Fatwa berkenaan forex


Soalan : Setakat pemerhatian saya, sebahagian besar ulama berbeza pandangan berkenaan hukum jual beli mata wang asing ataupun forex. Boleh ustaz jelaskan pandangan ataupun fatwa yang lebih tepat menurut syarak berkenaan hal ini?



Jawapan: Benar. Secara asasnya ulama berbeza pandangan dalam meletakkan hokum yang sesuai mengenai forex. Beberapa institusi dan pihak berwajib mengambil peranan untuk merungkai perkara ini agar umat Islam bebas daripada perkara yang bersalahan dengan syarak.

Perinciannya seperti berikut:

Fatwa Antarabangsa

Pandangan:
Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Dawli melalui persidangan ke-3 yang diadakan di Amman, Jordan pada 8-13 Safar 1407H bersamaan 11-16 Oktober 1986 memutuskan resolusi:

“Berkaitan hokum-hakam mata wang kertas, ia ialah mata wang secara i’tibari yang mempunyai sifat harga atau nilai (al-thamaniyyah) yang sempurna dan mengambil hokum-hakam syarak yang telah ditetapkan pada emas dan perak iaitu dari sudut hokum riba, zakat, salam dan hokum-hakamnya.”
Menurut piawan syariah yang ditetapkan oleh AAOIFI, antara syarat yang wajib dipenuhi untuk mengesahkan perdagangan mata wang adalah berlakunya tabaqud sebelum kedua-dua pihak berpisah selepas majlis akad. Tabaqud tersebut sama ada dalam bentuk hakiki (nyata) ataupun hukmi (undang-undang).

Fatwa Bank Negara Malaysia

Urus niaga pertukaran asing secara lani (individual spot forex) dan secara hadapan (forex)

1. Majlis Penasihat Syariah (MPS) dalam mesyuarat ke-38 bertarikh 28 Ogos 2003 memutuskan bahawa penyerahan dan penyelesaian urusniaga mata wang asing secara lani yang dibuat pada T+2 adalah dibenarkan.

2. Dalam mesyuarat ke-49 bertarikh 28 April 2005 diputuskan bahawa institusi kewangan Islam dibenarkan untuk melaksanakan urus niaga mata wang asing secara hadapan berdasarkan wa’d mulzim sebelah pihak yang hanya mengikat pihak yang berjanji.

3. Pihak yang mengalami kerugian boleh menuntut ganti rugi ekoran kemungkiran janji. Urusniaga ini boleh dijalankan oleh institusi kewangan Islam dengan pelanggan, atau sesame intitusi kewangan Islam, atau antara institusi kewangan Islam dengan institusi kewangan konvensional.

Fatwa Muzakarah/Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)

Hukum perdagangan pertukaran mata wang asing oleh individu secara lani melalui platform elektronik:

“Perdagangan pertukaran asing oleh individu secara lani melalui platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah menurut undang-undang Negara.”

Hukum ini juga terpakai kepada perdagangan komoditi yang bersifat ribawi iaitu emas dan perak melalui platform forex. Hal ini kerana isu-isu syariah yang timbul berkenaan dengan perdagangan emas dan perak melalui platform elektronik adalah sama dengan isu-isu syariah dalam perdagangan forex secara dalam talian.

SUMBER : Ustaz Mohd Hafiz Hj Fauzi (al-Ustaz No. 64)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.