Benarkah syaitan dirantai di bulan Ramadhan?

توليسله اڤ يڠ كاو ليهت، چاتتله اڤ يڠ كاو فيكيركن، بيار مريك ايت تاهو بهاوا ملايو ايت بوكن سمواڽ بوليه دڤربودوهكن. كيت اومت ملايو بڠسا يڠ بردولت، اڬام اسلام منجاديكن كيت هيدوڤ برمرواه، برجواڠله ممباڠونكن بڠسا، منڬقكن اڬام دان ممڤرتاهنكن نڬارا. ايڠتله ڤسانكو اين، بيار ڤوتيه تولڠ، جاڠن ڤوتيه مات


ADAKAH BENAR SYAITAN DIRANTAI PADA BULAN RAMADHAN...PENDAPAT ULAMAK DALAM HAL INI

Seringkali apabila tibanya bulan Ramadhan masyarakat akan mengatakan bahawa Syaitan sudah tiada, sudah diikat, kejahatan yang dibuat bukan lagi dari bisikan syaitan tapi hawa nafsu semata-mata dan sebagainya.

Secara dasarnya anggapan tiada syaitan dibulan Ramadhan tidak tepat. Anggapan bahawa syaitan diikat pula boleh diterima pakai namun perlu perincian lanjut apakah makna sebenar Syaitan diikat dibulan Ramadhan itu.

Asas kepada maklumat ini ialah sabda Rasulullah saw :

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

Apabila tiba bulan Ramadan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pula dirantai.
(H.R Bukhari, Tirmizi, Nasaie, Malik dll)

Huraian Hadis ini ialah :

1. Ramadhan merupakan bulan yang paling banyak mempunyai kelebihannya bagi orang yang berpuasa, antaranya ialah :

a. Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.

b. Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati dibulan puasa terlepas daripada azab kubur.

c. Pada bulan puasa juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.

2. Digalakkan orang yang berpuasa agar berlumba-lumba membuat kebajikan dan kebaikan, kerana setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Hadis lain yang menyebutnya lebih terperinci berkaitan hal tersebut ialah sabda nabi saw :

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ.

"Bila tibanya malam pertama bulan Ramadhan syaitan dan jin-jin besar/ganas akan dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintu neraka yang terbuka. Pintu-pintu syurga pula dibuka, tidak ada satupun pintu syurga yang tertutup.

Maka ada penyeru menyeru, wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan (maksiat) berhentilah. Dan Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan."
[Riwayat Al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah]

Sebahagian ulamak berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup adalah majaz iaitu suatu bahasa kiasan tentang betapa besar dan banyaknya rahmat dan keampunan Allah s.w.t. terhadap hambanya pada bulan Ramadhan .

Seolah-olah hamba yang merebut peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan telah sedia memasuki Syurga. Manakala mereka berpuasa dengan mengengkang nafsu syahawat dan meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan telah dapat menghindarkan diri daripada api neraka. Hal ini digambarkan dengan ungkapan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

Sebahagian ulamak pula berpegang dengan zahir nas yang mengatakan memang pada hakikatnya pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup pada bulan Ramadhan.

Kedua pandangan ini adalah benar dan ada asasnya dan tiada halangan untuk mengabungkan kedua-dua pandangan ini.

BEBERAPA PENDAPAT MAKSUD SYAITAN DIRANTAI ATAU DIBELENGGU

1) Syaitan tidak dibelengu atau diikat, tetapi masih bebas bergerak cuma terbatas dan terhad.

Sebahagian ulamak pula mentakwilkan ungkapan syaitan dibelenggu dengan makna majaz iaitu bahasa kiasan bukannya hakikat. Ia mengambarkan kesulitan syaitan untuk mengoda dan menganggu anak adam dalam keadaan mereka berpuasa seolah-olah syaitan dibelenggu pada bulan tersebut. 

Hal ini dapat difahami melalui hadis nabi :

"Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam tubuh anak adam seperti darah mengalir, maka sempitkanlah aliran tersebut dengan berlapar (puasa)."

Ia boleh dilihat daripada kata ulama yang dipetik dari kitab Fathu al Bari.

