Buya Hamka, reformis Islam Nusantara



KEMBALI kita membicarakan Prof Hamka dan perjuangannya. Selain tuduhan sesat, Wahabi, keluar mazhab, tidak hormat ulama seperti kita bincangkan dalam artikel lepas, Prof Hamka dan gerakan pembaharuan juga menghadapi pelbagai tuduhan lain."



Antaranya, gelaran golongan pembaharuan, sama ada di Indonesia ataupun Tanah Melayu ketika itu ialah Kaum Muda.

Prof Hamka mengkritik gelaran Kaum Muda kepada golongan pembaharuan. Kata Hamka: “Menurut lughah dipakai dalam bahasa Arab dinamai Mazhab Salaf dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu. Lawannya ialah al-khalaf. Di Mesir golongan

Muhammad Abduh dinamai Mazhab al-salaf, orang Wahabi di Tanah Arab supaya dirinya juga Mazhab Salaf: ertinya semuanya Kaum Tua.

Tidak hormat sayyid

Kata Hamka, "Inilah suatu pengertian yang salah berlaku di negeri kita selama 50 tahun. Maka tukang bidaah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama atas tiangnya yang asli sepatutnyalah digelar Kaum Muda.

"Mereka yang berpegang secara langsung dengan asal dan hulu agama, sepatutnya bergelar Kaum Tua! Dan Kaum Tua dan Kaum Muda di Indonesia dan Malaya dan Siam sudah taqlid saja erti yang salah 50 tahun lamanya” (Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 98. Selangor: Pustaka Dini 2009).

“Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang muthi’ah dikatakan Kaum Muda pun boleh, sebab terbiasa begitu. Tetapi, jika saya dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum seperti itu di dalam asal Islam.

“Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur. Ada seorang tua yang umurnya 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90 tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan Risalah Penebas Ke Atas Bid’ah-Bid’ah Di Kepala Batas yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah SAW. Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20 tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW! Dia hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek moyangnya! Tak mahu berganjak!

Siapakah antara kedua-duanya Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) Kaum Muda? Hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan, sebagaimana firman ALLAH SWT dalam al-Quran: wala tanabazu bi-l-alqab, ertinya janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran”. (Ibid m/s 99)

Antara tuduhan lain terhadap golongan pembaharuan, kononnya mereka tidak hormat golongan sayyid atau habib yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Isu ini ditimbulkan sejak dahulu. Kata Hamka: “Disiarkan berita bahawa Kaum Muda membenci ahlu bait, tidak hormat kepada kaum sayyid, zuriat Rasul” (Ibid m/s 67)

Berkaitan golongan sayyid, Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn ‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Kata Prof Hamka: “Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta benda kita hendaklah reda, hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak reda, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah reda, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga kita, hendaklah terima dan reda dengan menyerah dan sabar... maka perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat sesudah iktisadnya dan hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum sayyid” (Ibid m/s 72)

Prof Hamka bukan saya membela kebenaran perjuangan pembaharuan dalam lingkungan bumi Indonesia semata, bahkan beliau juga pernah menghantar sepucuk surat yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang ia dijadikan buku yang dijual di pasaran.

Dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan dituduh sebagai Kaum Muda ataupun Wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi.

Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah tersebut.

Cabaran tajdid agama

Kata Prof Hamka: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela Kaum Tua dalam menghentam Kaum Muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul Kaum Muda dengan membuat fitnah... sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja Kaum Muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta...” (Ibid m/s 85)

Kata Hamka juga dalam surat tersebut: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya daripada gerakan Kaum Muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Ibid m/s 48)

Antara perkara paling buruk dalam pembaharuan ataupun tajdid dalam agama ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama  sendiri yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, biadap dan tidak hormat orang tua, atau dilabelkan pelbagai istilah.

Inilah yang menimpa tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderat Muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang Melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanah air.

Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendekiawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh tradisionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Za’ba pernah menyebut: “Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang alim Islam hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor mereka dahulu kala itu.

"Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.  Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! 

"Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat”. (Za’ba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005)

Artikel ini hanya menyebut secebis pengalaman Prof Hamka dalam melayari perjuangan pembaharuan di Indonesia dan Nusantara. Tanpa mengetahui latar fikir Hamka, seseorang mungkin tidak memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.