ada hubungan?”

Jawab sang Putera, “Ya. Ada hubungan. Jika tiada hubungan, bagaimana semua matapelajaran saya bisa cemerlang, tapi tidak pada subjek Sejarah?”

Mujurlah gurunya ini adalah seorang pencinta legasi Ustmaniyyah juga (yang menyebabkan Putera Kayıhan terus kekal di sekolah itu). Balas gurunya, “Kalau begitu, saya juga punya hubungan dengan sang Sultan?”

Kerana terkejut, Putera Kayıhan membalas, “Bagaimana Cikgu juga ada hubungan? Adakah kita bersaudara?”

Jawab gurunya, “Tidak, bukan saudara. Hubunganmu dengan sang Sultan adalah hubungan darah. Adapun hubunganku dengan Baginda adalah hubungan roh (iaitu kecintaan).”

4) PERNAH MELAWAT GAZA PALESTIN.

Atas dasar kecintaan Putera Kayıhan untuk melihat bumi Palestin yang dianggapnya sebagai Tanah nenek moyangnya (Palestin berada di bawah pemerintahan Ustmaniyyah selama beberapa ratus tahun), beliau telah pergi ke Palestin pada tahun 2012 dengan mengikuti delegasi sebuah parti politik Turki.

Perjalanan untuk ke Semenanjung Gaza bukanlah mudah. Beliau pada awalnya terdengar ada sebuah delegasi parti politik, iaitu Great Unity Party yang akan ke Gaza. Beliau mengikuti rombongan ini terlebih dahulu ke Mesir via kapalterbang, kerana Gaza hanya boleh ditelusi menerusi Ma’bar Rafah di Semenanjung Sinai berikutan Ma’bar Rafah adalah satu-satunya pintu masuk ke Gaza. Di Mesir beliau tidak mendapat rekemendasi daripada kedutaan Turki di sana untuk bersama dengan delegasi atas alasan, mereka risau terhadap keselamatan Putera Kayıhan.

Balas Putera Kayıhan, “Saya tetap mahu masuk juga. Ada orang yang menanti saya di sana. Sangat penting. Jika delegasi tidak mahu pergi, bawa saya ke depan pintu masuk Rafah”.

Dipendekkan cerita, mereka akhirnya ke sana juga. Di depan gerbang Rafah, saat pasport delegasi dikumpulkan untuk diberi kepada askar Israel, Putera Kayıhan meminta agar pasportnya diletakkan paling atas, dengan harapan yang sangat tinggi agar beliau dapat masuk. Natijahnya, mereka dibenarkan melintas masuk selepas beberapa jam menunggu di hadapan gerbang.

Ziarah itu sangat ringkas. Hanya sehari semalam saja. Namun Putera Kayıhan sangat menyarankan kepada sesiapa yang ada peluang ke sana, agar pergi lah. Lihat segalanya dengan mata kepala sendiri, kerana terdapat perbezaan yang jelas antara melihat melalui perantaraan media massa, berbanding berdiri sendiri di tempat bergolak itu. Berziarah serta berbicara dengan penduduk Gaza, melawat perkuburan para Syuhada’ dan berdiri di tengah-tengah runtuhan bangunan, semuanya membuahkan emosi dan kesedaran yang luarbiasa.

Putera Kayıhan adalah keturunan Keluarga Besar Osmanoğlu yang pertama menjejakkan kaki ke Palestin sejak tempoh 110 tahun.

5) MENDAPAT KERAKYATAN TURKI

Meskipun berdarah Ustmaniyyah, Putera Kayıhan hanya mendapat kerakyatan Turki pada usia beliau lapan tahun. Selama tahun-tahun terawal penghijrahan keluarganya ke Turki, dalam tempoh itu, mereka hanya menetap di Turki dengan menggunakan visa yang sentiasa perlu diperbahurui apabila tamat tempoh.

Hanya apabila Turgut Özal menjadi Presiden Turki, barulah Putera Kayıhan dan keluarganya diberikan status kewarganegaraan tetap oleh Presiden itu, sekaligus separa-menamatkan ‘tragedi kehidupan dalam buangan Keluarga Besar Osmanoğlu’.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.