Pok Su Musa, kisah buruh paksa Jepun yang dianiaya


Melalui tulisan kali ini, aku merakamkan dua tragedi, tragedi September 1942 dan Mac 2011. Pok Su Musa disumbat ke dalam lori tentera Jepun. Dia dimaklumkan akan dibawa ke Burma untuk membina landasan keretapi. Keluar dari rumah Pak Su Musa tak menjangkakan apa-apa yang buruk berlaku. Jadi, tiada ucapan selamat tinggal untuk isterinya dan tiada peluk dicium untuk dua orang anaknya yang masih kecil.

Pok Su Musa meminta izin pegawai tentera Jepun untuk pulang sekejap ke rumahnya untuk berjumpa keluarganya dan mengambil pakaian apa yang patut tetapi tidak dibenarkan. Bertolaklah Pak Su Musa bersama-sama ribuan mangsa-mangsa lain dengan hati yang tidak keruan. Bimbang. Takut. Marah. Pilu.

Pok Su Musa tak sangka sama sekali dirinya menjadi sebahagian daripada mangsa kezaliman Jepun. Jepun memisahkannya daripada isteri dan anak-anak yang masih bermanja. Di Burma, Pok Su Musa dikerah dan didera untuk menyiapkan landasan keretapi sepanjang 415 kilometer dari Ban Pong, Thailand  ke  Thanbyuzayat, Burma.

Hari berganti hari dirasakan cukup lama. Tubuh Pok Su Musa banyak susutnya seperti mana kebanyakan mangsa-mangsa lain. Makanan tidak mencukupi lagi tidak berkhasiat. Sekadar untuk memberi tenaga untuk bekerja. Sakit demam tidak mendapat rawatan yang sempurna.

Ramai buruh paksa yang mati. Ada yang mati didera. Ada yang mati kerana penyakit. Dan ada yang mati ditembak kerana cuba melarikan diri. Manakala yang tiada sekelumit tenaga lagi untuk bekerja dibiarkan mati kering.

Pok Su Musa hanya menunggu giliran. Mayat-mayat dicampak begitu saja oleh tentera Jepun yang tidak berhati perut. Pok Su Musa melihat dengan mata kepalanya sambil bergenangan air mata. “Adakah aku akan panjang umur? Berjumpakah kembali aku dengan anak isteriku?”

Pok Su Musa nekad melarikan diri bersama dengan dua orang kawannya, Mat Seman dan Dollah Tanah Merah. Mereka berjaya. Mereka terpaksa menyorok daripada penduduk tempatan. Mereka bimbang akan mata-mata Jepun. Dua bulan mereka terseksa tak makan dengan sempurna yang membawa Mat Seman mati kerana sakit.

Akhirnya Pok Su Musa dan Dollah sampai ke selatan Thailand yang ramai penduduk Islam. Di situ, barulah mereka dapat bernafas. Mereka menumpang di rumah orang sambil bekerja membantu tuan rumah mengusahakan padi.

Pendek cerita, pada tahun 1944, Dollah yang masih bujang, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang gadis tempatan. Apabila Jepun tewas perang pada 1945,  Pok Su Musa bergerak pulang ke kampung manakala Dollah membawa isterinya ke Tanah Merah, Kelantan.

Dengan takdir Allah, akhirnya Pok Su Musa sampai ke Kuala Nerus, Terengganu. Kerana masih ketakutan, dia ke rumahnya pada waktu tengah malam. Diketuknya pintu setelah membisikkan salam.

Bagai letusan gunung berapi berlaku pada malam itu. Isterinya yang kebingungan terpaku di sisi seorang bayi manakala seorang lelaki sedang menerima kehadirannya. Dua orang anaknya yang amat dirindui kelihatan tidur dengan nyenyak.

“Abanggg,” terpacul kata bersama tangisan.

Banyaklah air mata yang gugur pada malam itu. Isterinya telah kahwin lain setelah tiga tahun tiada berita mengenai dirinya. Pok Su Musa kali ini membawa hati setelah puas mengucup dan mendakap dua anak kesayangan.

Lima tahun kemudian Pok Su Musa kahwin baru setelah dapat menerima kenyataan. Ogos 1957, Pok Su Musa sambut kemerdekaan negara. September 1963, negara maju setapak lagi dengan tertubuhnya Malaysia. Pok Su Musa bangga  negaranya diperintah oleh bangsa sendiri. Dia mendaftar menjadi ahli UMNO dan menjadi pemimpin kecil di peringkat kampung.

Apabila tiba pilihanraya Pok Su Musa akan berkempen untuk UMNO dan parti Perikatan. Pok Musa amat bersemangat menampal poster-poster kapal layar dengan gam kanji. Masa terus berlalu. Bendera dacing menghiasi halaman rumah Pok Su Musa. Hatinya berbunga apabila mendapat khabar bahawa kerajaan Jepun memberi pampasan kepada mangsa yang menjadi buruh paksa. RM207 bilion besar jumlahnya. Berangan-anganlah Pok Su Musa dan 30 000 orang bekas buruh paksa yang sudah lanjut usia.

Mereka, 60% berbangsa Melayu,  amat mengharapkan mendapat pampasan tersebut. Dakwaan daripada kedutaan Jepun yang wang tersebut telahpun diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Mac 2011 Pok Su Musa menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 92 tahun. Sebahagian usianya menderita dek kezaliman Jepun dan sebahagian lagi usianya  berjuang mengisi kemerdekaan. Malang sungguh bukan sahaja Pok Su tidak dapat merasai wang pampasan bahkan warisnya juga kempunan.

Persoalan..

Kemana perginya wang pampasan tersebut?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.