وَتَصْفِيد الشَّيَاطِين عِبَارَة عَنْ تَعْجِيزِهِمْ عَنْ الْإِغْوَاءِ وَتَزْيِين الشَّهَوَات

Merantai syaitan (di bulan Ramadhan) memberi erti melemahkan mereka dari menyesatkan manusia dan dari membantu syahwat (dalam kerja-kerja melalaikan insan).

Kata-kata ini disokong Iyadh r.a.

وَأَنَّ الشَّيَاطِينَ يَقِلُّ إِغْوَاؤُهُمْ فَيَصِيرُونَ كَالْمُصَفَّدِينَ

Sesungguhnya syaitan kurang mampu menyesatkan insan (di bulan Ramadhan). Maka keadaan ini menjadikan mereka seolah-solah seperti dirantai.

Kesimpulan pandangan ini ialah tiada syaitan yang dirantai di dalam lokap Allah. Hanya yang dikunci ialah sebahagian kekuatan dan kemampuan mereka. Mereka menjadi lemah dan kurang cergas dalam usaha melemahkan iman insan.

Justeru hal ini sepatutnya membantu golongan beriman untuk memeriahkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah.

Ada dua Pandangan :

a.  Dikemukakan oleh al-Hulaimi katanya : Ada kebarangkalian bahawa maksud  “syaitan  dibelenggu” ialah mereka tidak dapat menggoda manusia sepenuhnya pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain, disebabkan manusia sibuk dengan berpuasa yang mengekang syahwat, membaca al-Quran dan  berzikir”.

Ini boleh disamakan dengan ungkapan “dalam sistem diktator, rakyat ditutup mulut dan  digari”. Ungkapan ini bermakna rakyat tidak sepenuhnya dapat bersuara dan bebas melakukan aktiviti yang dianggap menggugat  kerajaan disebabkan sekatan undang-undang.

b.  Dikemukakan oleh al-Qadhi Iyadh katanya : Ada kebarangkalian ungkapan “pembelengguan syaitan” adalah kiasan kepada keterbatasan kemampuan mereka untuk menggoda manusia dan memperindahkan nafsu syahwat pada pandangan manusia.

Jikalau pendapat ini dijadikan pegangan, tak wujudlah kemusykilan mengapa masih wujud maksiat di bulan Ramadan.Para syaitan tidak dibelengu tetapi masih bebas bergerak, cuma kemampuan mereka untuk menggoda dan menghasut manusia  dalam serba kebatasan dan terhad.

2) Syaitan benar-benar dirantai atau dibelenggu          (Ketua dan pelampau syaitan sahaja)

Ada ulamak berpendapat memang benar syaitan dibelenggu, namun bukan semuanya. Syaitan yang kuat kuat sahaja yang dibelenggu dikalangan ketua-ketua mereka dan pencuri berita berita dari langait.

Asas pandangan ini ialah sebuah hadis riwayat Imam Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ

Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.

Lafaz "maradatul Syayatin" atau "maradatul Jin" yang bermaksud syaitan-syaitan yang kuat.

Pandangan ini telah dipersetujui oleh Syeikh Wahid Abdul Salam Bali dalam kitabnya "Wiqayatul Insan Minal Jin Wassyayatin".

Ianya sekaligus menjawab persoalan berlakunya kerasukan syaitan didalam bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan yang merasuk tersebut adalah syaitan-syaitan kecil

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam  Nasa’ie dari Abu Qilabah dari Abu Hurairah r.a yang berbunyi  “…dan dibelenggu padanya(yakni pada bulan Ramadhan) pelampau pelampau  syaitan”.

Hadis ini memperincikan hadis riwayat Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari yang datang secara umum hanya menyebut “dibelenggu  syaitan-syaitan” tanpa diperincikan.Manakala hadis Imam Nasa’ie menjelaskan jenis syaitan yang dibelenggu pada bulan Ramadhan.

Iaitu syaitan yang punya kreativiti hebat dan berpengalaman luas dalam menyesatkan anak Adam sahaja yang ditahan.

3) Semua Syaitan dirantai dan dibelenggu

Sebahagian ulamak pula berpegang dengan zahir nas dengan mengatakan memang pada hakikatnya syaitan dibelenggu. Mereka mengambil sikap berdiam diri (tawaquf) terhadap persoalan berlakunya kerasukan syaitan pada bulan Ramadhan.

Imam Qurtubi berpegang kepada hadis Imam Bukhari di mana para syaitan diikat tanpa pengecualian manakala pembelengguan ke semua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang keji, adat kebiasan yang buruk dan syaitan syaitan  manusia.

