Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah...pejuang ilmu

Kalau ada apa-apa cerita atau produk nak dikongsi ke dalam blog ini, terus je pm facebook Kriss Merah <= klik


SYEIKH al-Islam Imam Ibnu Taimiyyah adalah ilmuwan Islam yang diperakui keilmuannya dunia Islam sama ada zaman silam mahupun zaman kontemporari ini.

Keteguhan beliau berpegang dengan agama berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sesuai dengan kefahaman Salaful Ummah.

Ketegasan beliau dalam memelihara Deen al-Islam yang suci ini menyebabkan beliau dikenali, bahkan beliau juga dihormati pengikut dan orang yang menentang beliau.

Antara karya agungnya yang menjadi rujukan umat Islam iaitu Majmu’ al-Fatawa yang jelas menunjukkan keilmuan beliau dalam ilmu Islam.

Latar belakang peribadinya
       
Nama penuh Imam Ibnu Taimiyyah ialah Taqiyuddin Abu Al-‘Abbas Ahmad bin ‘Abdul Halim bin ‘Abdul As-Salam bin ‘Abdullah bin Abi Al-Qasim bin Al-Khudri Ibnu Muhammad Bin Taimiyyah Al-Harrani Al-Hanbali.

Dilahirkan pada Isnin bersamaan 10 Rabiulawa dan terdapat riwayat mengatakan 11 Rabiulawal, 661 Hijrah. (Rujuk Kitab Muhammad Bahjah Al-Baithaar (1982), Hayatu Syeikhul al-Islam Ibnu Taimiyyah Muhadaratuhu wa Maqalatuhu wa Dirasatuhu, Kaherah, Maktab Al-Islami, h. 8)

Beliau hidup dalam keluarga yang kuat berpegang pada agama. Datuknya, Majduddin Abdul al-Salam bin Abi Muhammad Abdillah adalah ulama terkemuka dalam mazhab Hambali yang meninggal dunia pada tahun 652 hijrah.

Ayahnya bernama Assyihab Abdul Halim bin Abdul As-Salam meninggal dunia pada tahun 652 hijrah, merupakan syeikh, khatib dan rujukan masyarakat ketika itu khususnya dalam bidang ilmu perwarisan.

Ibu Ibnu Taimiyyah bernama Sittu al-Ni’am Binti Abdul Rahman Bin Ali Bin Abdus al-Harraniyyah meninggal dunia pada tahun 716 hijrah. (Rujuk Kitab Muhammad bin ‘Abdul Hadi. ( 2001 ), Al-‘Uqud Ad. Durriyyah Min Manaqib Syeikh al- Islam Ibnu Taimiyyah, Al-Kaherah, Dar Al-Faruq Al-Hadisiyyah Littoba’ah Wannasyar, h. 3.)

Ketokohan Ibnu Taimiyyah

Ketokohan Imam Ibnu Taymiyyah dalam bidang keilmuan Islam dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu jelas kelihatan semenjak kecil lagi.
Diriwayatkan kisah beliau semasa kecil oleh Abi Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abdul Hadi iaitu semasa sebahagian ulama Kota Halab sering pergi ke Dimashq.  

Pernah seorang daripada mereka bertanya, "Saya pernah mendengar di negeri ini terdapat seorang kanak-kanak bernama Ahmad Bin Taimiyyah dan kanak-kanak ini mempunyai ingatan yang sangat kuat. Saya datang ke kota ini untuk melihatnya". Seorang penjahit berkata kepada ulama tersebut,
"Kanak-kanak tersebut belum datang, jalan ini adalah jalan yang sering dilaluinya ketika hendak menuntut ilmu. Jika tuan ingin bertemu dengannya, tuan boleh menunggunya di sini".

Setelah beberapa ketika, seorang kanak-kanak membawa papan besar lalu dan dia ialah Imam Ibnu Taimiyyah.

Ulama itu memanggil kanak-kanak itu untuk mengujinya. Ulama itu melihat papan dibawa Imam Ibnu Taimiyyah dan menyuruhnya memadam tulisan itu.

Ulama itu kemudian menyuruh Imam Ibnu Taimiyyah menulis beberapa belasan hadis setelah mendengar ulama tersebut membacanya. Maka imam Ibnu Taimiyyah berbuat demikian.

Setelah mendengar, menulis dan membaca beberapa belasan hadis dengan sekali bacaan, imam Ibnu Taimiyyah menyerahkan papan tersebut kepada ulama itu, lantas disuruhnya Imam Ibnu Taimiyyah mengulangi dan beliau dapat membacanya dengan lancar.

