Bukan Yap Ah Loy yang buka Kuala Lumpur - Prof Dr Khoo




Sutan Puasa merupakan orang yang layak dianggap sebagai pembuka Kuala Lumpur, dan bukannya Yap Ah Loy mahu pun Raja Abdullah, demikian menurut pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

“Ramai yang tidak mengetahui tentang peranan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur kerana tidak banyak cerita mengenai beliau diketahui umum.

“Dahulu orang Melayu tidak suka menyimpan rekod dan ia juga antara faktor menyebabkan pedagang dari Sumatera, Indonesia itu kedengaran asing dalam sejarah Kuala Lumpur,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Menurut Jurnal Seni Bina Asia Tenggara 2013 oleh Universiti Kebangsaan Singapura yang disiarkan oleh laman academia.edu, Sutan Puasa atau Sutan Naposo berasal dari Mandailing di Sumatera dan menganut agama Islam.

Mengikut catatan Mandailing pula, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa yang terkenal sebagai pedagang timah meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Mengulas lanjut, Khoo berkata, adalah mustahil Yap yang membuka Kuala Lumpur kerana beliau sendiri hanya merupakan kapitan ketiga orang Cina di Kuala Lumpur.

Sebelum aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang, jelas Khoo.

Pada masa sama, katanya, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.

Nama Kuala Lumpur diambil dari sebatang sungai bernama Sungai Lumpur, namun nama sungai tersebut ditukar kepada Sungai Gombak pada tahun 1875, tambahnya.

“Pentadbiran secara tidak langsung yang diamalkan oleh raja dan pembesar pada masa tersebut telah meluaskan pengaruh Sutan Puasa di kalangan orang Mandailing.

Hiu Siew kemudiannya menjadi kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing pada ketika itu, ujarnya lagi.

Sumber asal :

http://www.malaysiakini.com/news/372699
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah

No comments

Powered by Blogger.