13 Fasa yang bakal dilalui di alam akhirat (wajib baca)

Jika ada cerita yang menarik atau produk perniagaan yang mahu kami viralkan, sila Whatsapp kami di 014-9678920




Kronologi Alam Akhirat

Secara umum, alam akhirat mempunyai 13 fasa yang amat panjang. Sebahagian makhluk diberi peluang untuk merasai 13 fasa ini sepenuhnya. Ada pula dalam kalangan mereka yang sempat melalui beberapa fasa, kemudian terus melangkau menuju ke syurga mahupun neraka.

Perjalanan merentasi fasa-fasa ini amat menyeksakan bagi mereka yang ingkar dan derhaka kepada perintah Allah. Sementara bagi mereka yang beriman dan sentiasa beramal soleh, pasti akan melalui fasa-fasa ini dengan penuh rasa keamanan dan kenikmatan. Kesemua fasa ini akan dilalui berbekalkan amalan yang dibawa semasa hidup di dunia.

FASA PERTAMA Alam Barzakh

Alam barzakh merupakan tempat persinggahan pertama bagi si mati sebelum kiamat. Tempat tersebut berada di tengah-tengah antara alam dunia dengan alam akhirat. Di alam barzakh, ulama sepakat tentang kewujudan azab dan nikmat kubur. Dalam alam barzakh juga, segala nikmat mahupun azab akan dirasai secara hakiki dan bukan sekadar bayangan mahupun perasaan.

Di alam kubur, pertanyaan Munkar dan Nakir berlaku terhadap roh dan jasad. Ketika itu, jawapan yang diperoleh adalah hasil daripada amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Jika amalan kebaikan yang dibawa, pasti seorang itu mampu menjawab semua soalan dengan mudah. Lantas kuburnya bercahaya dan diluaskan sehingga 70 hasta. Seterusnya, dia diberi tidur yang nyenyak dengan kenikmatan sehingga hari kiamat.

Sementara bagi mereka yang ingkar dan derhaka, kegagalan menjawab soalan di dalam kubur bakal menyaksikan mereka terus diazab dan dicerca. Ketika itu bahang kehangatan api neraka sudah mula dirasai. Kubur mereka pula menghimpit hingga bertemu tulang belulang. Ular dan kala jengking dari neraka mula merayap dan menggigit, manakala pemukul Malaikat Munkar dan Nakir terus bertalu-talu menghinggap ke jasad mereka. Ada yang diazab mengikut waktu-waktu tertentu dan ada yang berterusan mengalami kesengsaraan azab kubur hingga hari kiamat. Sabda Nabi s.a.w:

“Apabila seseorang selesai membaca tasyahud (akhir), hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah daripada empat perkara. “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada seksa Neraka Jahannam, daripada seksa kubur, daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah al-Masih Dajjal.” Selanjutnya, hendaklah dia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai dengan kepentingannya. (Riwayat Muslim dan Nasa’i)

Antara penyebab terjadinya azab kubur seperti yang telah dijelaskan Baginda s.a.w ialah perbuatan mengadu domba, suka memfitnah, mengumpat, melakukan pengkhianatan, berbohong, hutang yang tertangguh sehingga mati, tidak mengambil berat tentang permasalahan bersuci, meninggalkan solat dan sebagainya.

FASA KEDUA Sangkakala Kehancuran

Apabila tibanya saat kehancuran dunia dan alam semesta, Malaikat Israfil akan diarahkan Allah supaya meniupkan sangkakala. Tiupan pertama akan menyebabkan berlakunya kehancuran seluruh alam semesta sekaligus mematikan semua makhluk yang bernyawa. Firman Allah SWT:

“Dan ditiup sangkakala maka matilah semua yang di langit dan di bumi, kecuali apa yang dikehendaki Allah SWT.” (az- Zumar, ayat 68)

Tiupan kehancuran ini akan menggegarkan seluruh alam semesta sehingga dunia dan cakerawala bertembung di antara satu sama lain. Ketika itu gunung menjadi rata, serangan ombak tsunami menggila, bintang-bintang bertaburan, matahari akan digulung serta semua mahkluk berterbangan. Setelah itu, bermulalah alam baru yang dinamakan sebagai alam akhirat yang kekal abadi.

FASA KETIGA Sangkakala Kebangkitan

Setelah beberapa lama alam semesta dilenyapkan, Allah SWT menciptakan semula alam yang baru. Di sana, manusia akan dibangkitkan dan dikumpul semula untuk menerima pembalasan atas segala amalan.

