25 Oktober 1969: Perginya Dr Burhanuddin Helmi, pejuang pembela bangsa

25 Oktober 1969

Seorang tokoh pejuang kiri dan nasionalis negara, Dr. Burhanuddin Helmi telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Taiping pada usia 58 tahun.

Di bawah ini kami kongsikan catatan yang diterbitkan oleh Sidang Pengarang akhbar Berita Harian pada 27 Oktober 1969 sempena memperingati pemergian Dr. Burhanuddin.

“DR. BURHANUDDIN”

“Bangsa Melayu khususnya dan negara umumnya kehilangan seorang putera yang terulung dengan kematian Dr. Burhanuddin Al-Helmy hari Sabtu kelmarin. Dr. Burhanuddin telah uzur beberapa waktu belakangan ini dan semenjak bebas dari tahanan, dia boleh dikatakan telah bersara daripada kegiatan politik.

“Allahyarham menjadi pemimpin parti PAS. Tetapi ketokohannya dalam sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu, tegas kukuh atas perjuangannya yang gigih dari semenjak sebelum perang dahulu sebagai seorang nasionalis yang memusuhi penjajahan. Dia menentang penjajahan dan mencintai kemerdekaan untuk seluruh rakyat yang terjajah hingga medan perjuangannya tidak hanya terbatas kepada tanahairnya sendiri. Dia ikut dalam perjuangan kemerdekaan ketika dia menjadi penuntut di India. Dia ikut berjuang di Palestin, memperjuangkan hak dan cita-cita umat Arab dengan menentang pengisytiharan Balfour sebelum perang dahulu. Dia ikut berjuang untuk menegakkan kemerdekaan Indonesia dalam zaman muda remajanya lagi. Tetapi paling gigih sekali perjuangannya ialah untuk tanah airnya sendiri.

“Nama Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy tercatat dalam sejarah dan kedudukannya dalam perjuangan golongan kiri negeri semenjak lepas peperangan dunia kedua. Dia memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas perang. Dia memimpin Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), gabungan parti-parti kiri Melayu, yang bersama-sama dengan AMCJA, gabungan dari parti-parti politik kiri bukan Melayu, untuk memperjuangkan Perlembagaan Rakyat, perlembagaan yang dimaksudkan untuk meletakkan landasan-landasan bagi mewujudkan sebuah pemerintahan sendiri di Malaya, sebelum darurat tahun 1948 dahulu. Allahyarham memimpin perwakilan nasionalis-nasionalis Melayu ke Persidangan Perhubungan Asia (Inter-Asian Relations Conference) di New Delhi dalam tahun 1947 dan setelah itu memimpin pula perwakilan dari Malaya ke persidangan Bandung dalam tahun 1955.

"Dia seorang sasterawan, ahli falsafah dan ulama yang besar. Falsafah yang diperjuangkan dalam hidup ialah cita-citanya untuk menegakkan sebuah masyarakat yang bebas dari pengaruh segala bentuk penjajahan.

“Kematiannya merupakan satu keruguan besar kepada negara dan kepada bangsa Melayu. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat atas rohnya."

Berita Harian, 27 Oktober 1969


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.