Proses memohon pinjaman perumahan (Housing Loan)



Membeli Rumah

Jika anda ingin membeli rumah yang masih dalam pembinaan, anda perlu mengkaji latar belakang pemaju berkenaan. Anda hendaklah memastikan bahawa pemaju :


  • Mempunyai lesen sah (belum luput) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
  • Mempunyai lesen pengiklanan dan permit jualan sah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Anda berhak bertanya kepada pemaju perumahan maklumat mengenai lesen dan permit tersebut. Anda juga boleh merujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Pemaju yang mempunyai rekod yang baik akan mengurangkan risiko perumahan terbengkalai.



Tabungan

Anda hendaklah mempunyai simpanan peribadi yang mencukupi untuk menjelaskan bayaran muka dan kos sampingan yang lain. Anggaran yang bijak ialah di antara 10%-20% daripada harga rumah senagai bayaran muka dan di antara 3% - 5% lagi adalah sebagai kos sampingan, seperti bayaran guaman dan duti setem.

Mencari Pembiaya Pembelian Rumah

Buat tinjauan dan perbandingan terhadap produk pinjaman yang terdapat di pasaran sebelum memilih institusi pembiaya pembelian rumah anda. Sila ambil ingatan bahawa, setelah mengambil pinjaman perumahan, anda akan sering berurusan dengan institusi kewangan berkenaan untuk tempoh yang begitu lama. Oleh itu anda perlu mengambil kira faktor lain dan tidak tertarik kepada kadar faedah yang rendah sahaja.

Memohon Pinjaman : Dokumen Yang Perlu Dikemukakan

Anda perlu menyediakan dokumen-dokumen asas berikut sebelum institusi kewangan memproses permohonan anda:


  • Satu salinan Kad pengenalan atau pasport anda.
  • Slip gaji untuk 3 bulan yang terkini.
  • Penyata cukai pendapatan (borang J) yang terkini atau borang EA.
  • Dokumen perjanjian jual beli / resit pembayaran deposit atau tempahan / surat tawaran daripada pemaju.
  • Satu salinan surat hakmilik tanah (jika ada).
  • Penyata bank 6 bulan terdahulu (wajib jika tiada slip gaji/borang EA/J)/buku akaun simpanan/ resit simpanan tetap.
  • Laporan penilaian harta (untuk rumah sudah siap).
  • Jika anda bekerja sendiri, anda perlu melampirkan dokumen pendaftaran perniagaan, penyata bank untuk 3 bulan terakhir, penyata kewangan terkini dan dokumen lain yang boleh menyokong sumber pendapatan anda. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewangan mungkin memerlukan dokumen sokongan tambahan.
Selepas bersetuju untuk menerima surat tawaran pinjaman, anda perlu melantik seorang peguam untuk menyiapkan dokumentasi pinjaman. Biasanya, anda akan memilih peguam daripada panel peguam yang disediakan oleh institusi kewangan tersebut. Sebahagian daripada dokumen ini akan dikemukakan kepada jabatan kerajaan berkenaan untuk pendaftaran dan pejabat setem untuk pembatalan.

Selepas proses di atas selesai, dokumen-dokumen berdaftar ini hendaklah diserahkan kepada institusi kewangan berkenaan dan anda akan diberikan satu salinan Perjanjian Pinjaman. Pada amnya, masa yang diambil untuk menyiapkan dokumentasi yang melibatkan proses undang-undang ini adalah tidak melebihi 6 bulan.

Fi Dan Caj

Anda juga dikehendaki menjelaskan kos-kos berkaitan seperti fi perkhidmatan profesional dan caj yang dikenakan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Jenis caj dan jumlah caj yang dikenakan akan berubah dari semasa ke semasa. Anda perlu berjumpa dengan pegawai institusi kewangan anda untuk mendapatkan nasihat lanjut dan mengadakan perbincangan jika ada sebarang kemusykilan berhubung dengan jenis fi dan khidmat guaman.

Margin Pembiayaan, Jumlah pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan bergantung kepada nilai pasaran (bagi rumah sudah siap sahaja) atau harga belian rumah, mengikut mana yang lebih rendah. Margin pembiayaan mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

  • Jenis hartanah
  • Lokasi hartanah
  • Umur peminjam
  • Jumlah pendapatan peminjam.
Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia menghadkan margin pembiayaan sehingga 70% bagi kemudahan pembiayaan rumah ketiga. Kemudahan pembiayaan bagi pembelian rumah pertama dan kedua tidak tertakluk dengan dasar ini dan pembeli boleh terus mendapatkan pembiayaan bagi pembelian tersebut bergantung kepada dasar kredit dalaman sesebuah bank.

Tempoh Pinjaman

Tempoh pinjaman boleh ditetapkan untuk sebarang tempoh asalkan tidak melebihi 30 tahun atau sehingga peminjam mendapai umur 65 tahun (atau sebarang umur lain yang ditentukan oleh institusi kewangan), mengikut mana yang dahulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini

No comments

Powered by Blogger.