Firman Allah SWT: “Pada hari ketika mereka semua dibangkitkan Allah, lalu diberitakannya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.” (Surah al-Mujadalah, ayat 6)

Sesudah wujudnya alam akhirat, Malaikat Israfil dihidupkan semula untuk menyempurnakan tiupan sangkakala kebangkitan. Setelah sangkakala kedua ditiup, seluruh umat akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang tanpa berpakaian kecuali mereka yang mendapat kemuliaan daripada Allah SWT pada hari tersebut. Sabda Nabi s.a.w: “Kemudian ditiup sangkakala, tiada seorang pun tertinggal kecuali semuanya akan dibinasakan. Lalu Allah SWT menurunkan hujan seperti embun atau bayang-bayang lalu tumbuhlah jasad manusia. Kemudian, sangkakala yang kedua ditiup semula dan manusia pun bangkit dan berdiri.” (Riwayat Muslim)

FASA KEEMPAT Padang Mahsyar

Setelah semua makhluk dibangkitkan, mereka akan diarah bergerak menuju ke satu tempat persinggahan untuk diadili. Tempat tersebut mempunyai permukaan pasir rata yang dinamakan sebagai Padang Mahsyar. Firman Allah SWT: (Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit dan mereka (manusia) berkumpul (di Padang Mahsyar) menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. (Surah Ibrahim, ayat 48)

Semua makhluk akan berada di Padang Mahsyar dalam satu tempoh yang sangat lama. Selain itu, pelbagai dugaan dan rintangan mula dirasai. Antara dugaan yang dahsyat ketika itu ialah terbitnya matahari yang teramat terik sehingga dirasakan seolah-olah ia berada sejengkal di atas kepala. Namun, beruntunglah tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada ketika itu. Sabda Nabi s.a.w:

Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy- Nya pada hari yang tiada  perlindungan melainkan perlindungan daripada-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya terpaut pada masjid, dua orang lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan aku takutkan Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya, seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah. (Riwayat Muslim )


FASA KELIMA Syafaat (Pertolongan)

Seluruh makhluk bakal dibiarkan dalam keadaan terpinga-pinga tanpa sebarang pembelaan melainkan mereka yang diberi penghormatan daripada Allah SWT. Kesengsaraan dan penderitaan yang dilalui amat tidak tertanggung sedangkan hitungan hisab masih belum lagi dimulakan.

Pada saat itu, seluruh makhluk terkejar-kejar mencari pertolongan dan bantuan agar dipercepatkan hitungan hisab mahupun diringankan sedikit azab. Ketika itu juga, manusia semakin menderita dan berputus asa, lalu muncul Rasulullah s.a.w menawarkan bantuan. Lantas Baginda terus tunduk sujud di hadapan Arasy memohon pertolongan dan keizinan daripada Allah SWT untuk memberi syafaat. Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“… Ketahuilah aku adalah kekasih Allah, dalam pada itu, pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, dan aku pembawa panjipanji kepujian pada hari kiamat, dalam pada itu, pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, dan akulah orang yang mula-mula mengemukakan syafaat, juga yang mula-mula dikabulkan syafaatnya pada hari kiamat, dalam pada itu, pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah …” (Riwayat Tirmizi)

Setelah sekian lama Rasulullah s.a.w sujud, akhirnya permohonan Baginda s.a.w agar dipercepatkan hitungan hisab dan diringankan kesengsaraan azab dimakbulkan Tuhan. Syafaat ini dinamakan sebagai Syafaat al-Uzma iaitu syafaat yang terbesar kerana ia bakal dirasai oleh seluruh makhluk.

Setelah Syafaat al- Uzma ini diterima Tuhan, maka bermulalah sesi hitungan dan bantuan Syafaat Sughra daripada Baginda s.a.w dan mereka yang diberi penghormatan untuk mendapat syafaat pada hari tersebut. Syafaat Sughra adalah syafaat kepada makhluk-makhluk tertentu sahaja. Syafaat tersebut hanya dikhususkan kepada umat Islam yang mati dalam keimanan tanpa melakukan dosa syirik. Sementara itu, bagi orang kafir dan munafik, mereka tidak mendapat syafaat dan juga bantuan.