MAKSUD SYAITAN DALAM SURAH ANNAS  DAN KAITAN DIRANTAI PADA BULAN RAMADHAN

Syaitan merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan. “Minal jinnati wan naas” dalam Surah An-Naas menyatakan bahawa para penghasut  yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai syaitan itu terdiri daripada bangsa jin dan manusia.

Maka istilah syaitan itu bukanlah merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu.

Maksud yang dirantai atau dibelenggu itu bukanlah jin, tetapi sifat sifat kesyaitanan yang ada pada diri manusia dan jin.Digunakan istilah dirantai atau dibelenggu untuk menyatakan ketidakbebasan.

Sifat sifat kesyaitanan pada diri manusia dan jin sepanjang bulan Ramadhan ini tidak bebas sepertimana dalam bulan bulan selain Ramadhan.Contohnya sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita layan pada bulan-bulan selain ramadhan ialah seperti makan banyak, memandang kepada yang tidak halal, mengumpat, marah-marah, berfikiran jahat dan sebagainya.

Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan umat Islam berpuasa, sedikit sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti, dan pada malam hari pula kesempatan kita untuk keluar rumah tidak banyak.

Hasilnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu,terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain.Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai

Manusia sendiri mempunyai hawa nafsu yang boleh menyebabkan kita melakukan pelbagai perkara maksiat. Berlakunya sesuatu maksiat bukanlah hanya disebabkan hasutan syaitan semata, tetapi dikait rapat dengan hawa nafsu manusia yang kotor.

Selama sebelas bulan nafsu berguru dengan syaitan, maka sebulan tanpa syaitan pun sudah boleh menjadikan nafsu itu raja dalam diri kita.

PENDAPAT ULAMAK DALAM HAL INI

Para ulamak berbeza pendapat tentang maksud dibelenggu atau dirantai para syaitan ini

1. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana diluar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.

Dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam beliau menyebut: “Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya”.

Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia. Hal ini ada kebenarannya.

2. Sheikh Anwar al-Kasmiri ada menyebut
dalam Faidh al-Bari ala Sahih al-Bukhari : Di sisi riwayat Tirmidzi iaitu yang dirantai ialah jin yang ganas.Justeru tidak semua bahawa dirantai keseluruhannya.

Begitu juga sebab berlakunya maksiat bukan hanya terbatas dengan godaan syaitan semata-mata, tetapi di sana ada sebab yang lain seperti pengaruh hawa nafsu yang juga antara sebesar-besar musuh manusia. Apa yang dapat diperhatikan sedikitnya maksiat dan banyaknya ketaatan dilakukan pada bulan Ramadan ini tanpa syak.

3. Syeikh Atiyyah Soqr menyebut beberapa ulama yang mensyarahkan hadis ini menyatakan yang dimaksudkan dibelenggu ini ialah tidak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan puasa yang sebenarnya yang mana mereka  meraikan setiap adab-adab termasuk memelihara lidah, pandangan dan semua anggota dari melakukan maksiat sebagai memenuhi sabda Nabi saw :

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.” (HR al-Bukhari)

4. Pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa ianya hanyalah satu ‘majaz’ atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa.

Ini kerana, puasa yang dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini menyebabkan dirinya bagaikan diranta.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan maknanya yang zahir iaitu syaitan syaitan benar benar dirantai pada bulan Ramadhan bagi menandakan kemuliaan bulan Ramadhan.

Manakala hakikat yang terjadi pada hari ini di mana ramai orang-orang yang berpuasa tetap meneruskan kemaksiatan ialah kerana puasa mereka tidak menepati syarat-syarat dan tidak dihayati sebagaimana yang sepatutnya.

Apabila puasa tidak dihayati sepenuhnya, pengaruh syaitan akan tetap berkekalan sekalipun syaitan sendiri sudahpun dirantai.

5. Pandangan Imam As-Syafie pula, “hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas , kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan Ramadan”.

Pandangan beliau di persetujui oleh oleh Syeikh Wahid Abdul Salam Bali dalam kitabnya "Wiqayatul Insan Minal Jin Wassyayatin" yang mengatakan bahawa memang benar syaitan dibelenggu namun bukan semuanya. Syaitan yang kuat-kuat sahaja yang dibelenggu dikalangan ketua-ketua mereka.

