Kisah seniman : Seumur hidup Aziz Jaafar tak pernah berlakon dengan P Ramlee


AZIZ JAAFAR TIDAK PERNAH BERLAKON DENGAN P.RAMLEE

Seniman Aziz Jaafar adalah antara pelakon utama dari Malay Film Production yang tidak pernah berlakon dan mempunyai babak bersama dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Walaupun ada ura-ura mengatakan pada tahun 1960 beliau telah dipilih oleh P.Ramlee sebagai salah seorang pelakon yang akan membintangi filem bercorak muzikal bertajuk Pancha Sitara tetapi ianya tidak menjadi kenyataan akibat dari kembalinya ke rahmatullah penulis skrip filem itu Allahyarham H.M Rohaizad. Permergian H.M Rohaizad menyebabkan P.Ramlee menangguhkan pembikinan filem Pancha Sitara dan sehingga kini filem itu gagal dibuat.

Aziz Jaafar anak kelahiran Singapura ini mendapat pendidikan awal di Victoria School, Singapura. Beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja oleh kerana minat mendalam dalam bidang seni walaupun beliau pernah berkerja sebagai pengalih suara di studio Jalan Ampas. Beliau juga pernah bergiat dalam beberapa pancaragam sebagai penyanyi sambilan mengikut bapa saudaranya komposer dan pemuzik Yusof B seorang penggubah lagu di MFP.

Ibarat lagu dan irama tidak dapat dipisahkkan, pada tahun 1957 pengarah K.M Basker telah membuka ruang kepada beliau untuk berlakon di dalam filem Hantu Jerangkong. Inilah detik permulaan beliau melangkah ke dunia perfileman. Aziz Jaafar memiliki kelebihan kerana beliau boleh menyanyikan sendiri lagu-lagu di dalam filem yang beliau lakonkan sama seperti P.Ramlee. Apabila beliau berlakon di dalam filem keduanya iaitu Doktor pada tahun 1958, nama beliau melonjak naik dan terus menyerlah di dalam filem-filem keluaran MFP.

Antara filem-filem yang berjaya mengangkat nama Aziz Jaafar ialah Batu Belah Batu Bertangkup, Sumpah Wanita, Lela Manja, Dandan Setia, Singapura Di Langgar Todak, Lubalang Daik, Putera Sangkar Maut, Panji Semerang, Batu Durhaka, Neracha, Norlela, Pertarongan, Dahaga, Jeritan Batin, Anak Buloh Betong dan beberapa lagi filem lain.

Aziz Jaafar juga pernah berlakon di dalam filem keluaran Cathay-Keris selepas penutupan studio Jalan Ampas seperti Puaka, Semusim Di Neraka dan Satu Titik Di Garisan. Aziz Jaafar telah mendirikan rumahtangga dengan seniwati Normadiah pada tahun 1961. Hasil dari perkahwinan itu mereka telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata iaitu Azlina Aziz dan Liza Aziz. Kedua-dua orang puterinya itu juga turut mewarisi bakat dari kedua-dua orang tuanya sebagai penyanyi dan pelakon.

Setelah berkecimpung selama 40 tahun di dalam bidang seni, tanggal 23 Jun 2005 seniman Aziz Jaafar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara.

Sumber :

Jejak Terbilang - Aimi Jaar

Program Imbas Kembali Aziz Jaafar - Galeri Perfileman Finas, 21 Jun 2008

Nazran Hamid - Anak kepada seniman H.M Rohaizad dan seniwati Mariani Ismail merangkap Founder / Admin Utama Keluarga Artis Legenda (KAL)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.