FASA KEENAM Hisab Amalan

Pada fasa ini, semua makhluk akan dihitung amalannya dengan adil lagi saksama. Setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, pasti dinilai di hadapan Allah SWT. Tidak ada sedikit pun amalan walau sekecil debu sekalipun, namun ia akan dihitung sebagai amalan. Sebagaimana firman Allah SWT:

Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) darippada perkaraperkara kamu yang tersembunyi. (Surah al-Haqqah : 18)

Berkat kemuliaan Nabi s.a.w, umat Baginda diberi penghormatan untuk menerajui proses hitungan hisab sedangkan mereka adalah umat yang terakhir. Antara amalan pertama yang ditanya ialah soal berkaitan solat, manakala hukum pertama yang diadili ialah berkaitan hak sesama makhluk dan urusan darah. Setelah itu, empat persoalan utama yang diajukan ialah umur, ilmu dan amal, harta serta kesihatan tubuh badan. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya, pada perkara apakah ia habiskan; ilmunya, untuk apakah ia gunakan; harta bendanya, dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan; mengenai tubuh badannya, pada perkara apakah ia susutkan kemudahan serta
kecergasannya.” (Riwayat Tirmizi)

FASA KETUJUH Mahkamah Ilahi

Setelah setiap amalan dihisab, prosiding perbicaraan dan timbang tara di Mahkamah Keadilan Ilahi dimulakan. Setiap makhluk ketika itu diberikan peluang untuk berbicara dan membuat tuntutan hak masing-masing.  Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya, hendaklah dia minta dihalalkan (mohon maaf) daripada perbuatan tersebut. Ini kerana pada saat itu, tidak ada dinar dan dirham, sebelum pahala kebaikannya diambil untuk saudaranya. Jika dia tidak mempunyai kebaikan, maka diambilnya kejahatan-kejahatan saudaranya itu dan dibebankanlah (dosanya) kepadanya.” (Riwayat Bukhari)

Di hadapan Mahkamah Keadilan Ilahi, semua amalan akan dihitung dan dikira, manakala para malaikat, para nabi, sekalian manusia bahkan tangan, kaki, kulit, tubuh dan juga bumi akan berbicara dan menjadi saksi. Ketika itu, tiada lagi penipuan mahupun penganiayaan. Setiap kejahatan dan kebaikan pasti dibalas dengan seadil-adilnya.Firman Allah SWT:

“Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri tentang segala apa yang mereka lakukan.” (Surah an-Nur: 24)

FASA KELAPAN Penyerahan Buku Catatan Amalan

Setelah segala amalan dihisab dan timbang tara di Mahkamah Ilahi disempurnakan, kini buku catatan amalan diberi semula untuk dirujuk kepada proses seterusnya, iaitu Timbangan Mizan. Buku catatan tersebut telah pun disahkan sepenuhnya semasa proses hitungan hisab dan timbang tara dibuat. Semasa pemberian buku catatan amalan ini, manusia yang baik amalannya akan diberi dengan tangan kanan. Sementara itu, bagi mereka yang diberi buku catatan amalan dari sebelah kiri mahupun hanya dicampakkan dari belakang, mereka itu bakal melalui penderitaan yang amat sengsara.

“Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Adapun orang-orang yang diberikan kitabnya dari belakang, maka dia akan berteriak, “Celakalah aku!” Dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” (Surah al-Insyiqaq: 7 – 12)

FASA KESEMBILAN Telaga Kauthar

Setelah melalui proses pengadilan yang sangat lama, akhirnya setiap makhluk diberi minuman di telaga nabi masing-masing. Bagi umat Muhammad s.a.w, mereka akan dihidangkan air minuman yang amat lazat sekali gus mampu menghilangkan rasa kehausan buat selama-lamanya. Telaga tersebut dinamakan sebagai Telaga Kauthar. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya setiap nabi memiliki telaga, mereka membanggakan diri dengan siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya) dan aku berharap agar akulah yang paling banyak pengikutnya.” (Riwayat Tirmizi)

Namun demikian, ada hadis lain yang membicarakan hal ini antaranya, yang diriwayatkan oleh Bukhari iaitu menggambarkan bahawa dengan menjadi umat Muhammad s.a.w sahaja, tidak semestinya seseorang itu layak menghampiri Telaga Kauthar. Air ini hanya diberikan khusus kepada umat Muhammad yang beriman dan bertakwa dengan sebenar-benarnya.

Menurut pandangan kebanyakan ulama seperti Imam al- Qurtubi, Abu Hamid al-Ghazali dan sebagainya menjelaskan bahawa telaga ini disediakan ketika manusia sedang dihisab dan sebelum berlakunya timbangan dan merentasi Titian Sirat. Namun, ada sebahagian pendapat mengatakan bahawa telaga ini disediakan setelah Timbangan Mizan dan sebelum Titian Sirat.