Maksud lafaz "maradatul Syayatin" atau "maradatul Jin" yang bermaksud syaitan-syaitan yang kuat .Berlakunya kerasukan syaitan di bulan Ramadan dimana syaitan syaitan yang merasuk tersebut adalah syaitan syaitan kecil.

Sebagaimana diceritakan setengah pengalaman mereka yg merawat orang yang dirasuki syaitan di dalam bulan ramadan sehingga berlakunya dialog dan syaitan yang merasuk melalui perantaraan lidah pesakit mengakui ketua-ketua mereka ada yang dibelenggu.

6. Pendapat Imam Qurtubi : Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.

Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab tidak ada berlakunya kejahatan dan kemaksiatan.

Ini kerana kemaksiatan itu turut terjadi kerana beberapa faktor lainnya selain daripada syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan syaitan dari kalangan manusia sendiri (manusia yang jahat)

Ini kerana kemaksiatan itu turut terjadi kerana beberapa faktor lainnya selain daripada syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri (manusia yang jahat)." [Fath Al-Bari 4/114]

7. Kata Imam Al-Baihaqi (wafat 458H):

"Maksudnya Syaitan tidak bebas pada bulan Ramadhan untuk merosakkan manusia yang membawa kepada bebasnya manusia daripadanya kepada selainnya disebabkan kebanyakan Muslimin sedang fokus berpuasa yang mana ianya (puasa) dapat mengawal nafsu shahwat, ditambah pula dengan membaca Al-Quran dan amal ibadah yang lainnya." [Fadhail Al-Awqat 1/141]

8. Kata Imam Ibn Abdil Barr Al-Maliki (wafat 463H) :

فمعناه عندي والله أعلم أن الله يعصم فيه المسلمين أو أكثرهم في الأغلب من المعاصي فلا يخلص إليهم فيه الشياطين كما كانوا يخلصون إليه منهم في سائر السنة

"Adapun maksudnya (Syaitan dibelenggu) bagiku, wallahua'lam bahawa Allah menjaga orang Islam atau kebanyakan daripada mereka daripada maksiat dan syaitan-syaitan tidak bebas kepada mereka sebagaimana mereka bebas pada sepanjang tahun (selain bulan Ramadhan)." [Al-Tamhid lima fi Al-Muwatta' min Al-Maani Al-Asanid 16/153]

KESIMPULAN

1. Jin dan syaitan masih lagi dapat mengganggu manusia dibulan ramadan ini. Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan serta tipu dayanya.

2. Sekalipun ketua-ketua syaitan telah diikat atau kekuatan mereka telah dilemahkan, namun ia tidak menjamin maksiat menjadi sifar atau mengurangkan statistik maksiat di bulan Ramadhan.

3. Punca berlakunya maksiat ialah akhlak dan kebiasaan buruk yang sudah sebati dengan jiwa seseorang serta sikap mazmumah yang sudah lama tertanam dalam hati manusia.

4. Sebahagian ulamak pula mentakwilkan ungkapan syaitan dibelenggu dengan makna majaz iaitu bahasa kiasan bukannya hakikat. Ia mengambarkan kesulitan syaitan untuk mengoda dan menganggu anak adam dalam keadaan mereka berpuasa seolah-olah syaitan dibelenggu pada bulan tersebut

5. Setengah Pendapat hanya syaitan yang kuat-kuat sahaja yang dibelenggu dikalangan ketua-ketua mereka.Kerana lafaz "maradatul Syayatin" atau "maradatul Jin" bermaksud syaitan syaitan yang kuat.

6. Pelaku maksiat pada bulan yang mulia ini perlu menjadikan puasa mereka sebagai alat untuk membersihkan nafsu yang jahat, adat kebiasan yang buruk dan menjauhkan diri dari syaitan syaitan manusia yang mengajak kepada keburukan dan kemungkaran.

7. Maksu pintu syurga dibuka adalah ungkapan  Allah membuka kepada hambanya yang taat sebagai asbab masuknya ke syurga.

Manakala maksud pintu neraka ditutup adalah ungkapan tentang dihindarinya dari berbagai keinginan kuat untuk melakukan maksiat yang dapat menjatuhkannya ke neraka...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Cerita ini klik button di bawah
Powered by Blogger.