Apakah ada kelebihan jika mati pada bulan tertentu seperti Syaaban dan Ramadhan?



Dalam Islam dijelaskan bahawa prinsip asas ahli sunnah adalah sesiapa yang beramal baik, maka dengan amalan kebaikan itulah, dia bakal mendapat ganjaran yang terbaik. Firman ALLAH: “Itulah syurga yang diberikan kepada kamu disebabkan amal yang telah kamu lakukan.” (Surah Al-Zukhruf: 72) dan ALLAH juga berfirman: “Mereka dipanggil, “ltulah syurga yang diberikan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu lakukan.” (Surah Al-A’raf: 43).



Justeru, waktu yang mulia ataupun tempat yang mulia, tidak boleh menyebabkan penghuninya menjadi mulia. Pernah Nabi SAW mempersaudarakan di antara Abu Al-Darda dengan Salman Al-Farisi sehingga keduanya ibarat keluarga yang sangat rapat. Riwayat Imam Malik daripada Yahya bin Said menceritakan, bahawa Abu Al-Darda pernah menulis surat kepada Salman meminta beliau untuk berpindah dan tinggal di tanah suci (negeri Syam). Lalu Salman membalas surat itu dengan mengatakan: “Sesungguhnya tanah suci itu tidak mampu mensucikan sesiapa pun. Apa yang boleh mensucikan seseorang itu adalah amalnya.” (Al-Muwattha' Imam Malik)

Jadi bagi mereka yang meninggal dunia dalam tempoh masa bulan Syaaban atau Ramadan itu, tidaklah mereka dijanjikan dengan sesuatu kelebihan dan ganjaran. Namun apa yang membolehkan mereka untuk mencapai kebaikan dan husnul khatimah adalah dengan amalan kebaikan yang mereka laksanakan seperti sedang berpuasa, bersolat dan juga bersedekah. Setiap amalan kebajikan itulah yang mampu memberi kelebihan kepada mereka, di mana sahaja mereka berada tanpa tertakluk kepada keturunan, bangsa, pangkat dan tempat.

Malah bagi mereka yang melakukan amalan soleh dan meninggal dunia dalam tempoh tersebut, Nabi SAW pernah bersabda dari hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah: “Sesiapa yang melafazkan syahadah dengan ikhlas mengharapkan keredaan ALLAH dan dia akhiri hidupnya dengan ikrar itu, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas mengharap keredaaan ALLAH dan dia akhiri hidupnya dengan puasa ini, maka dia akan masuk syurga. Sesiapa yang sedekah dengan ikhlas mengharapkan keredaan ALLAH dan dia akhiri hidupnya dengan sedekah itu, maka dia akan masuk syurga. (Riwayat Imam Ahmad)

Sumber : sinar harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.