Akhirnya, ulama tersebut pun berkata: "Sesungguhnya jika anak ini (Imam Ibnu Taimiyyah ) mempunyai umur yang panjang, nescaya beliau akan mempunyai sumbangan yang sangat besar dalam dunia Islam kerana saya tidak pernah menemuinya insan sepertinya." ( Rujuk Kitab Muhammad bin ‘Abdul Hadi. ( 2001 ), Al-‘Uqud Ad. Durriyyah Min Manaqib Syeikh al- Islam Ibnu Taimiyyah, Al-Kaherah, Dar Al-Faruq Al-Hadisiyyah Littoba’ah Wannasyar, h. 6)

Guru Ibnu Taimiyyah

Muhammad bin Abdul Hadi dalam kitabnya Al-‘Uqud Ad. Durriyyah Min Manaqib Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan Ibnu Taimiyyah mempunyai lebih seratus guru yang mempunyai latar belakang bidang ilmu yang berbeza. Kesemuanya berasal dari Dimashq, dan kebanyakan mereka bermazhab Hambali.

Syeikh Bakr bin Abdullah Abu Zaid berkata dalam kitabnya, Al-Madakhil IlaAthari Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah wa Ma Lahikaha Min ‘Akmalin, jika dikumpulkan semua nama guru kepada Ibnu Taimiyyah yang sampai kepada beliau adalah 36 guru. (Rujuk Kitab Bakr bin ‘Abdullah Abu Zaid. ( 2001 ), Al-Madakhil IlaAthari Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah wa Ma Lahikaha Min ‘Akmalin, Makkah, Dar ‘Alimul Fawaid, h. 18.)
Murid ibnu taimiyyah
      
Antara murid-murid Ibnu Taimiyyah yang terkenal serata dunia Islam ialah:
1. Syamsuddin Muhammad Ibnul Qayyim al-Jauziyyah (Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah)
2. Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad Bin al-Zahabi (Imam Az-Zahabi)
3.‘Imad al-Din Isma’il Bin Umar Bin Katsir (Imam Ibnu Katsir)
4. Yusuf Bin Abdul Rahman al-Mizzi
5. Umar Bin Ali al-Bazzar
6. Ahmad Bin Hassan Bin Abdullah Bin Umar Bin Qudamah Ibnu Qadi al-Jabal.
7. Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad Bin Ahmad Ibnu Abdul Hadi al-Maqdisi
8. Ahmad Bin Yahya Bin Fadlullah Ibnu Fadlullah al-‘Umari
9. Muhammad Bin al-Manja Bin Usman al-Tanuji
10. Ibnu Syeikh al-Hazamiyyin
11. Abul ‘Abbas al-Zara’i
12. Syamsuddin al-Asbahani
13. Muhammad Bin Ahmad Bin Nasr al-Dubahi
14. Ibnu Abi Al-Najih
15. Muhammad Bin Umar
16. Al-Saramiri
17. Ya’akub Bin Faris al-Ja’fari
18. Ali Bin Ahmad Bin Haus al-Hilali
19. Syarfuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Hussain
20. Zainuddin Umar Ibnu al-Wardi
21. Zainuddin Abu Hafs Umar al-Harrani
22. Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad Bin Muflih

Ibnu Taimiyyah mempunyai ramai murid. Antara rujukan yang baik untuk mengetahui nama-nama murid Ibnu Taimiyyah adalah kitab ar-Radd al-Wafir ‘AlaMan Zami’a Bianna ManSamma Ibnu Taimiyyah Kafir karangan Ibnu Nasiruddin as-Syafie yang wafat pada tahun 842 hijrah dan kitab Assyahadah al-Zakiyyah Fi Thanai al-Aimmah ‘ala Ibni Taimiyyah karangan Mar’ie Bin Yusuf al-Kirmi al-Hanbali.

Sanjungan ulama
      
Imam Daqiqul Ied berkata: "Ketika aku bertemu dengan Ibnu Taimiyyah, aku mendapati dirinya memiliki segala bidang ilmu." (Kitab As-Syahadah Az-Zakiyyah Fi Thanail Ulama ‘ala Ibni Taimiyyah)

Imam Ibnu Katsir berkata: "Tibalah tahun 728 Hijrah, itulah tahun wafatnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah." (Kitab Al-Bidayah Wa An-Nihayah)

Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: "Terdapat dua kemungkinan bagi orang yang mengatakan Ibnu Taimiyyah adalah kafir, 1) Orang itu sendiri adalah kafir 2) Orang yang jahil yang tidak mengenal Ibnu Taimiyyah yang sebenar." (Kitab Ad-Durarul Kaminah)

Begitulah ciri-ciri seorang pejuang  Islam, ketokohan dan kelebihan beliau terlihat semenjak daripada kecil lagi.

Jika diteliti, peranan ahli keluarga terutamanya ibu dan ayah memainkan peranan dalam membentuk seorang insan yang akan memperjuangkan agama ALLAH dalam hidupnya di samping persekitaran yang baik.

Bak kata pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta. Penulis akan menyambung lagi berkenaan peribadi yang sangat hebat dalam dunia Islam ini dalam penulisan akan datang.

sumber :

http://www.sinarharian.com.my/rencana/syeikhul-islam-ilmuwan-islam-sepanjang-zaman-1.285418
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.