FASA KESEPULUH Timbangan Mizan

Setelah perbicaraan selesai dan hukuman balas-membalas serta bayar-membayar dijalankan, maka amalan yang telah disahkan di Mahkamah Ilahi melalui pemberian catatan buku amalan akan ditimbang di Neraca Mizan. Sesudah itu, nasib dan balasan masingmasing bakal diketahui dengan jelas sekali.Firman Allah SWT:

“Penimbangan amal pada hari kiamat adalah satu keadilan yang benar, maka sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang-orang yang berjaya memperoleh apa yang mereka harapkan dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan diri sendiri dengan sebab mereka telah meletakkan ayat-ayat keterangan Kami pada bukan tempatnya.” (Surah al-A’raaf: 8-9)

Sebahagian pendapat mengatakan bahawa orang kafir akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa melalui proses Timbangan Mizan. Namun, mengikut pandangan Ibnu Hajar al-Asqolani, Imam al-Qurtubi dan sebagainya mengatakan bahawa pendapat ini agak tidak bertepatan dengan keadilan Allah SWT. Lantaran itu, sekalipun mereka ini kafir, mereka juga akan dibicara mengikut prosedur sepenuhnya bersesuaian dengan keadilan Tuhan. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya kepada Kamilah mereka akan kembali dan sesungguhnya kewajipan Kamilah menghitung mereka.” (Surah al-Ghasyiah: 25 - 26)

FASA KESEBELAS Ujian Tapisan Keimanan

Setelah melalui proses Timbangan Mizan, orang kafir dan orang yang melakukan dosa syirik dalam keadaan tidak sempat bertaubat sudah dimasukkan ke dalam neraka. Kini tinggallah umat Islam yang berbaki untuk dibawa ke peringkat selanjutnya iaitu tahap ujian tapisan keimanan.

Pada saat ini golongan yang benar-benar beriman akan dipisahkan sama sekali daripada golongan munafik. Ketika itu, keadaan menghadapi Titian Sirat menjadi gelap-gelita, cahaya golongan munafik semakin malap dan akhirnya terpadam lantas mereka terjunam jatuh ke dalam api neraka. Firman Allah SWT:

“(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin lelaki dan perempuan betapa cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka (dikatakan kepada mereka), “Pada hari ini, ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungaisungai yang kamu kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung.” Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman, “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian daripada cahayamu”. Dikatakan (kepada mereka), “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu).” Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada seksa. (Surah al-Hadid, ayat 12-14)

FASA KEDUA BELAS Titian Sirat

Setelah umat Islam lulus di tahap ujian tapisan keimanan, kini bermula pula episod penitian yang amat mengerikan. Semua makhluk ketika itu diarahkan meniti Titian Sirat untuk menuju ke syurga mahupun jatuh ke dalam neraka. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas Neraka Jahanam. Lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul lain berdoa pada hari itu, “Ya Allah, selamatkanlah! Selamatkanlah! Di kanan dan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan (pokok berduri). Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab, “Pernah.” Baginda melanjutkan sabdanya,

“Sesungguhnya pengait itu seperti duri pokok Sa’dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatan mereka di dunia.” (Riwayat Muslim)

KETIGA BELAS Jambatan Kedua

Bagi golongan yang yang berjaya melalui Titian Sirat, mereka akan meneruskan cabaran seterusnya di peringkat akhir iaitu meniti jambatan kedua menuju ke syurga. Jambatan ini bukanlah Titian Sirat yang dibentangkan di atas Neraka Jahanam. Menurut pandangan Imam al-Qurtubi di dalam kitab at- Tazkirah menjelaskan bahawa jambatan ini adalah jambatan kedua yang disediakan bagi golongan Mukmin yang telah melepasi Titian Sirat. Sesudah meniti jambatan kedua ini, barulah mereka dibenarkan masuk ke dalam syurga. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Seorang Mukmin akan dibebaskan daripada api neraka. Lalu mereka
diberhentikan di atas jambatan antara syurga dengan neraka, mereka akan saling diqisaskan antara satu sama lain atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas daripada segalanya, barulah mereka diizinkan masuk ke syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang di antara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia.” (Riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian jelaslah bahawa jalan menuju ke syurga bukanlah mudah seperti yang dibayangkan. Pelbagai dugaan dan rintangan perlu dilalui dengan penuh penyeksaan. Setiap laluan dan fasa persinggahan bakal ditempuhi berdasarkan amalankehidupan di dunia. Jika bekalan yang dibawa mencukupi, pasti perjalanan pulang menuju ke syurga akan berjaya disusuri dengan selamat dan mudah. Namun, jika amalan yang dibawa terlalu sedikit atau tiada langsung, pasti perjalanan ini menjadi semakin sukar dan berkemungkinan sesat buat selama-lamanya serta dibakar api neraka.

Firman Allah SWT:
“Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, ayat 5-7)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.