Isu pembahagian tanah pusaka di kawasan Felda

BARU-baru ini saya dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah rancangan Felda di Kota Tinggi Johor. Tidak sempat lama saya melontarkan pandangan, seorang peneroka pertengahan usia menyampuk dengan katanya, dia adalah generasi kedua tinggal di atas tanah rancangan yang asalnya milik arwah bapanya.

Dah tujuh tahun berlalu, tanah dan hasil kebun Felda itu masih lagi menjadi bahan pertelingkahan adik-beradiknya hingga tiga daripada mereka tidak lagi pulang ke tanah rancangan sungguhpun pada Aidilfitri. 

Seorang lagi anak peneroka bercerita kepada saya. Beliau baru kematian suaminya dan telah meminta seorang anak perempuan dan menantunya untuk tinggal bersamanya di sebuah lot rumah tanah Felda dengan harapan anak perempuan ini akan dapat menjaganya sepenuh waktu memandangkan anak-anak yang lain kelihatan keberatan untuk mengambil tanggungjawab bagi menjaga ibu tersebut. 

Tidak lama selepas kematian peneroka tersebut, isterinya pula meninggal dunia. Tujuh anak arwah peneroka tersebut telah menuntut bahagian pusaka mereka.

Anak perempuan yang menjaga ibu mereka semasa uzur telah diusir keluar dari rumah itu memandangkan ahli waris lain berpendapat mereka juga layak tinggal di rumah tersebut. 

Dalam mesyuarat ahli waris yang dibuat, tiada persefahaman dicapai bagi menentukan anak mana akan dilantik menjadi pemilik atau pentadbir tanah tersebut. Ini memandangkan terdapat sekatan pemilikan tanah Felda yang berbeza dengan tanah-tanah lain.

Perbincangan pelantikan pentadbir itu telah berlarutan dan tidak menunjukkan tanda-tanda mereka hendak berkompromi.

Peruntukan dalam Akta Tanah Berkelompok 1960 yang mengawal tanah-tanah Felda terkadang dilihat menjadi kekangan yang perlu dirungkai dalam kes-kes pusaka bagi tanah-tanah Felda. Ini berlaku apabila peneroka dan isterinya meninggal dunia meninggalkan beberapa anak sedangkan tidak lebih dua nama sahaja yang boleh didaftarkan ke dalam suratan hak milik tanah. 

Berdasarkan rekod Seksyen Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian menunjukkan 40 peratus daripada tanah-tanah pusaka Felda tidak dapat diselesaikan selain dari hanya mengeluarkan surat kuasa tadbir. Ahli waris pula beranggapan Pentadbir dilantik tidak akan berlaku adil dan mempunyai kecenderungan untuk menyalahgunakan wang dari hasil tanah pertanian itu dan mempunyai niat untuk tinggal di lot tanah rumah pusaka tersebut. 

Maka, telah tiba masanya satu perubahan dibuat bagi mengatasi masalah tanah-tanah Felda ini. Pengenalan konsep harta amanah perlu segera dilaksanakan di mana para peneroka Felda bolehlah semasa hayatnya menamakan dua pemegang amanah bagi menguruskan tanah Felda tersebut, yang bertanggungan untuk membahagikan hasil-hasil daripada tanah kepada ahli-ahli waris selepas kematian peneroka asal.

Pemegang amanah ini boleh digantikan atau ditukar apabila terdapat keperluan berbuat demikian.

Melalui prinsip amanah ini, kuasa-kuasa dan tanggungjawab pemegang amanah akan dinyatakan secara terperinci dan surat cara ini akan dimiliki setiap ahli waris sebagai garis panduan akan hak-hak mereka pada tanah tersebut. Ia adalah sebagai mitigasi akan kecenderungan wujudnya kes-kes pentadbir yang tidak amanah dalam kalangan ahli waris.

Jika tiada kepercayaan ahli waris terhadap pemegang amanah, maka sudah tiba masanya bagi pihak pengurusan Felda, sama ada melalui institusi Felda sendiri atau anak syarikatnya, dengan kos pengurusan tertentu menubuhkan sebuah entiti amanah yang bertanggungjawab hanya untuk memegang amanah bagi tanah-tanah Felda tersebut.

Menguruskan tanah-tanah pusaka di Rancangan Felda bukanlah mudah. Terdapat banyak kes di mana anak peneroka semasa hayat ibu bapanya kelihatan begitu patuh terhadap pesanan ibu bapa mereka, namun selepas ibu atau bapa meninggal dunia perubahan sikap anak-anak akan mula terserlah disebabkan banyak faktor lazim, antaranya penyusutan kewangan ahli waris, hasutan penasihat-penasihat yang tidak jujur dan lunturnya perasaan takut atau hormat memandangkan kini ibu bapa telah pun tiada.

Antara kegusaran paling besar bagi tanah pusaka di kawasan Felda adalah untuk memastikan tidak berlaku kematian berlapis lebih daripada satu generasi. Semakin banyak kematian ramailah ahli waris yang wujud.

Semakin ramai ahli waris wujud maka kian sukarlah sesuatu kes pusaka dapat diselesaikan. Lebih kronik lagi jika sedang kes pusaka tersebut diproses ada pula ahli waris yang layak meninggal dunia dan ini akan melewatkan lagi proses pembahagian pusaka. 

Justeru, ahli-ahli waris yang ditinggalkan hendaklah diberi garis pandu akan arah tuju tanah Felda sejak dari hayat peneroka tersebut dengan menyediakan pengamanahan sempurna dan boleh dikuatkuasakan undang-undang.

Sumber : Sinar Harian


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.