Kisah pembantu rumah Indonesia: Majikan saya beragama Buddha tapi amat galakkan saya berpuasa


Kita sering mendengar kes penderaan pembantu rumah termasuk juga penafian hak pembantu rumah mereka untuk menunai hak beragama, tetapi majikan daripada Singapura ini amat baik dijadikan contoh kerana amat memahami bahkan menggalakkan pembantu rumah mereka yang beragama Islam untuk menunaikan puasa.

MAJIKAN MEMAHAMI: Cik Sriwahyuni bersama majikannya, Encik Ho Kai Huat dan Cik Tan Sai Gek. Majikan beliau menggalakkannya berpuasa pada Ramadan walaupun mereka penganut agama Buddha.

SELAMA 17 tahun bekerja di Singapura sebagai pembantu rumah, tidak sekali pun Cik Sriwahyuni tidak dapat berpuasa disebabkan tugas.

Ini meskipun pembantu rumah asal Malang, Indonesia, itu mempunyai majikan yang tidak seagama dengannya.


Malah, majikan bukan Islam beliau menggalakkan beliau berpuasa, kata Cik Sriwahyuni.

"Alhamdulillah, majikan saya memang baik, tak ada (majikan) macam ni," kata beliau, yang lebih selesa dengan panggilan Yuni.

"Bukan puasa sahaja, malah beliau beritahu saya, 'Yuni, kamu orang Islam. Kalau kamu nak sembahyang, gunakan sahaja tempat (untuk solat)'," tambahnya.

Majikannya, Encik Ho Kai Huat, 55 tahun, dan isteri beliau, Cik Tan Sai Gek, 56 tahun, penganut agama Buddha, berkata mereka sama sekali tidak keberatan membenarkan pembantu rumah mereka berpuasa.

"Saya tidak dapat memikirkan apa- apa alasan atau sebab untuk tidak membenarkannya berpuasa. Tak ada sebab menghalangnya. Itu agamanya, kita perlu menghormatinya," ujar Encik Ho ketika ditemui di rumah tiga tingkatnya di Teo Kim Eng Road.

Malah, beliaulah yang akan mengingatkan Cik Sriwahyuni, 49 tahun, agar berpuasa setiap kali tiba Ramadan.

"Saya akan memberitahunya, 'Semua orang Islam di Singapura puasa, kenapa kamu tak puasa?'" gurau Encik Ho, yang mempunyai empat anak lelaki berusia antara 17 dengan 25 tahun.

Majikan yang sangat memahami dan bertimbang rasa seperti keluarga Encik Ho itulah yang membuat Cik Sriwahyuni bukan sahaja betah bekerja hingga 17 tahun lamanya di negara orang, malah membuat pengalaman berpuasa dan beraya seorang diri di rantauan kurang pahit.

"Memanglah, tak sama puasa di kampung dan puasa di sini. Di kampung hari-hari kita akan ke masjid ramai-ramai, solat tarawih dan bertadarus," kata beliau, ibu seorang anak lelaki serta nenek dua cucu.

Suami Cik Sriwahyuni sudah meninggal dunia.

Ditanya apakah yang paling dirinduinya tentang berpuasa dan menyambut Hari Raya di kampung halamannya, beliau menjawab dengan mudah dan pantas: "Keluarga."

"Walaupun saya tak dapat pulang setiap tahun menyambut Lebaran, saya akan menelefon rumah. Sedih juga kadang teringat ibu saya yang sudah tua," ujar beliau.

Namun, walaupun suasana puasa dan beraya tidak sama seperti di tanah air sendiri di samping keluarga dan sanak saudara, Cik Sriwahyuni cukup bersyukur dapat menyambutnya di sini dengan teman-teman terdekat.

"Maam (Cik Tan) akan belikan kuih. Nanti saya masak lontong dan kawan-kawan datang ke sini. Majikan saya tidak ada masalah, malah mereka beri ang pow lagi!" katanya, sambil tersenyum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.